Sunday, September 28, 2008

Lara Rindu 7

Aku menonton tv sambil baring di atas sofa. Bosan sungguh. Aku tinggal seorang saja. Keluarga Kak Dibah dah tidur. Mereka tidur di belakang rumah. Disediakan sebuah rumah kecil untuk mereka sekeluarga. Chinta pula pergi dengan Ammar, ambil adik angkat dia, Rabiah.
Aku mendongak melihat sekeliling. Melihat pemandangan di sekitar rumah ini. Melihat gambar yang tergantung di dinding membawa langkahku lebih dekat ke sana. Chinta bersama dengan empat orang lain dalam potret keluarganya.
Rabiah, tidak ada dalam gambar. Aku pun tidak kenal sangat dengan Rabiah kerana hanya sekali kami pernah bertembung ketika aku berkunjung ke rumah ini. Sepupu Chinta itu menjadi sebagai ahli dalam keluarga kerana keluarga ini adalah pengganti keluarga kandungnya yang telah meninggalkan dunia yang fana ini.
Chinta kata Rabiah amat rapat dengan Abang. Itu pasal dia tak puas hati, sebab kalau rapat dengan Abang akan mendapat untung. Apa yang dia mahu pasti Abang bagi. Tapi Chinta pun apa kurangnya, dapat hadiah istimewa dari Abang, satu sampul surat tapi kena buka lepas nikah. Mungkin duit satu juta... itulah harapan Chinta.
Oh, ini rupanya Abang yang sering digembar-gemburkan! Macho sungguh. Dengan lesung pipit yang elok terletak, menjadikan senyumannya boleh menjadi igauan. Itu baru nampak gambar, kalau nampak orangnya secara nyata macam mana? Mesti aku terpikat. Dahlah aku minat dengan orang yang ada lesung pipit ni. Aku ingatkan dia dah tua. Tapi nampak dari rupa, belum tua lagi. Mungkin awal tiga puluhan. Selama aku berkunjung ke sini, baru kali ini aku memberi perhatian untuk menjenguk gambar yang tergantung sejak dulu lagi.
Lupa pula, orang yang dipanggil Abang ni aku tak pernah tengok pun. Dah empat hari aku di sini, tak nampak dia pun. Mana dia?
Aku kembali duduk di sofa yang empuk ini. Aku tukar siaran. Dari satu channel ke channel yang lain. Bosannya. Tengok Astro ni pun bosan juga. Adakah patut benda yang dah ditayangkan, kena tayang balik. Kadang-kadang sampai tiga kali sehari kena ulang benda yang sama. Macam dah tak ada benda yang nak kena siar.
Bosan pula aku sebab tak ada cerita, apa lagi kartun. Sudahlah tinggal seorang diri. bertambah tahap kebosanan. Di saluran sukan, ESPN pula sedang menayangkan permainan bola keranjang. Pemain yang tengah hebat sekarang iaitu Austin Daye sedang menjaringkan bola ke keranjang. Hebat. Tapi yang aku kenal dalam permainan ini hanya Micheal Jordon.
Aku tukar ke siaran lain. Akhirnya siaran radio yang menjadi pilihanku. Radio Rock Classic yang aku pilih antara menu-menu stesen radio yang ada. Dengar lagu rock malam-malam begini dapat membantu menyegarkan mataku yang sememangnya masih segar.
Aku biarkan siaran radio itu dalam alunan perlahan mendendangkan lagu-lagu rock. Aku berjalan ke sekitar ruang tamu. Jumpa album. Aku selak-selak album tu. Gambar keluarga Chinta. Kebanyakannya gambar percutian mereka sekeluarga. Gambar Abang ketika belajar di luar negara. Entah di mana dia belajar dulu. Oh lupa, dia belajar di Amerika Syarikat. Akupun hairan kenapa Chinta tak sambung belajar ke luar negara, bukannya dia tak mampu malah lebih dari mampu. Tapi alasannya dulu sebab tak nak pisah dengan aku. Terima kasihlah Chinta kerana sudi jadi best friend aku. Kaulah sahabat terbaik yang pernah aku kenal. Kalau aku bagitahu Chinta that she’s the best, mesti bangga dia ni.
Aku selak lagi, terkejut aku bila melihat dalam helaian album itu terdapat gambarku bersama Chinta. Percutian di Cameron Highland, Tambun dan banyak lagi aksi kami yang mengalahkan model di beberapa buah tempat pelancongan. Tersenyum sendiri aku melihat kembali aksi-aksi kami. Kalah pelancong dari luar negeri.
Terkejut oleh lagu Calcutta yang dinyanyikan oleh Dr. Bombay menyebabkan aku tersedar dari tidur. Alunan suara dari speaker itu menyebabkan tidurku terganggu. Patutpun, rupanya aku terlelap. Tak sedar sampai pukul berapa semalam aku selak kelompok album yang aku jumpa sehingga tertidur di depan sofa.
Dalam keadaan yang masih mamai aku matikan siaran radio. Berbekalkan jam dari cahaya decoder Astro, aku nampak sudah pukul dua pagi. Terus naik ke atas bilik. Mata masih terbuka-tertutup. Aku terus tarik tombol pintu, naik atas katil dan terus sambung tidur.
Sedapnya dapat tidur atas katil. Tadi sakit belakang sebab tidur dalam keadaan tak selesa, tidur beralaskan meja sofa dengan kepala tersadai di atasnya. Sungguh tidak selesa, sebab itu mudah tersedar. Rasanya baru sekejap aku tertidur sebab kali terakhir aku tengok jam tadi pukul dua belas.
Semenjak datang ke rumah ni, tidurku sudah pandai lewat padahal kalau di rumah sendiri, paling lewat pun aku tidur adalah pada jam sepuluh malam. Lebih dari itu, aku sudah tidak mampu bertarung dengan mataku yang menyebabkan begitu cepatnya aku tewas di atas katil.
Wah... sedapnya dapat tidur!
Tidur, nikmat yang paling melekakan. Aku menggeliat. Membetulkan urat yang tidak tersusun akibat gundahnya aku tidur. Aku berpaling mencari telefon bimbit. Hari ini ia tak berbunyi pula. Biasanya ia akan menjadi jam loceng aku untuk beberapa hari ini. Kalau di kampung, ayam-ayam jantan yang selalu tidur-tidur ayam akan menjadi jam loceng tidak rasmiku.
Mentimum bongkok di balik tiang,
Ayam berkokok alamat nak siang.
Tapi semalam mungkin aku terlupa untuk menghidupkan alarm. Maka aku tidak sedar hari sudah dinihari. Keadaan sekitar masih gelap. Aku berpaling ke meja di sisi katil. Biasanya ada jam di atas meja kecil ini. Kuhidupkan cahayanya. Sudah pukul lima pagi. Mungkin sebab dah terbiasa bangun awal di rumah, secara tidak langsung aku pun dah terbiasa di sini. Tidak perlu menggunakan jam penggera.
Aku ingin bangun menuju ke kamar mandi. Ingin membersihkan badan sebelum menghadap Dia Yang Maha Esa. Aku menolak kain gebar yang membantu menutup tubuhku dari kesejukan akibat dari pendingin hawa.
Sejak bila pula ada dua bantal guling ni. Bukan selama ini ada sebuah sajakah bantal peluk dalam bilik ni? Aku tahulah aku suka tidur dengan bantal yang banyak, takkanlah Chinta sanggup sedekahkan bantal guling dia. Lagipun tinggal beberapa hari saja lagi dia dah tak perlukan lagi bantal guling. Mesti dia masih mahu menggunakan bantal gulingnya sendiri. Habis tu, siapa punya bantal guling ni?
Aku hidupkan lampu. Cahaya yang sebelum ini malap kerana hanya berpunca daripada lampu luar kini telah menerangi ruang bilik. Mataku terpana pada benda yang menggagau keluar dari gebar.
Hantukah? Takkanlah.
Toyol? Tak mungkin.
Drakula? Ya ALLAH...
Apa dosaku pada makhluk halus ni?
Atau......
Arrggghhhhhhhh................

------------------------------------------------------------------------

“Aku terima nikah dan kahwin, Kastia Binti Mahmud untuk diriku dengan mahar seribu Ringgit Malaysia tunai.”
Itulah ayat yang membuat diriku berubah status hanya dalam beberapa saat. Dengan sekali lafaz, aku menjadi milik yang halal bagi lelaki itu. Semuanya berubah hanya dalam seketika.
Aku pun tak tahu apa perasaan aku tika ini. Bergelar isteri dalam waktu yang amat singkat. Gembira langsung tiada. Sedih dan sayu memang mendayu-dayu. Tapi yang nyata hatiku celaru. Aku pun tak tahu macam mana nak gambarkan. Masam, kelat, pahit, masin pun ada. Semua rasa ada. Manis sahaja yang belum tercipta.
Air liurku sendiri kurasakan kelat. Pahit sangat sedangkan aku tidak makan benda-benda pahit, petai atau peria. Malah langsung tidak menjamah sebarang makanan. Perutku kosong.
Pada hari bersejarah ini, untuk kesekian kalinya air mataku mengalir. Mengalir dan terus mengalir. Jika aku selalu melihat pengantin perempuan menangis saat diijabkabulkan, kali ini aku pula merasakannya. Chinta pun baru saja mengelap air matanya.
Berbeza dengan aku, ia bukan air mata kegembiraan kerana berjaya menyandang status isteri. Malah bukan juga satu penyesalan kerana meninggalkan zaman bujang. Tapi aku sendiri tidak dapat pastikan kenapa aku menangis. Air mata ini sendiri yang jatuh tanpa diundang. Perit rasanya.
Kalau tidak kerana ingin menandatangani borang prosedur perkahwinan sebelum akad nikah tadi rasanya aku tidak tahu siapa namanya. Sememangnya tidak pernah terlintas dalam mindaku untuk bersuamikan dia. Malah, selama aku hidup di bumi ALLAH, sejak lahir lagi, tidak pernah terlitas dalam mindaku untuk bersuamikan lelaki yang satu ini.
Najwan...
Aku baru tahu nama insan yang akan menempuh kehidupan dengan aku sekejap tadi. Aku sendiri tidak pasti, adakah dia sememangnya sudi untuk menjadikan aku sebagai teman hidupnya. Atau sebaliknya. Kenapa harus jadi sebegini?
Aku kesat lagi air mata. Nampaknya kehidupan baruku akan bermula. Tisu di sisi sudah sekotak habis untuk mengelap air mata yang jatuh mencurah-curah. Mereka yang berada di dalam bilik ini bersamaku berusaha menyabarkan aku. Memberi nasihat untuk menempuh alam perkahwinan. Pada pandangan mereka, tangisan yang terlucut dari tubir mataku adalah tangisan kegembiraan. Senang dengan apa yang baru sahaja tercipta. Dalam hatiku membara perasaan ingin keluar dari semua mimpi ngeri ini. Membawa aku jauh dari alam realiti sekarang.
Nampaknya apa yang aku guraukan sebelum ini menjadi kenyataan. Namun aku tidak serius pun dengan apa yang aku pernah katakan. Sekadar gurauan di pinggir bibir untuk menceriakan suasana.
Ternyata ‘dia’ yang ALLAH pilih untuk menjadi suamiku. Akan berkongsi hidup bersama ‘dia’. Perkara yang tak terjangkau oleh akal. Tiada siapa yang mampu meneka perkara ini yang akan terjadi. Sesungguhnya manusia merancang, tapi perancangan ALLAH ada hikmahnya. Hikmah yang tersembunyi, manusia itu sendiri yang perlu mencari dan menikmatinya.
Aku langsung tidak berkesempatan untuk menentukan jalan hidupku dengan berlandaskan citarasaku. Semuanya lurus sehingga aku tidak sedar adanya simpang dalam kehidupan yang perlu aku singgahi. Menu hidup perkahwinan perlu aku rasa dulu sebelum meneruskan ke perjalanan seterusnya.
Namun sayang, perkahwinan yang wujud langsung tidak mempunyai rasa dalam resepinya. Tawar dan penuh rasa masin. Masin oleh air mata dan kelat oleh ketidakrelaan. Paksaan yang tidak perlu diturutkan.
Setulusnya, tidak terdaya untuk akalku mencerna kenyataan yang mengubah titik dalam kehidupanku. Menjadikan satu gurauan menjadi kenyataan. Kenyataan yang tidak terjangkau oleh keinginan sendiri. Apalagi termimpi di alam tidur. Masalahnya inilah kenyataan yang harus aku sendiri percayakan. Walau mindaku sudah tidak mampu lagi untuk mempercayai kenyataan yang sudah tersurat.
Kenyataan yang perlu aku hadapi adalah menerima bakal pengapit pengantin lelaki sebagai suami sendiri. Ianya betul-betul terjadi kini. Pengapit pengantin berstatus suami kepada Puan Kastia. Menjadi isteri kepada lelaki yang baru aku temui di malam kejadian itu. Lelaki yang hanya aku tahu kewujudannya tapi tidak pernah bersua di alam sebenar. Secara tiba-tiba juga sekarang aku sudah berubah gelaran. Tidak ada lagi cik pada pangkal namaku. Sudah berganti dengan puan. Satu status yang kujangkakan akan aku sandang dalam beberapa tahun lagi. Tapi kini...
Sungguh, aku tak serius dengan apa yang pernah aku katakan. Tak pernah terfikir pun untuk bersuamikan pengapit pengantin. Tapi kini ianya kenyataan. Tidak boleh mengelak lagi. Betul-betul makbul doa-doa mereka untuk cuba memasangkan aku dengan ‘dia’.
Rianglah hati Chinta dengan Ammar. Memang sejak dulu lagi Chinta sudah puas memujuk untuk memperkenalkan aku dengan abangnya, namun aku tak pernah ambil peduli. Dia sanggup main tangkap muat orang lain sebagai pengapitnya kerana telah mendengar aku akan berkahwin.
Sudah puas aku menghitung apa salahku dalam kehidupan ini. Otakku sudah penat untuk memikir perkara ini. Malah sehingga kini aku masih tidak percaya bahawa aku kini adalah seorang isteri. Sama status dengan Chinta dan Kasturi. Tidak pernah terancang untuk mengakhiri zaman bujang dalam usia sebegini.
Memang sesungguhnya aku tidak pernah terfikir untuk berkahwin tahun ini. Tiada calon yang berkenan di hati. Tidak pernah. Malah tiada dalam kamus hidupku untuk berkahwin dalam waktu sekarang. Dalam mimpi sekalipun tidak pernah terjadi, tapi kini ianya adalah kenyataan. Perlu dihadapi secara nyata.
Sampaikan selama ini, aku yang tiada sebarang penyakit, tiba-tiba didatangi oleh migrain. Aku penat sangat berfikir sampai aku tak sedar keadaaan sekeliling. Daripada selepas subuh, hingga ke subuh esoknya pun aku masih berfikir. Keadaan ini membebankan otakku. Oleh kerana tidak mampu menampung segala permasalahan yang menimpa, aku termuntah. Kepala terasa berat. Semacam sedang menjunjung sepuluh batu besar. Aku hentak kepala ke dinding pun tak mampu menghentikan sakit yang mendatang. Seumur hidup tidak pernah aku merasakan kesakitan seperti ini. Ya ALLAH, aku mohon pada-Mu ringankan bebanku.
Bila sudah disahkan, rupanya aku menghidap migrain. Tidak pernah aku tahu kalau selama ini aku ada migrain. Penat berfikir, aku lupakan sebentar tentang masalah migrain kerana ada masalah lebih besar yang menimpa hidupku.
Aku sudah penat untuk mengatakan yang semua ini hanya mimpi buruk yang menjengah tidur malamku untuk seketika. Apabila aku sedar nanti, mimpi buruk ini akan hilang bersama timbulnya sang mentari untuk menyinari alam seterusnya menghapuskan segala mimpi yang singgah di lena insan-insan yang ada di muka bumi ini. Namun segala-galanya hanya angan-angan.
Sudah puas aku tangisi akan nasib yang menimpa diri. Hingga pernah terfikir apa salahku dalam kehidupan ini. Bila kewarasan datang, aku mohon ampun kepada Yang ESA. Betapa berdosanya aku atas kekhilafanku. Menyalahkan takdir yang datang sekejap dalam siratan kehidupanku. Sedangkan semua itu adalah ujian-Nya kepada hamba-hamba yang disayangi-Nya.
Sungguh aku khilaf Ya ALLAH. Layak lagikah diriku ini untuk syurga-Mu. Hamba-Mu ini tidak sanggup untuk ke neraka-Mu.
Semuanya disebabkan ketidakmahuan hati dan mindaku untuk menerima kenyataan yang terjadi. Betapa besarnya dosaku. Menyalahkan qada dan qadar yang telah tersurat sejak azali. Kerana tidak menemukan apa yang tersirat di sebalik segala kejadian yang menimpa, aku mempersalahkan takdir. Benar-benar jauh dari diriku yang sebenar. Sungguh aku tidak faham kenapa semua ini terjadi. Malah beban yang kutanggung ini tidak siapa yang mampu untuk memikulnya bersama aku. Tolong aku Ya ALLAH. Bantu hamba-Mu.
Namun seketika aku sedar. Ini semua adalah ujian dari Dia. ALLAH ingin menduga setahap mana keimanan aku pada-Nya. Segala cubaan yang mendatang itu tanda sayangnya Dia pada kita. Betapa Dia mengambil berat akan hamba-Nya. Tanda betapa Dia mencintai kita.
Tapi entah kenapa imanku yang sememangnya senipis kulit bawang begitu mudah tergugat hanya kerana dugaan sebegini ini. Aku akui, sememangnya ini adalah antara dugaan terbesar yang pernah menimpa hidupku kerana aku tidak pernah menghadapi dugaan yang datang menimpa yang ibarat ombak besar membawa bah ke pantai hidupku. Berat sungguh dugaan-Mu kali ini. Bantu aku menghadapinya Ya ALLAH. Mengapa aku boleh seleka ini? Tidak memikir hikmah yang tersembunyi di atas segala dugaan yang menimpa manusia.
Sesungguhnya Dia tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai mengikut kemampuannya. Jika kita redha dan tabah dalam menghadapi segala dugaan yang mendatang, maka pahalalah yang akan menanti.
Tetapi jika sebaliknya, sesungguhnya neraka ALLAH masih terbuka untuk mereka yang masih dalam kelalaian. Balasan yang baik akan kita dapat hasil dari kebajikan yang kita lakukan.
Kenapa aku boleh terlupa pada janji ALLAH? Sesungguhnya kalau kita redha dengan segalanya, imbalannya amat besar. Kenapa saat ini aku boleh lupa pada janji-Nya? Wahai hati, tabah dan sabarlah.
‘Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka maka bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal ALLAH menjadikan padanya kebaikan yang banyak.'
Aku perlu redha untuk menerima ‘dia’. ‘Dia’ adalah suamiku. Lelaki yang akan menjadi pemimpiku. Bukan aku tidak suka padanya. Macam mana harus ada perasaan suka seandainya aku tidak mengenalinya. Cuma aku tidak dapat menerima kenyataan tentang perkahwinan yang telah wujud ini.
Semua ini hanya disebabkan satu malam. Satu malam yang mampu mengubah segalanya. Sesungguhnya Kun Fa Yakun. Apa yang diingankan oleh ALLAH, jika dia mahu, segalanya boleh terjadi. Bukan hanya satu malam, kurang dari satu saat pun jika Dia menginginkannya, maka akan terjadilah.
Malam yang menjanjikan seribu perubahan dalam arus hidupku. Ia bukan malam Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan atau malam Israk dan Mikraj di bulan Rejab, malah bukan juga malam nisfu Syaaban di bulan Syaaban. Malam yang memberi kebaikan kepada semua umat. Ia bagiku adalah malam yang menyebabkan aku tidak mampu berundur ke belakang walau setapak pun.

No comments:

Post a Comment

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)