Friday, September 26, 2008

Lara Rindu 4

Tiga hari sebelum raya, aku sudah sampai rumah. Tak perlu menyusahkan ayah ambil, nanti Kastia kata aku anak manja pula walau itu realitinya. Tiket bas sudah kutempah awal-awal. Memang seronok melihat gelagat manusia yang memenuhi hentian bas. Semua berbondong-bondong ingin balik ke kampung halaman. Ada yang sanggup tidur di situ semata-mata menunggu masa perjalanan mereka.
Itu sudah menjadi kebiasaan pandangan mata. Bukan sesuatu yang janggal. Kalau orang Melayu tak balik kampung masa perayaan, itu yang baru boleh dihairankan. Walau cuti singkat, mereka sanggup bersusah-payah untuk balik ke kampung. Malah, kalau cuti sambut hari jadi sultan pun, mereka balik juga ke kampung walaupun bukan mereka yang menyambutnya. Krismas, Depavali atau apa saja perayaan yang dirayakan oleh masyarakat majmuk Malaysia, pasti penuh hentian bas. Manusia bersemangat nak balik kampung walaupun keadaan sesak.
Cuti kali ini hanya seminggu, memang seronok, tapi lagi best kalau dapat cuti sebulan. Memang dah beli tiket awal-awal pun, tapi sengaja melewatkan balik ke kampung sebab tak nak tolong emak buat kuih raya. Biar Kas yang jadi pembantu emak. Dia kan dah nak kahwin. Baju raya pun aku dah suruh emak beli. Aku cuma perlu bawa diri saja balik ke rumah.
Kerja aku masa di rumah satu saja, pasang langsir. Teringat masa aku sekolah dulu, masa tu Kasturi tahun kedua di UPSI. Dia balik bawa kain langsir baru, nak pasang di rumah. Emak pula awal-awal lagi sudah jahit kain langsir. Tapi kain langsir yang aku dah pilih.
Aku dengan dia, tiada siapa yang mahu mengalah. Sama-sama nak langsir masing-masing yang dipasang. Nak jadikan ia sebagai perhatian umum. Emak hanya diam, ayah pun senyap saja. Mereka tak kisah langsir apa pun yang hendak di pasang. Asalkan rumah berlangsir.
Dua-dua cantik. Satu warna biru, warna pilihan aku. Kasturi pula pilih warna hijau. Emak cadang simpan satu untuk raya akan datang, yang satu lagi pakai untuk kali itu. Tapi kedegilan mengatasi segalanya. Dua-dua orang tidak mahu mengalah. Sama-sama mempertahankan kain langsir masing-masing agar di pasang di tingkap rumah. Kalau ada dua rumah kan bagus, tak payah kami nak gaduh.
Tahun tu kami buat gempak. Memang kecoh satu kampung. Pecah rekod kampung, rumah aku paling lawa. Sebelah kanan warna biru, sebelah kiri guna langsir warna hijau.
Tetamu yang naik ke rumah pun terbabas di atas tangga, takut tersalah masuk rumah. Semua orang tercengang tengok rumah kami. Popular sekejap rumah Pak Mahmud tahun tu. Tak pernah dibuat orang, langsirnya ada dua jenis. Nasib baik tak letak tembok pemisah di tengah tanda ketidaksefahaman antara dua orang yang berlainan minat. Memang kontra habis.
"Emak kata ada orang masuk meminang. Senyap-senyap. Tak bagitau orang pun?" aku mulakan intro perbualan dengan Kas yang ada bersamaku sama-sama memasang langsir.
"Sementara cuti ni buatlah majlisnya. Bukan tak nak bagitau, tapi orang sana yang buat keputusan mendadak. Kira sempat jugalah nak siapkan barang hantaran," Kas masukkan satu-persatu cangkuk ke langsir untuk digantung.
Kas memang macam ni. Gabra sikit. Kalau orang cuit sikit mesti dia melatah. Ni mesti bakal tunang dia acah saja nak tunang terus jadi majlis tunang betul-betul. Dialah kakak aku yang terbaik. Setiap pertengkaran kami sebenarnya adalah cara kami mengeratkan perhubungan antara kakak dan adik, sebab tu aku tak panggil dia kakak, kami dah jadi kawan baik.
Hari raya pertama sungguh memenatkan. Ingatkan dah mengelat dari buat kuih, aku tak buatlah sebarang pekerjaan lagi. Tapi hampa bila aku disuruh membantu emak memasak. Dari satu menu ke menu yang lain, semua aku juga yang kena tolong emak. Jadi penjaga dapur. Kasturi awal-awal lagi dah lari sebatu. Katanya, orang yang nak tunang kena jaga diri. Kena pastikan diri sentiasa dalam keadaan selamat dan sejahtera. Nanti tak pasal-pasal kena minyak panas atau terkena pisau, tentu turun hantaran. Merapu lebih saja minah tu.
Hari ini juga kami terpaksa menapak ke rumah saudara-mara sebab esok mereka pula yang akan menapak ke rumah kami. Bangun pagi-pagi, mandi sunat hari raya, kemudian pakai baju raya. Aku kalau raya best saja, tak payah pun susah payah nak sedia baju raya. Dah emak pandai menjahit, apa lagi, suruh saja emak jahit. Tidak perlu lagi pergi kedai ukur baju.
Kain untuk baju kurung pun suruh emak yang beli sebab test emak ni tinggi. Apa sahaja yang dia belikan untuk aku dan Kas memang menarik hati dan kena dengan selera kami. Tak perlu emak tarik muka empat belas disebabkan kami tak berkenan dengan pilihan emak. Pilihan emak memang ada class. Kalau aku yang pilih, kadang-kadang aku pun tak percaya macam mana aku boleh pilih kain yang sangat aku tidak suka. Selalunya, aku memang tak puas hati dengan pilihanku sendiri.
Mungkin disebabkan banyak meminta bantuan emak dan keluarga, kehidupan aku sekarang lebih banyak bergantung kepada mereka. Apa-apa hal yang mencelarukan fikiranku, mereka tidak lupa untuk kucelarukan sekali. Kalau aku cuba sembunyi, cepat saja emak tahu apa yang aku sembunyikan dari dia. Emak bijak, dia tak akan korek rahsia dari aku. Tapi dia akan tunggu aku luah pada dia. Begitulah selalunya. Semua perkara tentang aku akan ada dalam tangan emak.
Kami semua pergi ke masjid, jemaah dengan orang kampung. Meriah sungguh. Dengan aneka ragam manusia dan warna-warna baju raya yang menarik. Masa inilah berkumpul dengan orang kampung.
Aku pun ambil peluang salam dengan orang kampung. Dahlah aku jarang keluar rumah kalau balik kampung, maka jaranglah aku jumpa mereka. So, aku ambil peluang ini, bermaafan dengan mereka. Aku salam kat kawan satu sekolah, jiran sebelah rumah, jiran jauh pun aku salam. Pokoknya memang di beranda masjid ni jadi tapak mengeratkan silaturrahim.
Sambil tu, ayah jemput orang kampung datang ke rumah. Ke majlis rumah terbuka merangkap kenduri untuk pertunangan Kasturi. Tidak perlu lagi ayah menapak dari rumah ke rumah untuk sampaikan perkara ini. Cukuplah orang yang datang masjid tahu, nanti tugas mereka pula untuk sebarkan kepada yang lain. Bagus juga duduk kampung ni, nilai kerjasamanya sangat tinggi.
Aku perasan juga Kas ni, jadi leher panjang pula. Setahu aku, leher dia tak adalah panjang macam burung jenjang. Tapi dia cuba panjangkan juga, siap berjengket lagi. Hairan. Aku menyiku dia. Dia buat tak tahu. Lepas tu senyum sendiri. Aku pun tolehlah ke arah pandangan matanya tertuju.
Oh! Ada jejaka berbaju melayu biru di sana. Patut pun beria nak berbaju kurung biru walaupun emak dah tetapkan tema baju raya tahun ni warna ungu. Emak cakap, Kas ke pekan tiga hari sebelum raya, nak cari juga baju yang ada biru dan ungu. Patut pun aku nampak warna baju dia semacam saja.
Pada perkiraan aku, kalau dah mengedik tahap macam ni, pastilah lelaki berbaju melayu biru itu bakal tunang Kas. Gatal juga si Kas ni, tak pandai sabar, bukannya tak boleh jumpa pun.
Lepas saja bermaafan dengan kedua orang tua, kami semua gerak ke rumah opah. Masa bersalam-salaman tu memang buat drama sekejap. Aku dan Kas dengan rendah hati sedekah air mata. Memang macam ni pun tiap kali raya. Kami akan memohon maaf dan bertangisan. Emak dan ayah akan duduk di sofa, aku dengan Kas akan menyalami mereka di bawah. Hanya kami berdualah permata emak dan ayah. Bila sudah menangis, pasti emak pun aku turut menangis sambil mengusap kepala kami berdua. Ayah pula akan mengusap belakang emak, memberi ketenangan dan meredakan tangisan emak. Situasi yang pasti berlangsung setiap kali hari raya.
Memang banyak dosa aku, terutama dengan si Kas. So, time inilah paling sesuai untuk bermaafan. Kalau bukan hari raya, rasanya tak mungkin aku nak main nangis-nangis dengan si Kas ni.
Tapi dengan ikhlas aku memohon maaf pada dia. Memang banyaklah kesalahan aku padanya. Tuang minyak wangi dia dalam mangkuk tandas, koyakkan baju tidur kesayangan dia, sembunyikan buku rujukan dia, langsung tak tolong bila keadaan kecemasan dia suruh aku seterika baju kurung dia dan... rasanya tak tersebut segala kesalahan yang telah aku lakukan. Tapi tak payahlah aku sebut satu-satu kesalahan aku pada dia, nanti panjang pula celoteh dia. Biar aku minta maaf sekali untuk cover semua kesalahan aku. Satu permintaan maaf untuk berguni-guni kesalahan yang telah aku lakukan pada dia.
Lagipun aku dah maafkan kesalahan dia sebab koyakkan beg Lois aku, sengaja bakar muka tweety pada baju tidur aku, CD Conan aku dia sembunyikan atas loteng dan komik-komik simpananku dari Moy Publications dia bagi pinjam kat murid dia. Ada banyak lagi yang telah dia perbuat, tapi semua itu aku maafkan untuk kali ini. Kalau lain hari dia buat, mesti akan ada masa untuk pembalasan.
Ketika mentari hampir melabuhkan tirainya, kala itulah kami baru sampai ke rumah. Apa tidaknya, dahlah keliling satu kampung, habis satu Jeram ni aku round, lepas tu pergi ke kampung sebelah, kampung Assam Jawa. Nasib baiklah saudara belah emak dan ayah ni tinggal dekat-dekat. Tak adalah habis minyak ayah nak round satu semenanjung, dari Perlis ke Johor. Memang haru, dengan aku sekali yang akan patah kaki dan buncit perut nanti.
Aku tengok si Kas ni tak diet pun. Makan apa yang dihidang. Bukan hari tu dia cakap nak dietkah? Nak bagi baju pengantin muat. Tapi aku tengok dia dulu yang bedal hidangan.
Di rumah Pak Tam, dia habiskan satu mangkuk mee rebus. Di rumah opah, dia makan soto. Rumah Pak Long, makan laksa. Rumah Mak Andak, makan sate. Kesimpulannya, setiap rumah yang dijejak, pasti makanannya pun selamat sampai ke perut. Memang susah nak tolak makanan. Memang penuh perut, termasuk aku. Penuh dengan variasi makanan. Dahlah tu, sedap pula. Dengan kuih raya yang hanya akan jumpa dua kali setahun, memang aku tak ketinggalan untuk memenuhkan ruang kosong yang ada dalam perut aku.
Memang tak ingat dah nasihat yang aku amalkan sebelum ini. Penuhkan perut dengan satu pertiga makanan, satu pertiga air dan satu pertiga udara. Rasanya tiga pertiga dipenuhi makanan. Air pun sikit saja yang masuk. Keadaan inilah yang menyebabkan tidur malam rayaku terlalu awal. Lepas Isyak saja aku dah tersadai atas katil dengan bermimpikan nak makan ayam golek esok....

-------------------------------------------------------------------------------------

Hari ni hari pertunangan Kasturi. Aku tengok dia senyum saja dari semalam. Dari awal aku balik kampung sampai sekarang, dia sentiasa kelihatan ceria. Nama bakal tunangnya aku tak tahu lagi. Di masjid semalam tak dapat nak tanya. Katanya nak bagitahu aku hari ni. Tak tahu kenapa kedekut sangat nak bagitahu nama tunangnya, bukannya aku nak curi pun. Lagipun aku dah tengok orangnya, dia dah mengaku yang lelaki berbaju biru dekat masjid semalam tu bakal tunangnya. So, apa masalahnya lagi dengan nama lelaki tu. Hanya nama sahaja yang aku nak tahu. Itupun kedekut nak bagitahu.
Awal pagi lagi emak dah kerah bangun. Dia dah siapkan baju sedondon untuk kami. Emak ni rajin sangat. Sudahlah tolong sedia baju raya, sekarang sedia untuk baju majlis hari ini lagi.
Baju Kasturi pun emak jahit. Emak dah tahu awal-awal, so dia dah beli kain tu. Baju tu memang diukur untuk Kasturi. Siap beropol-opol lagi. Manik-manik pun bergantungan. Dipadan dengan tudung warna jingga. Memang lawa baju tu, tapi tak tahu kalau lawa dipakai. Ini ayat ala-ala dengki ni, sebab aku tak tunang lagi. Tak apalah, bagi peluang pada Kas pula. Dia pun dah tua, dah masuh 27 tahun. So, memang sesuai untuk brtunang pun.
Itulah, lama sangat baru decide nak kahwin. Konon nak sambung belajarlah, nak kerjalah. Tapi aku tak salahkan dia pun. Lepas saja dia tamat belajar empat tahun di UPSI, terus di buang ke polosok pedalaman.
Hahaha. Posting pertama dia di Hulu Tembeling. Nangis dia. Nak pergi sekolah tu kena naik bot, elektrik tiada, air pun tiada. Lepastu berjam-jam baru sampai. Memang haru. Nak buat macam mana, dah arahan daripada Kementerian Pelajaran. Kalau tolak, nanti tak dapat jadi cikgu pula. Sia-sialah dia belajar. Kalau tak jadi cikgu, satu kerjalah pula kena cari kerja lain.
Cikgu adalah cita-cita dia sejak sekolah. Rela berkorban, tempuh selut dan lumpur, jalan raya tak berturap, balik kampung pun setahun sekali. Aku rasa lebih dasyat dia posting di Hulu Tembeling tu daripada budak-budak yang sambung study ke oversea. Ada juga balik Malaysia setiap kali cuti. Kalau macam Kasturi ni, kalau tak cetek air sungai itu, selagi itulah ada peluang untuk keluar ke dunia luar yang lebih luas. Tapi kalau sebaliknya, maka berkampunglah mereka dengan dunia mereka untuk jangka masa yang lama.
Tapi aku memang banggalah dengan dia. Dia jadi kental lepas balik dari sana. Pacat, lintah, bau getah, semua dah kebal dengan dia. Tak takut dah. Padahal sebelum ni, lipas lalu sebelah pun dah kecoh melompat keluar rumah.
Tiga tahun berkhidmat di pedalaman, baru dia dapat bertugas ke kampung halaman sendiri. Ni pun baru beberapa bulan berkhidmat di sini. Dengan bakal tunang dia pun rasanya baru lagi terjalin kasih sayang. Tak tahulah kalau diam-diam dia bercinta. Tapi tak pernah pula dia cakap dia bercinta. Kalau ada, memang dia dah bagitahu aku awal-awal. Rahsia dia akan jadi rahsia aku juga sebab kami saling memerlukan antara satu sama lain. Dia ada cakap yang bakal tunang dia ni bekas satu sekolah. Maknanya, satu sekolah dengan aku jugalah. Akukan satu sekolah dengan Kasturi. Mesti aku kenal mamat tu.
Aku keluar tengok persiapan. Saudara-mara terdekat saja yang ada. Kan hal-hal pertunangan ni tak apa kalau tak dihebohkan. Tapi jangan nikah disembunyikan. Kena hebahkan kepada semua orang. Kalau tunang ni tak apa, sebab pertunangan tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan, manalah tahu kecundang di tengah jalan. Nanti, akan malu semuanya. Aku tak doa pun macam tu pada kakak aku. Cuma beri peringatan pada diri sendiri. Lagipun benda ni ayah yang cakap pada aku. Kasturi juga yang nak begini.
Adik beradik sebelah emak dan ayah dah ramai yang datang. Sambil-sambil meriahkan majlis pertunangan, mereka datang berziarah sempena hari raya. Bab ni, keluarga aku memang titik beratkan. Saling berkunjungan pada hari raya. Ialah, kadang-kadang tu dapat jumpa dua kali setahun saja, masa hari raya. Selain hari raya, memang susah nak jumpa.
Aku balik ke bilik bila dengar suara kecoh. Rupanya Kasturi buat riuh. Aku tolong gelak saja bila dia muncung. Hahaha... padan muka. Makan tak ingat dunia sampai baju dia dah sempit. Memang aku dah gelak sakan.
Tapi lawalah. Dah baju tu memang dilonggarkan. Dia bukannya suka baju yang sempit-sempit ni, yang menampakkan bentuk badan. Jadi baju tu kira muat-muat untuk dialah. Dia saja yang tak selesa.
"Tak payah risaulah. Tak ada orang nampak pun. Keluarga kita saja. Nanti bakal mak mentua kamu saja yang masuk sarung cincin," emak cuba memujuk.
Tapi dia tetap muncung. Memang boleh digantung baju pada muncung dia. Siapa yang salah? Main rembat saja makanan. Semua dia makan, lemak, mentega, minyak dan air manis memang dia bedal semuanya.
Tapi dia tak muncung lagi bila emak janjikan baju perkahwinan yang terbaik untuk dia. Ni yang nak jelous ni.
"Kamu jangan risaulah. Mesti si Lemon pun dah naik berat badan dia. Bukan kamu seorang." Habis saja emak cakap macam tu aku dah nak tergelak.
Lemon?? Siapa tu? Takkan bakal abang ipar aku.
Hahahaha.. Patut pun payah Kasturi nak bagi tahu nama dia.
Hahahaha...memang aku gelak sakan.
Kasturi dah pandang aku semacam.
"Emak, nama dia bukan Lemonlah. Nama dia Sulaiman." Kasturi kembali memuncung. Konon-konon nak sambung merajuk dengan emak. Manalah tahu dapat tawaran yang lebih hebat lagi selain daripada baju pengantin yang telah dijanjikan. Tapi emak tolong sengihkan untuk aku.
Aku sambung gelak lagi. Padanlah.
Lemon + Kasturi.
Satu jenis, sama spesies.
“Kau senyap,” Kasturi merenung aku. Marahlah tu sebab aku gelakkan nama bakal suami dia.
“Nama dia Leman tau. Jangan panggil dia Lemon. Lemon only valid for me,” sekali lagi Kasturi menegaskan.
Kalau tak nak panggil dia Lemon, panggil Leman. Memang padan. Tapi aku tak habis gelak lagi pasal lemon dengan kasturi ni.
Rasanya ini mesti abang Leman. Abang yang selalu sakat Kas di pagar sekolah. Selalu tunggu masa balik, lepas tu kacau Kas. Kalau abang Leman yang ni, memang aku kenal. Pengawas di sekolah. Tapi taklah kenal sangat, sebab masa tu aku memang junior lagi. Mereka dah tingkatan lima, aku baru tingkatan satu. Nasib baiklah Kas sambung tingkatan enam di sekolah tu, so selalulah aku buli dia.
Memang patut pun. Kakak kena bantu adiklah, tolong bawakan beg sekolah dan minta duit belanja dia. Memang seronoklah masa Kas ada di sekolah. Tapi lepas dia tak ada, aku jadi pendiam. Asyik belajar saja. Tak bersosial pun, sebab tu nama aku tercatat sebagai pelajar terbaik sekolah, SPM 12 A.
"Kas, padanlah nama kamu. Seorang Lemon, seorang lagi Kasturi, nanti kalau aku nak minum ice lemon tea, aku minta saja pada korang. Kalau tiada ice lemon tea, ice kasturi tea pun tak apa," gurauku.
Semua orang yang ada di dalam bilik itu gelak sekali dengar apa yang aku cakap. Tapi Kas still maintain. Dia tak nak rosakkan mekap dia, so senyum saja. Memang lawak sungguhlah pasangan ni.

No comments:

Post a Comment

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)