Sunday, August 15, 2010

baik-baik sayang-7

Dia ingat lagi saat itu. Sulaiman dilihat tenang duduk di kerusinya.
“Qis, kita tunaikan saja hasrat mereka. Janganlah kecewakan mereka. Jangan kita punahkan kegembiraan mereka.”

Sulaiman mengacau-ngacau minuman di hadapannya. Mocca yang masih berkepul-kepul itu belum lagi menjamah halkumnya. Sekejap lagilah minum. Tunggu suam dulu. sudu kecil tadi diletakkan di tepi cawan. Beberapa paket bekas gula diletakkan di tepi. Ada dua semuanya. Cukuplah tu, nanti kena kencing manis pula. Sulaiman mengingatkan diri sendiri. Biarpun dia tak rasa lagi minuman di hadapannya, dia sudah biasa meletakkan dua paket kecil gula untuk minumannya.

“Tapi saya tak suka awak,” jujur Balqis menjawab.

“Balqis... Balqis...” menggeleng-geleng Sulaiman menyebut nama itu berulang kali.

“Qis ni, jawab direct betul. Langsung tak ada brek. At least, jagalah hati abang sikit. Kecil hati abang dengar Qis cakap macam tu tau,” Sulaiman menyambung katanya. Dia menggeleng lemah.

“pedulilah,” lantang jawapan Balqis. Tidak dipeduli dengan siapa dia bercakap saat ini.

Geramnya hati Balqis saat diberitahu bahawa dia akan berkahwin dengan lelaki yang ada di hadapannya saat ini. geram sangat. Kenapa lelaki ini bersetuju dengan segalanya. Dia tak ada panduan hidupkah? Kenapa semua arah hidupnya perlu ditunjukkan oleh orang lain.

Ikutkan hati, dia nak cincang lumat lelaki yang bernama Sulaiman ini, masukkan dalam blender. Buat jus. Lepas tu buang dalam sungai Klang. Puas hati!

“Betul-betul marah dengan abangkah?” Soal Sulaiman. tatapan matanya tertunak pada wanita di hadapannya.
“Ya.” Laju Balqis membalas.
“Bukan salah abang. Qis tak boleh marah abang. Family kita yang nak kita berkahwin,” jelas Sulaiman lagi.

Dia sedikit terluka dengan cara penerimaan Balqis. Kenapa gadis itu berubah 360 darjah. Kali terakhir mereka bertemu adalah dua belas tahun yang lepas. Ketika dia tamat tingkatan lima dan menyambung pelajaran ke tempat lain. Manakala gadis itu ditinggalkan di sekolah menengah. Bukan ditinggalkan, tetapi keadaan yang membuat dia tidak punya pilihan. Takkanlah dia nak tercongok lagi lima tahun nak tunggu Balqis tamat belajar.

Sulaiman tidak tahu kalau jarak perpisahan mereka telah membuat sikap Balqis
sebegini. Sedikit dingin. Bukan sedikit, tapi SANGAT DINGIN.

“Kenapa sekarang Qis dah tak panggil saya dengan panggilan abang?” soal Sulaiman sambil memandang gadis di hadapannya.

Sulaiman perasan kalau gadis di hadapannya itu lebih berminat melihat segala benda yang ada di sekitar kafe itu selain daripada figuranya. Kenapa ya? Teruk sangatkah wajahnya sampai tak boleh di pandang? Tapi orang-orang di tempat kerja berebut-rebut nak bekerja di bawahnya. Klien pun tidak putus-putus masuk ke dalam pejabatnya. Temannya yang lain pun cakap yang wajahnya ini cukup memikat untuk perempuan pandang. Apa bezanya dengan Balqis? Takkan dia tak ada selera dengan lelaki? Nauzubillah.

“Awak bukan abang saya.”
Jawapan itu membuat Sulaiman cepat mengalihkan pandangan.
“Tapi dulu Qis selalu panggil saya dengan panggilan abang,” Sulaiman masih tidak putus asa menagih jawapan.
“Tak nak.” Balqis masih degil.
“Kenapa awak terima cadangan parents kita?” soal Balqis kemudian setelah keadaan senyap menguasai mereka.
“Qis tak rasa cadangan mereka adalah yang terbaik untuk kita?” soal Sulaiman. soalan dibalas dengan soalan.
“Tapi saya tak suka,” sedikit membentak Balqis membalas.
“Kenapa?” soal Sulaiman sambil jungkit kening.
“Tak sukalah. Lagipun kita ada jalan hidup masing-masing. Kenapa kita tak berhak tentukan hidup kita sendiri?” suara Balqis sedikit kuat. Takkan mamat di hadapannya ini sedikit lembap sampai perlukan Kamus Dewan untuk mencari makna TAK SUKA. Sendiri mau fahamlah.
“Dalam hidup kita ni, sesekali kita perlukan orang lain untuk bantu kita buat keputusan. Supaya kita sedar yang bukan hanya kita ada di dunia ini,” jawapan Sulaiman membuat hati Balqis membentak lagi.
“Kita yang caturkan hidup kita sendiri. Tak perlu campur tangan orang lain untuk gerakkan buah catur kita,” jawab Balqis.
“Itulah masalahnya. Balqis samakan hidup dengan buah catur. Memang perlukan orang lain untuk bantu gerakkan. Permainan tak kan berjalan andai satu pihak sahaja yang bergerak. Its need two tango,” Sulaiman masih tidak henti memujuk dalam senyap. Berusaha untuk mencairkan gadis itu agar menerima takdir yang datang kepada mereka saat ini.
“Balqis...” Balqis sudah kehilangan kata. Tidak tahu mahu menjawab bagaimana. Dia memang sudah blur. Fikirannya kacau.
“kenapa tak menolak?” soal Balqis. Kali ini, soalan yang dituju beserta kepala dihadapkan memandang wajah Sulaiman.
“Abang memang tak mahu menolak. Abang tak nak lukakan hati sesiapa. Seandainya kita menolak, pastinya banyak hati yang akan tercalar akibat sikap pentingkan diri kita,” ujar Sulaiman tenang.

Sulaiman sentiasa dalam keadaan tenang. Baik dalam tindakan mahupun cara cakapnya. Keadaan ini menambah sakit hati Balqis. Geram dia dengan sifat cool yang ada pada lelaki ini.

“Kalau begini tindakan awak, sepertinya saya tidak mempunyai hak untuk menolak,” sayu suara Balqis.
“Qis, kita memang diberi pilihan untuk menolak. Qis kena tahu, setiap tindakan kita pada hari ini, akan ada pengorbanan yang perlu kita lakukan. Akan ada perkara yang perlu kita lepaskan.”
Sulaiman pandang wanita di hadapannya itu. Balqis dilihat terlalu bersungguh dalam memberi hujah sendiri untuk menegakkan keputusannya.
“Qis pernah dengar pasal kos lepas?” Soal Sulaiman. Dia setia memandang gadis di hadapannya. Masih menanti jawapan.
Balqis hanya menggeleng bila disoal begitu. Dia sememangnya tak pernah dengar tentang kos lepas. Apa benda tu? apa kaitan kos lepas dengan masalah yang sedang mereka hadapi saat ini?
“Kos lepas penting dalam ekonomi. Ia berdasarkan kepada kenyataan bahawa setiap input atau sumber mempunyai kegunaan alternatif walaupun alternatif tersebut tidak dilakukan. Setelah input terikat untuk kegunaan tertentu, ia tidak boleh digunakan pada alternatif lain dan pendapatan daripada alternatif lain akan hilang.”

Ish... dia ni manager atau cikgu ekonomi. Balqis dah tergeleng-geleng mendengar penerangan yang sedikit pun tak masuk dalam otaknya.

“Tak faham,” cepat Balqis berkata bila penerangan Sulaiman sudah ternoktah. Kepalanya juga digeleng perlahan.
“Dalam situasi kita sekarang ni, kita perlu lepaskan suatu pilihan yang lain untuk memberi keuntungan kepada kita. Macam sekarang ni, pilihan yang kita ada adalah teruskan perkahwinan atau tolak. Tugas Balqis sekarang adalah senaraikan segala kebaikan dan keburukan kalau kita teruskan. Begitu juga situasinya kalau Balqis tolak. Ambil kira semua keadaan. Jangan pandang satu penjuru sahaja. Bila sudah dapat keputusannya, Balqis kena pilih salah satu yang terbaik. Yang memberi lebih banyak kebaikan pada Balqis.”

Adui...panjang pula tazkirah cikgu ekonomi ni. Patutpun dia tak pernah dengar pasal kos lepas, sebab masa sekolah dulu dia tak pernah ambil ekonomi. Habis tingkatan lima, terus masuk matrikulasi. Memang tak sempat nak berkenalan dengan subjek ekonomi.

“How about if I refuse?” soal Balqis sambil angkat kening.
“Balqis tak boleh buat short list macam ni. Dalam keadaan sekarang, Balqis kena ambil kira untuk long term sebab ini adalah pelaburan masa hadapan Balqis. Balqis mahu untung atau rugi? Kena fikir betul-betul. Satu perkara yang perlu Balqis ingat, kita punya Dia untuk bantu kita pilih keputusan yang terbaik. Balik nanti istikharah. Bila sudah dapat jawapan, Balqis akan tahu kos lepas yang terpaksa Balqis lepaskan demi keuntungan yang berganda-ganda,” ucap Sulaiman mengakhiri sesi tusyen untuk mata pelajaran ekonominya hari ini.

Balqis dilihat mengangguk-angguk. Sulaiman tersenyum. Nampaknya proses pembelajaran hari ini berjalan lancar. Segala objektif tercapai. Tak pasal-pasal kena terang pasal kos lepas pula.

“Balqis dah ada yang punyakah?” Soal Sulaiman lagi.
“Itu tak ada kaitan,” Balqis jawab acuh tak acuh.
“Banyak kaitannya Qis. Kalau Qis dah berpunya, segala yang dirancang tak akan terjadi. Abang tak mahu kacau jambangan bunga orang lain. Abang tak nak dianggap orang yang tak ada adab,” jelas Sulaiman.
“Tapi setahu abang, Mak Chu kata Qis belum ada yang punya,” sambung Sulaiman lagi sambil tersenyum. Puan Mariam atau lebih selesa dipanggil oleh Sulaiman sebagai Mak Chu ada memberitahu kalau status Balqis saat ini masih lagi single and available.
“Tapi saya tak bersedia lagi untuk hadapi semua ini. masuk ke alam rumahtangga langsung tak tersenarai dalam planning saya. Memang saya tak pernah tulis dalam year planning pasal kahwin-kahwin ni,” jelas Balqis. Suaranya sedikit sayu.
“Qis... sampai bila-bila pun kita tak akan bersedia. Tu sebab kita perlukan tindakan untuk menjadikan kita bersedia hadapi segalanya.” Sulaiman masih dalam keadaan tenang.
“Andai segalanya berjalan seperti yang dirancang, apa akan jadi pada kehidupan kita masa akan datang?” nada kerisauan Balqis pula saling bertingkah. Hatinya terbelah dua. Mahu menerima dan terselit juga desakan agar menolak sahaja semua perkara yang dirancang ini. baginya dia adalah manusia, punya hak. Berhak untuk memilih.

Balqis tahu, kalau dia terima maknanya ia hanya melibatkan urusan antara dia dan Sulaiman. Tetapi kalau dia tolak, maknanya Balqis telah melibatkan banyak pihak. Pihak keluarganya dan keluarga Sulaiman. malah dari nenek moyang hinggalah ke cucu-cicit pasti akan terkena bahangnya sekali andai Balqis cuba menolak segala perancangan yang telah ditetapkan.

“Awak janji jangan kacau saya.” Akhirnya Balqis bersuara perlahan.
“Kacau?” soal Sulaiman. Cepat dia mengajuk pernyataan Balqis.
Setelah beberapa minit, akhirnya tergambar sengihan di bibir Sulaiman. Dia faham maksud ‘kacau’ yang diertikan oleh Balqis.
“Tak kacaulah,” balas Sulaiman selepas itu. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Akhirnya Balqis memberi manfaat dalam kehidupannya. Tidak menyusahkan dia dengan apa-apa keputusan yang negatif.
“Saya harap awak faham apa yang saya maksudkan. Saya tahu awak orang bijak,” penuh perasaan Balqis meluah.
“Abang faham. Sudah hampir bertahun kita tak jumpa, mesti Balqis janggal dengan abang. Abang tak kisah kalau kita sambung semula apa yang telah kita bina sejak zaman kanak-kanak. Chilhood memory.” Sulaiman pandang Balqis. Dia mengharap benar agar Balqis faham apa yang dikatanya.
“Saya harap awak betul-betul faham. Zaman kanak-kanak tak sama dengan zaman sekarang. Terlalu besar perbezaannya. Kalau awak kata nak sambung, saya fikir amat sukar sebab kita perlu mulakan semua dari titik awal. Bukan dari titik pertengahan sebab saat ini saya anggap awak adalah orang yang baru saya kenal. Masih cuba untuk terima awak dalam hidup saya,” luah Balqis cepat.

Dia tidak mahu Sulaiman mengharapkan untuk menyambung hubungan mereka seperti zaman kanak-kanak duhulu. Memang situasinya sangat berbeza. Sukar untuk disambung sebab tali yang digunakan bukan dari jenis sama lagipun tali tersebut mengalami pembesaran dalam situasi yang berbeza.

“Abang faham,” balas Sulaiman lemah.

Luluh hati Sulaiman bila mendengar bicara Balqis. Gadis itu memang sudah padam semua ingatan tentang dirinya sejak zaman kanak-kanak. Dibuang untuk selamanya. Kalau setakat terbuang dalam recycle bin, dia boleh tolong restore kan. Masalahnya Balqis sudah buang terus dari kehidupannya.

Balqis tersenyum puas. Akhirnya satu memorendum persefahaman antara dia dan Sulaiman telah disepakati. MoU yang tidak perlukan sebarang dokumen yang perlu ditandatangi itu hanya bersandarkan kepada kejujuran dan keikhlasan bagi setiap pihak yang terlibat.

Balqis sedar akan kesan yang akan diterima. Kemungkinan besar salah satu pihak akan melanggar perjanjian ini. namun, dia hanya mampu dan berserah agar segalanya berjalan seperti dirancang.

No comments:

Post a Comment

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)