Wednesday, October 27, 2010

kasih tercipta - 5

assalamualaikum

lama aku tak onlinekan? aku ni sungguh mengada-ngadakan?

yalah, dah tahu masa terluang tak banyak, nak juga aku main coret-coret. aku minta maaf banyak2. sekarang ni memang busy. mungkin minggu ni sempatlah online setiap hari, aku cuba publish citer kasih tercipta ni sampai habis. insyaAllah.

_______________________


Malam itu mengungkap segala kisah Bonda. Mengapa dia tidak mahu berkahwin. Mengapa dia tidak mahu melangkah ke alam perkahwinan. Bonda bukan ingin menjadi seperti Rabiatul Adawiyah kerana Bonda hanya manusia biasa. Dia bukan lari dari fitrah, tapi kelukaan lepas membuat hatinya tegar untuk mengulang sejarah lamanya.

Perkahwinan Bonda tergugat. Suami mati semasa anak masih dalam kandungan. Sama seperti kisah Umairah. Tapi sejarah Bonda lagi menyayat hati. Selepas kelahiran anak yang menjadi penjalin kasih dengan suami, anak itu dirampas. Tidak sekali diberi peluang kepada seorang ibu untuk menyusukan anaknya. Sehinggakan Bonda hampir menjadi orang kurang waras. Meroyan.

Nasib baik Ibu Su, teman rapat Bonda sudi membantu. Mengembalikan semangat Bonda. Menjadi hamba Allah yang selalu redha dengan qada dan qadarnya. Ibu Su berada di sisi Bonda di saat-saat genting Bonda. Mencuba mengembalikan rohani Bonda agar kembali ke alam sebenar. Menjadi hamba Allah yang selalu tabah menghadapi dugaannya. Sesungguhnya, semakin banyak dugaan yang mendatang menunjukkan betapa sayangnya Allah pada hamba-Nya. Dengan ujian yang datang menjadi tanda Allah mengambil berat terhadap umatnya.

Kehidupan Bonda kembali kepada normal. Menjadi wanita yang tabah dengan ujian Allah. Apabila kehidupan Bonda sudah stabil, Bonda Su yang mencadangkan agar Bonda mencari pengganti anaknya yang diambil orang. Mengambil anak angkat untuk menghilangkan rindu kepada anak kandung sendiri. Lama baru Bonda berani untuk mengambil anak angkat. Risau diri tidak dapat betanggungjawab untuk menjaga anak orang lain. Namun kata Bonda, sejak Umairah menghuni hati Bonda, sedikit sebanyak rindu pada anak kandung terubat.

“Mana anak Bonda?” Pertanyaan Umairah membuat Bonda senyap. Umairah tahu Bonda terluka. Mengenang kembali kisah lama, pasti mencalar kembali hati yang sedang sembuh lukanya.

“Anak Bonda, Ahmad Fathi. Hilang. Bukan hilang sebenarnya. Diambil oleh keluarga mentua Bonda. Mereka tidak mahu cucu mereka dipelihara oleh wanita seperti Bonda. Hanya sekali Bonda melihatnya. Saat kelahirannya. Selepas Bonda keluar dari bilik bersalin, mereka sudah mengambil anak Bonda. Membawanya jauh dari Bonda. Bonda tahu pun sebab doktor yang bertugas masa Bonda bersalin yang bagitahu. Doktor itu pun berat untuk menyampaikan berita ini. Tapi melihat keadaan Bonda yang belum sihat, dia menjadi risau akan memberi kesan yang lebih bahaya. Maka dia bagitahu Bonda keadaan sebenar. Anak Bonda dibawa pergi. Masa tu, Bonda belum ada kekuatan untuk mengejar mereka. Bila dah sihat sikit, Bonda ke rumah mereka.

Memang sejak awal lagi mereka tidak menyetujui Bonda menjadi menantu. Wanita yang tidak mempunyai apa-apa. Apalagi pangkat atau keturunan. Tapi suami Bonda ikhlas untuk memperisterikan Bonda. Dengan tekad itu, kami berkahwin. Menjalani rumahtangga seperti pasangan lain. Namun panas tak sampai ke petang. Suami Bonda meninggal kemalangan. Langgar lari. Bayangkan sahaja. Dengan anak yang dikandung, suami pula dijemput pergi. Bonda hilang arah. Su yang banyak bantu Bonda. Kembali menginsafi diri. Dipanggil pergi awal tanda Allah sayang padanya. Sejak itu, Bonda berazam untuk memelihara tinggalan suami Bonda dengan kasih-sayang.”

Panjang penerangan Bonda sambil mengesat air mata yang deras mengalir. Umairah sayu. Air matanya juga mengalir. Begitu sekali ranjau yang terpaksa dilalui Bonda. Sungguh dia tidak sangka.

“Nampaknya ujian Allah tidak terhenti di situ. Anak Bonda pula diambil. Apabila sampai ke rumah keluarga mentua, orang gajinya memberitahu bahawa mereka sudah tidak ada. Menetap di Kanada. Jauhnya. Kalau ada duit, memang Bonda cari sampai ke Kanada. Tapi Bonda sedar keadaan Bonda pada masa itu. Lagipun Bonda yakin, kasih anak Bonda akan sampai ke syurga. Atas sebab itu, Bonda redha. Suatu hari nanti kalau ada rezeki pasti Bonda bertemu semula dengan anak kandung Bonda.”

Umairah hanya mampu berdoa. Moga Bonda berjaya menggapai kasihnya yang pernah hilang. Umairah menepuk perlahan belakang Bonda. Cuba memberi semangat untuk Bonda. Selama ini dia tidak tahu kesengsaraan yang dialami oleh Bonda. Kasihan. Hidupnya lebih berliku daripada jalan hidup Umairah. Sedangkan selama ini, Umairah banyak mengenangkan nasib diri. Tidak mempunyai keluarga kandung. Ingatkan hidup Umairah terlalu banyak kesedihan. Tapi dibandingkan dengan hidup Bonda, bagai langit dan bumi. Sungguh tak terucap untuk menggambarkan kesulitan yang dihadapi oleh Bonda.

“Sebenarnya ada benda yang Bonda ingin meminta tolong dari Umairah. Umairah dah ada kekasihkah?”

Pertanyaan Bonda membuat jantung Umairah berdegup kencang. Hanya gelengan yang diberi sebagai jawapan. Tidak pernah Bonda bertanya seperti itu sebelum ini. Lagipun Umairah tidak terfikir pun tentangnya. Memang Umairah belum tergerak hati untuk menjalin kasih sayang dengan lelaki ajnabi.

Bagi Umairah, kalau ada jodoh, pasti akan menjelma. Allah sudah menjadikan manusia itu berpasang-pasangan. Walaupun jodoh itu di tangan Allah, tapi manusia yang perlu berusaha untuk mencari jodoh mereka. Apabila keadaan terdesak dan sudah sampai masanya, baru Umairah akan mencari jodohnya sendiri. Bukan di kala ini, atau semasa zaman belajar. Kalau boleh dia ingin menemankan Bonda sampai ke akhir hayat Bonda.

“Berat untuk Bonda khabarkan. Tak tahu macam mana penerimaan Umairah. Bonda nak sampaikan pun berfikir berhari-hari,” ujar Bonda sambil mengusap lembut rambut Umairah.

“Ada apa Bonda? Cakaplah. InsyaAllah, kalau Umairah boleh bantu, Umairah akan tolong.” Begitu kata Umairah untuk membantu Bonda mengusulkan apa yang tersirat dalam hati Bonda. Biar dengan berkata begitu Bonda akan meluahkan apa yang membelenggu mindanya.

“Bonda nak pinang Umairah.” Ungkapan Bonda membuat Umairah segera mendongak. Mencari wajah tulus Bonda. Umairah terkedu apabila Bonda mengangguk. Sandiwara apa yang sedang Bonda cuba persembahkan. Membuat hati Umairah tertanya-tanya.

“Bonda janganlah nak bergurau.” Hati Umairah sudah tidak senang. Melihat kepada wajah Bonda, memang betul usulan Bonda adalah serius. Bukan main-main.

“Bonda nak lengkapkan peranan Umairah. Nak jadikan Umairah menantu Bonda,” begitu kata Bonda sambil tangannya mencapai tangan Umairah.

“Sampai sekarang Bonda tak terima Umairah sebagai anak kandungkah?” Perkhabaran Bonda menyedihkan hati Umairah. Bonda belum menganggap Umairah sebagai anaknya. Sedih hati Umairah. Hatinya sudah meraung, air matanya mengalir laju.

“Bukan macam tu sayang. Bonda tidak pernah terfikir yang Umairah bukan anak Bonda. Sampaikan Bonda terlupa Umairah tidak lahir dari rahim Bonda. Bonda sayang sangat Umairah. Satu-satunya anak dara Bonda,” penerangan Bonda membuat hati Umairah sedikit sejuk. Bagai disiram ais dari kutub utara. Umairah tahu kasih Bonda. Kasih Bonda tidak ada penghujungnya.

“Habis tu kenapa Bonda nak pinang Umairah? Untuk siapa?” Itu yang membingungkan Umairah. Kenapa perlu Bonda meminangnya. Tidak cukupkah kasihnya sebagai anak sehingga Bonda perlu dia menjadikan dia sebagai menantu. Tapi untuk siapa?

“Untuk Ahmad Fathi.” Ringkas jawapan Bonda.

Umairah berfikir. Siapa lelaki itu. Kenalkah dia? Tiada temannya yang mempunyai nama seperti itu. Mungkin nama anak teman Bonda. Memang ramai yang telah cuba merisik Umairah untuk anak teruna mereka. Tapi Bonda suruh mereka bertanyakan terus kepada Umairah. Jawapan Umairah untuk mereka ringkas. Saya belum bersedia untuk menjadi isteri orang. Begitu lembut Umairah menolak.

No comments:

Post a Comment

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)