Friday, August 20, 2010

baik-baik sayang 10

Sedang enak Balqis menonton saluran Star Movie, Sulaiman sudah datang dan mengambil remote tv yang ada di atas meja.

“Tengok apa ni?” soal Sulaiman.

Balqis hanya senyap menonton. Malas nak layan. Kalau Sulaiman benar-benar hendak tahu, pasti akan ditekan punat info. Lagipun remote itu berada di tangannya. Buat apa lagi dia bertanya.

Sulaiman alihkan pandangan. Dari kaca tv beralih kepada Balqis. Dia mengambil peluang duduk di sebelah Balqis.

Balqis mengengsot sedikit bila terasa ada henyakan di sebelahnya. Namun pandangannya langsung tak beralih dari kaca tv. Masih khusyuk menonton. Tak ambil pusing sekeliling. Apa taknya, hero pujaannya sedang beraksi. Walau sudah berkali-kali dia menonton cerita The Proposal ni, entah kenapa dia tak pernah bosan. Kalau filem itu dimainkan di tv ketika dia sedang menghadap tv, memang akan ditengok cerita itu. Walau dia sudah tahu jalan ceritanya macam mana. Kadang-kadang, dia yang jadi berdebar untuk aksi seterusnya. Padahal dia sememangnya sudah tahu apa yang bakal terjadi. Ish... ish, Balqis.. Balqis, suka sangat buat kerja yang tak berfaedah ya! Sahut Balqis dalam hati.

“Qis.”

“Balqis anak abah Harun...”

Sedikit kuat suara Sulaiman bila panggilannya tadi tidak mendapat sebarang balasan daripada Balqis.

“Kenapa? Mengkhayal? Berangan?” soal Sulaiman lagi.

Balqis hanya mencebik. Malas nak layan. Dia sedang enak melihat drama sebabak ni. Saat-saat genting pula tu. jadi sebarang gangguan yang tidak berfaedah akan dibuang ke tepi dan tidak akan mendapat sebarang tindak balas.

“Dah tembus ke bulanlah tu. Atau ke bintang?” soal Sulaiman setelah keadaan tadi kembali senyap.

Setelah cerita The Proposal itu tamat, Sulaiman langsung tidak mengacau Balqis. Setia menemankan Balqis hinggalah dia terlihat perkataan the end, barulah dia berani tegur gadis di sebelahnya.

Balqis hanya mencebik memandang Sulaiman. Malas dia mahu melayan karenah Sulaiman. Dia mahu menukar rancangan, tapi dia perasan remote itu berada di sebelah Sulaiman. Tidak mungkin dia nak panjangkan tangannya menyeberang tubuh Sulaiman untuk mencapai remote control itu.

Puan Mariam datang ke ruang tamu membawa buah-buahan yang sudah di potong. Tadi sengaja Puan Mariam biarkan pasangan pengantin baru itu berdua menonton. Dia berharap semoga akan ada perubahan pada pasangan itu.

Puan Mariam juga perasaan kalau keadaan sepi lebih menguasai pasangan itu. Namun dia sengaja. Puan Mariam berdoa semoga pasangan itu sama seperti pasangan lain. Sama seperti dia dan suami. Juga seperti Salam dan Sarah.

Puan Mariam tahu kalau pembinaan rumahtangga anak dan menantunya itu condong sedikit. Namun dia percaya, seandainya kecondongan itu dapat diperbaiki, akan berdiri sebuah rumahtangga yang teguh dan lurus. Bak sebuah masjid yang kerlipannya menjana hingga ke awan.

“Ni makan buah ni. Balqis ni, tadi ibu dah suruh potong buah, melencong pula dia,” Puan Mariam sudah mula membebel.

Balqis hanya tersenyum. Tadi selepas makan malam memang Puan Mariam ada memberi arahan agar memotong buah yang ada di dalam peti sejuk. tapi Balqis buat tak tahu. dah kenyang, takkan nak sumbat perut lagi. Nanti pecah, siapa yang nak tanggung. Mereka dan diri mereka juga yang susah.

Balqis mencapai buah limau yang sudah dipotong. Ceh... Balqis. Tadi dia juga yang tak nak potong, sekarang dia pula yang jadi peserta pertama yang ambil buah di atas meja. Balqis hanya senyum sendiri bila saling bertingkah dengan hatinya. Apa taknya, bauh epal, limau dan lai yang ada di dalam pinggan itu amat menyelerakan. Bagai memanggil untuk dijamah cepat.

“So, macam mana dengan kamu ni? Bila kamu habis cuti Man?” soal Puan Mariam.

Sudah seminggu anak dan menantunya itu berkahwin. Dah sudah seminggu juga mereka bercuti. Bila dicadangkan untuk honeymoon, dua-dua menolak. Alasan Sulaiman, dia belum dapat cuti panjang. Cuti seminggu memang khas untuk majlis perkahwinannya. Manakala Balqis sudah mula bekerja semalam.

“Man dah habis cuti. Nak balik esok,” jelas Sulaiman.

“Kamu nanti ni macam mana? Balqis ni kerja di sini. Takkan seorang ke hilir seorang ke selatan pula.” Tanya Puan Mariam.

Puan Mariam pandang aneh pada anak dan menantunya itu. Takkanlah mereka tak decide lagi pasal arah tuju rumahtangga mereka? Hairan Puan Mariam.

“Saya nak kerja kat sini,” pantas Balqis menjawab.

“Kamu jangan nak mengada Balqis. Isteri kena ikut suami. Pindah sahaja kerja. Kalau dah tak boleh, berhenti terus,” tiba-tiba sahaja abah sudah menyampuk. Encik Harun duduk berhampiran dengan Puan Mariam.

Balqis mencebik mendengar saranan tersebut. Saranan yang ditolak seratus-peratus. Langsung tak tersenarai untuk waiting list. Untuk tong sampah bolehlah. Ish... abah ni, bagi idea biarlah bernas sikit.

“Boleh juga tu Qis. Abang pun mampu lagi sara Balqis. Balqis ikut abanglah,” tiba-tiba Sulaiman bersuara. Dia merasakan cadangan yang diberi abah mertuanya itu boleh dipakai.

Balqis menghumban bantal kecil yang ada di sofa itu. Ni lagi satu manusia yang tak faham bahasa. Geram dia dengan mamat yang ada di sebelahnya itu. Suka hati dia sahaja bagi cadangan. Macamlah bernas sangat. Langsung tak boleh pakai pun apa yang dikata.

Puan Mariam membuntangkan matanya melihat tingkah anaknya.

Balqis yang melihat signal dari ibu cepat-cepat memohon ampun. Tindakan refleks. Memang begitu habit Balqis. Kalau dia geram atau terkejut, orang sebelahlah yang jadi mangsa. Kalau tak kena cubit atau kena tumbuk, macam tadilah. Apa-apa yang ada di tangan jadi sasaran.

“Balqis nak kerja kat sini,” luah Balqis perlahan. Harap-haraplah manusia yang bernama Sulaiman faham akan kemahuannya.

Masa hari pertama mereka jadi suami isteri lagi Sulaiman dah pandai buat jantungnya tak tenang. Adakah patut nak suruh pindah? Bersungguh-sungguh dah Balqis pujuk Sulaiman untuk lepak di rumah orang tuanya sempenan cutinya yang masih berbaki lagi.

“Balqis, sekarang kan status dah berubah. Dah kahwin. Tak boleh fikir untuk diri Balqis sahaja. Qis dah punya suami. Apa-apa hal, suami kena dahulukan,” pujuk Encik Harun.

Dia perasan kalau anaknya itu masih merasakan dirinya seperti dulu. biasalah, masih baru lagi, masih sukar nak sesuaikan diri dengan perubahan baru yang berlaku dalam hidup.

“Tak apalah. Balqis kerjalah dulu di sini. lagipun rumah abang di sana tak siap lagi,” terang Sulaiman.

Dia tersenyum melihat tingkah Balqis. Tadi tu sebenarnya dia sekadar bergurau. Nak main-main dengan Balqis. Memang dia tahu Balqis tidak akan mengikutnya buat masa ini. Tak apa, masa masih panjang lagi. Akan digunakan masa yang ada untuk membuat Balqis menempatkan namanya dalam hati Balqis kerana nama Balqis sudah lama terlakar dan tersemat di kalbunya.

“Kamu buat rumah Man?” soal Puan Mariam laju.

“Ya ibu. Tinggal final touch up saja. Mungkin dalam dua tiga minggu lagi siaplah rumah tu,” jelas Sulaiman sambil pandang Balqis.

“Saya tak kisah kalau Balqis nak tinggal sini dulu. kalau dia nak ikut Man pun boleh. Tinggal di rumah emak. Lagipun rumah tu sunyi. Cuma Man saja yang tinggal sana,” sambung Sulaiman lagi. Gadis di sebelahnya di kerling. Senyumannya memutik saat dia melihat gadis itu tersenyum.

Yes... perkataan itu yang ingin diteriak oleh Balqis. Sukanya dalam hati... Rasanya dalam hati sudah berekar-ekar taman. Mekar-mekar pula bunga-bungaan yang ada dalam taman tersebut. Memang Sulaiman memahamilah.

Disebabkan telah menyenangkan hati aku, aku tambah kredit untuk kau. Sahut Balqis dalam hati. Hatinya senang dengan perancangan Sulaiman.

“Tulah. Dari dulu lagi ibu dah cakap dengan emak kamu suruh beranak ramai-ramai,” kata Puan Mariam sambil tersenyum.

“Emak ni, macamlah rezeki anak tu boleh dapat sekelip mata. Boleh beli di pasar,” cebik Balqis.

Baru kali ini dia bersuara. Sejak dahulu dia memang selalu jadi mangsa kepada keluarga mertuanya. Dia adalah satu-satunya kuntuman bunga dalam kawasan kejiranan mereka. Keluarga mertuanya tidak mempunyai anak lain selain daripada manusia yang telah menjadi suaminya sekarang ini. Keluarga mertuanya hanya dikurniakan seorang anak sahaja.

Balqis bersyukur sebab dia mempunyai seorang adik. adiknya beza sepuluh tahun dengan Balqis. Lahir lambat sikit. Sekarang masih sekolah lagi. Tahun ni ambil PMR. Sekurang-kurangnya rumah mereka tidak terlalu sunyi sebab dah ada dua cahaya yang menyinar.

“Hmm... kalau dah siap rumah nanti, bawalah bini kamu ni tinggal sana.” Abah yang sejak tadi senyap kembali bersuara.

“Abah ni macam nak halau Qis je keluar dari rumah ni,” penuh syahdu Balqis bersuara.

“Hmm... memang pun,” selamba Encik Harun bersuara.

“Abah....” panjang harakat Balqis menyebut nama abah.

Tak sangka abah punya niat macam tu.

“Kalau macam tu, Balqis nak pergi bersiaplah. Angkut semua baju. Halalkan segalanya,” perlahan bicara Balqis.

Dia sudah berdiri perlahan dari sofa yang telah didudukinya untuk berpuluh-puluh tahun yang lepas. Bantal kecil yang tadinya selesa dalam pelukannya diletakkan perlahan.
Spontan tangan Sulaiman menggapai tangan Balqis yang sedang melintas di hadapannya. Tindakan refleks itu menyebabkan Balqis terundur dan mengarah kepada Sulaiman.

Semua orang yang ada di ruang tamu itu tersenyum, kecuali Balqis. Mukanya bukan ada senyuman tapi sudah merah. Macam sos cili yang selalu cicah dengan ayam goreng KFC. Apa tak nya, soft landing telah berlaku dengan selamatnya. Dia mendarat dan terduduk di atas pangkuan Sulaiman.

Merah muka Balqis. Malu yang teramat. Apatah lagi bila matanya bertentangan dengan mata Sulaiman. lama keadaan itu berlaku sehinggalah Sulaiman mengenyitkan mata kepada Balqis yang tika itu macam orang dah kena cucuk urat utama sehingga tidak boleh bergerak lagi.

Cepat-cepat Balqis bangun dari pangkuan Sulaiman. ish...ish.. macam mana boleh salah landing ni.

“Tulah kamu. Dah kena tulah. Suka sangat merajuk untuk perkara yang mustahil. Buang-buanglah sikap kamu tu. jangan macam budak-budak. Kamu tu dah kahwin. Selalu sedar dengan status kamu. Hai... masaklah Sulaiman nak layan kamu,” balas abah semula.

“Tak apa abah. Man pun dah rindu nak layan perangai Qis ni. Macam zaman kecil-kecil dulu,” sahut Sulaiman pula. Tangan Balqis yang masih berdiri digapai. Dibawa untuk duduk di sebelahnya semula.

“Kamu jangan nak mengada-ngada Balqis. Abah bukannya nak menghalau. Abah nak bagi kamu pahala lebih. Berbakti pada suami lebih baik daripada kamu lepak di rumah ni,” pujuk Encik Harun perlahan.

“Tengoklah dulu abah,” balas Balqis.

No comments:

Post a Comment

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)