Sunday, August 15, 2010

baik-baik sayang-6

Janji?

Hmm... memang Balqis ingat tentang janji yang telah mereka meterai. Janji yang telah dipadu antara mereka berdua. Janji yang dipersetujui sehari sebelum mereka bergelar suami isteri. Maknanya janji yang telah mereka lakukan kelmarin. Saat dia dan Sulaiman sama-sama duduk berdua di dalam kafe yang berhadapan dengan pantai. Pantai Port Dickson menjadi saksi paduan janji mereka.

Kalau boleh, Balqis sebenarnya tidak mahu pertemuan antara mereka terjadi. Kalau boleh, biarlah untuk selamanya. Namun desakan yang bertubi-tubi dari manusia yang bernama Sulaiman Salam tidak kenal erti putus asa.

Saat pertemuan semula antara dua buah keluarga lagi dia perasan kalau Sulaiman berusaha keras untuk berbual dengannya. Namun Balqis pandai mengelak.
Bila keluarga masing-masing telah membuat persetujuan untuk mewujudkan ikatan keluarga antara mereka, di situ Balqis tambah menyampah. Kalau boleh dia nak larikan diri. Biar sampai ke Norway sana.

Selalu Balqis berusaha untuk tidak berjumpa dengan orang yang bernama Sulaiman. kalau Sulaiman datang ke rumah, dia akan berkurung dalam bilik. Kalau Sulaiman datang tempat kerjanya, pandailah dia reka alasan. Kadang-kadang temannya pula naik menyampah sebab mereka yang terpaksa berdepan dengan Sulaiman.

Kata Munirah, dia tak sampai hati bagi alasan pada Sulaiman sebab tak sanggup nak tengok riak muka Sulaiman yang sedikit kecewa. Tapi bila disuruh sampaikan pesan, pasti berlumba-lumba nak berdepan dengan Sulaiman. Mereka kata, wajah, tingkah dan bicara Sulaiman membuat mereka terpikat. Kalau semakin lama keadaan itu berlaku, pasti tak mustahil salah seorang teman sepejabatnya akan melekat dengan Sulaiman. Terpikat dengan Sulaiman. Masa tu, kata Salmah, gigit jarilah Balqis.

Maka terjadilah pertemuan pertama antara mereka. Itupun setelah puas dipujuk oleh Sulaiman. Siap ugut lagi nak gunakan keluarga untuk memastikan pertemuan mereka terjadi.

Dengan tidak rela hati Balqis hadir ke situ. Itupun sudah lambat setengah jam. Dia sengaja melambatkan langkahnya. Janji nak makan tengah hari bersama. Hmm.. tambah tak selera dia nak makan kalau berdepan dengan manusia yang bernama Sulaiman.
Dia langsung tidak mempamerkan riak bersalah bila sudah tiba di hadapan Sulaiman. Dia memang nampak air Sulaiman yang sudah berkurang. Dia tahu dia sudah lambat, namun dia langsung tidak meminta maaf.

Itu semua disebabkan dia geram dengan sikap Sulaiman yang langsung tidak berusaha untuk mengakhiri semua. Sulaiman dianggap lemah kerana hanya mengikut telunjuk sahaja. Langsung tiada upaya untuk membantah.

Selepas pertemuan itu juga, dia melarikan diri ke pantai. Zainab teman sekerja merangkap teman sekampung, sudah sedia menantinya di kereta. Memang dia datang bersama Zainab. Dia yang paksa Zainab menemaninya. Kalau tiada Zainab, dia tidak akan berjumpa dengan Sulaiman.

Zainab, dulunya bukan teman sepermainan. Tapi bila di alam persekolahan, Zainab sudah bertukar status. Jadi teman karib Balqis. Dari sekolah rendah hinggalah sekolah menengah. Kemudian, jodoh mereka dipanjangkan apabila bersatu bumbung. Sama-sama bekerja di Citra Cinta Sdn Bhd. Mereka juga tidak memilih universiti yang sama. Namun itu tidak menjadi hal kerana mereka seringkali bertemu di kampung tika cuti semester.

No comments:

Post a Comment

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)