Monday, October 11, 2010

kasih tercipta-3

“Kenapa dengan kau sekarang Mai?” tiba-tiba sahaja dia disergah dengan soalan yang tidak tahu macam mana dia nak jawab. Soalan yang tergantung, atau sememangnya tiada jawapan.

Umairah pandang Salbiah. Di pagi yang hening ini, dia sudah disapa dengan wajah Salbiah. Wajah yang ceria. Tapi soalan yang kurang ceria sedikit.
Awal pagi dia datang sebab nak buka butik. Baru lima minit rasanya dia buka, Salbiah sudah ada di tepinya. Awal pula anak dara ni. Apa tidaknya, rumah dia di atas butik ni. Memanglah cepat. Lainlah Umairah, terpaksa membuang lima belas minit untuk sampai ke sini. Itupun kalau tidak berlaku kesesakan lalu-lintas.

“Kenapa dengan aku?” soalan dibalas dengan soalan. Kalau jawab soalan SPM ni memang awal-awal kertas soalan akan masuk dalam tong sampah. Jawapan tak mencapai kehendak soalan.

Umairah mengambil tuala kecil dan mengelap meja di depannya. Buat-buat sibuk dan sebolehnya mengelak menjawab soalan yang akan membuat dia tidak betah untuk menjawab. Terpaksa menyusun ayat yang gramatis pula. Terpaksa nak ingat kosa kata yang ada dalam Kamus Dewan.

Ceh... sejak bila pula Umairah pandai pinjam ayat yang disediakan oleh Nik Safiah Karim and the geng ni untuk perbualan?

“Sejak dua tiga menjak ni, aku tengok kau dah semakin lain. Senyap. Kau pun dah macam berjangkit dengan virus aku. Suka termenung. Tak baiklah kau tiru aku macam ni. Perkara yang baik, kau ambillah sebagai teladan. Yang tak baik tu, buang dalam longkang saja,” panjang penerangan ustazah Salbiah.

“Baik ustazah,” balas Umairah sambil tersenyum.

“Ish, kau ni. Kalau aku cakap, beginilah. Pandai saja main corner-corner. Ingat bagus sangat ke duduk dekat corner tu. Mudah kemalangan tahu,” menyampah pula Salbiah. Lain yang nak dikorek, lain pula yang terkorek.

“Sejak bila pula kau pandai loyar buruk ni?” soal Umairah sambil jungkitkan keningnya.

“Oooo.. aku tahu. amboi kau ni, sejak berkawan dengan encik lawyer, kau pun dah pandai loyar-loyar ya. Selama kawan dengan aku, tak ada pula kau keluarkan hujah-hujah kau.” Umairah pandang Salbiah. Menanti jawapan.

“Kau ni, kami baru kawan lagilah,” cepat Salbiah membalas.

Merah mukanya. Malulah tu. memang sekarang dia tengah disunting-sunting oleh seorang
jejaka yang bekerja sebaris dengan bangunan mereka. Bekerja sebagai peguambela. Tapi baru belajar macam mana nak jaga bunga tu. Baru nak kenal baja mana yang sesuai, sukatan air macam mana, keadaan suhu dan cuaca macam mana hendak dikawal. Pokoknya masih di peringkat asas lagi. Ayat pun memang banyak berbunga-bunga. Maklumlah, dalam hati ada taman. Tapi belum lagi sampai jumpa si penjaga bunga.

“Lagipun, kau tu peguam atas kertas saja. Ada degree, tapi tak pandai nak loyar buruk,” dengan selamba Salbiah mencemuh temannya itu. Dia tahu temannya itu tidak akan berkecil hati.

“Kau ni... dah lah. Aku nak pergi beli sarapan ni. Kau nak pesan tak?” tanya Umairah. Beg tangan di dalam laci diambil. Hanya purse jenama Bonia yang ditarik keluar. Yang lain disimpan semula di dalam laci.

“Aik... sejak bila pandai sarapan di luar ni?” penuh tanda tanya Salbiah menyoal. Biasanya, gadis di hadapannya ini akan bersarapan dulu di rumah sebelum ke mana-mana. Tidak betah katanya makan sarapan di luar.

“Bonda tiada. Pagi-pagi dah lesap. Aku malaslah nak sarapan sendiri. Kau nak pesan tak?” soalnya lagi. Umairah tahu ke mana arah tujuan Bonda. Bonda sudah mengkhabarkan semalam. Ada juga mengajak dia ikut serta, tapi dia malas nak campur tangan.

“Bagi aku teh tarik dengan mee goreng saja. Kau bagitahu kat sapi, aku nak telur mata dia sebiji...”

Belum sempat pesanan habis diluah, dia sudah nampak Umairah mengangkat pursenya. Pasti nak kenakan aku lagi lah tu. Cepat-cepat dia mengelak.
Senyuman menguntum di bibirnya bila hanya angin yang disapa oleh purse berwarna coklat itu.

“Kau kalau dah pesan, jangan nak merepek,” jerkah Umairah. Dia sudah melangkah menuju ke pintu utama.

“Apa pula merepeknya. Memang betullah. Oh ya... wangnya kau saja yang keluarkan. Kau yang suruh pesan kan, kau tak cakap nak duit sekali” teriak Salbiah bila melihat kelibat Umairah yang sudah menolak daun pintu.

“Kau nak ni?” soal Umairah sambil menunjukkan tangan kanannya yang sudah dikepal.

Salbiah yang melihat tangan yang diajukan oleh Umairah hanya mencebik. Cis, penumbuk yang rasanya setakat boleh masuk dalam balang kuih itu juga yang dia nak bagi aku. Kalau bagi nasi lemak pagi-pagi ni ada juga faedahnya. Tapi itu hanya rintihan dalam hati sendiri bila matanya mengiringi langkah Umairah yang sudah jauh di seberang jalan.

No comments:

Post a Comment

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)