Sunday, January 16, 2011

Betulke??? 5

“Amboi, ada hati juga kau rupanya,” ujar Mawarni secara tiba-tiba.

Dia hanya menjadi pemerhati sejak tadi. Sempat dia melihat Farhan melemparkan senyum kepada seorang pelanggan restoran itu yang sudah selesai makan. Cantik. Dari perwatakan perempuan itu, mungkin dia seorang yang berkerjaya kerana ketika mereka masuk tadi wanita itu baru sahaja berbincang dengan dua orang lagi yang ada di dalam restoran ini. Ketika wanita itu melangkah untuk keluar dari restoran itu, sempat dia berpaling ke meja Farhan. Ketika itu Mawarni hanya lima langkah sebelum sampai ke meja Farhan.

“Eh, memanglah! Takkan kau tak tahu yang aku ni ada hati. Setiap orang mestilah mempunya hati. Kalau aku tak ada hati, macam mana aku boleh hidup dengan sihat sejahtera,” jelas Farhan.

“Memang semua kena ada hati.”

“Tapi hati aku sekarang lain. Ada taman di dalamnya,” ujar Farhan. Panjang senyumannya.

“Bengong.”

Lantas kertas menu di atas meja diangkat dan dipukul pada bahu Farhan. Padan muka. Kalau nak sakit lagi, selalulah buat macam tu lagi, getus Mawarni dalam hati. Suka sangat bergurau.

“Sakitlah. Aku acah saja tadi, tapi sedaplah. Kau pun rasalah sekali,” ujar Farhan sambil mengusap-usap lengannya yang sudah dijamah oleh kertas menu. Manakala tangan kanannya laju memukul Mawarni dengan kertas menu itu. Kosong-kosong. Tapi tak adalah dia memukul dengan sesungguhnya. Hanya hujung kertas itu yang menyapa tangan Mawarni di atas meja.

Sudah beberapa minggu mereka menjalin semula persahabatan. Pertemuan di klinik Mawarni bukanlah pertemuan yang terakhir. Selepas dari hari itu, mereka sudah saling bertukar-tukar nombor telefon. Kemudian sejak itu, persahabatan antara mereka sudah mesra.

Sebenarnya mereka adalah pasangan ideal untuk sebuah persahabatan. Sepanjang persahabatan mereka, mereka selalu juga gaduh. Tapi itu gaduh-gaduh manja. Rencah untuk menambah perisa dalam persahabatan mereka. Saling lengkap-melengkapi untuk memastikan persahabatan yang terjalin adalah suci.

Entah di mana silapnya mereka dulu. Zaman sekolah, langsung tidak boleh menjalin apa-apa hubungan. Sebagai musuh boleh pula. Kalau difikir, memang di luar logik akal bila zaman sekolah adalah zaman percakaran untuk setiap pertemuan mereka. Tapi sekarang, lain pula yang terjadi.

Mereka sudah hampir saling kenal-mengenali. Farhan sudah selamat dibawa balik ke kampung. Apalagi kalau bukan sebagai pemandu. Encik Abdul Sani sudah kenal dengan Farhan. Sampaikan Encik Abdul Sani membuat andaian bahawa Farhan adalah calon suaminya sebab Mawarni mana pernah bawa lelaki balik ke rumah. Bila diterangkan bahawa Farhan hanya sekadar teman rapat, Encik Abdul Sani mencebik tak nak percaya. Hmm.. mana-manalah abah.

Farhan juga sudah membawa Mawarni ke rumahnya. Sudah diperkenalkan kepada ahli keluarganya. Pemikiran keluarga Farhan, sama dengan abah Mawarni. Macam Farhan dulu yang datang ke rumah Encik Abdul Sani, memang banyak kena soal selidik oleh abah dan ibu Mawarni. Melati tak terkecuali. Semua berkobar-kobar nak tahu siapa si Farhan tu.
Mawarni pun macam tu juga. Keluarga Farhan pun banyak soal padanya.

Bila dicerita balik, memang lucu keluarganya. Menyoal macam nak temuramah cari menantu. Ketawa terbahak-bahak Mawarni bila dia cerita pada Farhan soalan-soalan yang dikemukakan kepadanya oleh Puan Zulaikha. Ayah Farhan tak adalah pula banyak soal. Pendiam sikit.Bukannya apa, abah Mawarni memang sejak dulu lagi bagitahu. Kalau boleh, kawan-kawan Mawarni kawan abah dan ibu juga. Macam keluarga Mawarni kenal dengan Asya, Jihan, Mimi, Kak Nis, Kak Ezy, Umairah dan lain-lain lagi. Mereka selalu dijemput oleh Mawarni datang ke rumah. Begitulah yang Mawarni lakukan pada Farhan. Bezanya Farhan adalah spesis lelaki kerana teman-temannya yang lain semua perempuan. Mungkin sebab tu abah berfikiran lain.

Untuk persahabatan ini, sikap merajuk, pujuk-memujuk, cakap lepas dan gurauan memang menjadi inti dalam perhubungan mereka. Keadaan ini menjadikan mereka rapat. Saling tegur-menegur. Bila sahabat mempunyai masalah, maka yang seorang lagi akan membantu.
Farhan memang boleh masuk ke dalam keluarga Mawarni. Awisy dan Abang Shafik sudah menjadi gengnya. Seringkali dia datang ke banglo. Lepak di bilik khas. Kadang-kadang, jenuh nak suruh dia balik ke rumah. Kalau dia dah malas balik, bilik Awisylah tempat dia tenggelamkan dirinya dalam lautan mimpi. Syikin pun sudah kenal dengan Farhan. Farhan sendiri yang manjakan Syikin. Tiap kali datang rumah, pasti dibelikan ole-ole untuk Syikin. Jenuh juga Kak Longnya larang Farhan buat begitu. Tak boleh dibiasakan.
Farhan pula jadi pakcik kepada ramai orang. Nabil, Nabilah, Mysarah, Lukman dan Soleha. Semuanya anak buah Farhan. Mawarni tak boleh nak buat macam Farhan, jenuhlah nak bagi ole-ole pada semua anak buah Farhan. Kopaklah poket dia. Sedangkan Syikin pun jarang-jarang dapat ole-ole dari dia. Lagipun jarang Mawarni terserempak dengan anak buah Farhan.

Farhan ni anak lelaki bongsu. Semua abang dan kakaknya sudah berkeluarga. Tinggal dia seorang sahaja masih single. Adik bongsunya yang perempuan sekarang masih belajar di UM.

Apalagi dia ni anak emak. Sampai sekarang masih duduk di ketiak emak. Bukannya duduk rumah lain macam abang dan kakaknya. Tapi sebenarnya, emak dan ayah dia yang tak suruh dia menyewa di luar sana. Senang sikit ada orang jaga pening sakit Farhan bila duduk dengan keluarga. Makan minum pun terjaga. Tak adalah asyik makan di luar sahaja.

“Han, temankan aku pergi spa,” ajak Mawarni setelah memasukkan makanan ke dalam mulutnya.

“Sejak bila pula kau pergi spa ni? Aku ingatkan kau tak pergi tempat-tempat macam tu,” ejek Farhan.

Tidak pula diketahui kalau gadis di hadapannya ini rajin ke tempat-tempat feminin sebegitu. Selalunya Mawarni minta teman pergi main boling, tenis, tengok wayang atau makan di luar. Tak pernah lagi kena ajak pergi spa, shopping barang kosmetik, temankan ikut kursus kecantikan, atau apa-apa sahaja aktiviti yang biasa dilakukan oleh wanita lain.

“Kakak aku bagi kad diskaun. Dia tak nak, jadi dia suruh aku ganti dia. Sayang pula kalau tak digunakan,” jelas Mawarni.

Wajahnya memandang Farhan dengan penuh pengharapan. Berharap sangat dia agar Farhan dapat menemankan dia untuk datang ke spa tersebut. Kalau nak harapkan dia pergi sendiri, memang dia tak akan pergi. Nak ajak orang lain, tak ada siapa lagi yang dia harapkan untuk saat-saat genting ni. Kalau tak pergi, memang membazir pula. Sayang kalau tak pergi spa tersebut. Mahal pula tu. Eksklusif.

Lagipun, sudah lama dia nak buat facial treatment. Kalau tak pun, buat body massage. Sekurang-kurangnya, dapat memanjakan diri sendiri setelah penat bekerja. Inilah masanya untuk dirinya sendiri setelah sibuk dengan komitmen lain. Tubuhnya perlu dimanjakan juga.

“Kalau tempat lain, Aku boleh temankan. Ini nak pergi spa. Opss... sorry! Aku tak nak.” Dua-dua tangan diangkat tinggi. Awal-awal lagi dia menolak. Tak sanggup nak teman, apatah lagi nak ikut.

Farhan tahu, kalau namanya spa, memang kuranglah warga lelaki di dalamnya. Jadi, dia tak nak pergi sana jadi patung cendana sebab temankan Mawarni yang akan senang-lenang buat treatment.

“Alah jomlah. Boleh kau cuci rambut sekali. Aku tengok rambut kau macam tak bercuci seminggu.” Mawarni tersengih memandang Farhan. Dia akan cuba memujuk dengan apa cara sekalipun agar lelaki ini dapat mengikutinya ke spa. Sungguh dia tidak mahu pergi berseorangan.

“Cakap baik-baik sikit ya. Aku baru pakai syampu pagi tadi. Pantene lagi tahu!” Rambutnya ditebar-tebarkan. Macam gaya model lelaki yang sedang promosi syampu Head & Shoulder.

“Dah, jangan banyak songeh. Jom.”

Mawarni terus berlalu. Tidak mahu melayan karenah Farhan. Dia tahu, pasti sahabatnya itu tidak akan mengecewakan dia.

Selangkah.

Dua langkah. Kemudian dia menoleh ke belakang. Akhirnya ikut juga mamat ni. Ingatkan tak nak ikut. Mawarni tersenyum dalam hati.









-----------------











Sebelum melangkah masuk ke dalam spa, mereka sudah capai kesepakatan. Hasil perbincangan yang dilakukan dalam kereta tadi. Hanya setengah jam diperuntukkan dalam spa itu. Tidak boleh lewat.

Habis dua gelas air di depannya. Makanan pun dia dah order walaupun baru sahaja mereka makan tadi. Terasa lapar dia menunggu orang yang tak pandai kunjung tiba. Lupakah Mawarni padanya?

Telefon yang ada poket dikeluarkan. Nama di bahagian contact dicari. Bila mendapat nama yang dikehendaki, senyumannya tersungging di bibir. Teringin pula mendengar suara itu.

“Assalamualaikum.” Bersama senyuman, salam itu diberi. Walau tidak akan terlihat oleh si penerima di sana, tetap juga dilakarkan senyuman itu pada dua ulas bibir Farhan.

“Waalaikumussalam. Awak apa khabar?” terdengar suara ceria dari sebelah sana. Bukan nama Mawarni yang ditekan tadi.

“Baik. Awak?” soal Farhan semula. Harap-harap teman bicaranya itu berada dalam keadaan sihat-sihat sahaja.

“Fine. Tak apakah ni?” tanya si dia di sebelah sana.

“Kenapa?” soal Farhan cepat. Berkerut sekejap dahinya. Hairan bila ditanya begitu secara tiba-tiba.
“Kan semalam dah call. Kalau tiap hari macam ni, tauke telekom pun boleh lingkup tau.”

Suara itu kedengaran manja pada pendengaran Farhan. Senyumannya kembali tersungging di bibir.

“Nasiblah bukan tauke telekom, tak adalah lingkup. Ni cuma doktor. Belum sampai bankrap lagi disebabkan nak telefon orang.”

“Saya pun doktor juga.”

“Never mind. Demi orang tersayang,” balas Farhan.

“Mengada. Bukannya tak boleh jumpa sebulan dari sekarang.” Kedengaran senyuman terbit dari sana.

“Ha!” terkejut Farhan dengan kenyataan yang baru dia dengar.

“Apa awak cakap tadi?” soalnya semula. Ingin memastikan apa yang didengar telingannya adalah tidak salah.

“Saya balik bulan depan. Tapi seminggu sahaja,” jelas si dia dengan suara jelas dan terang.

“Wah... tak sabarnya!” teruja Farhan mendengar.

“Tak apa. Seminggu pun tak kisah. Lenyaplah rindu saya setengah tahun ni,” sambung Farhan lagi.

“Saya pun tak sabar nak jumpa awak. Rindu sangat.” Sedikit merengek kata itu diluahkan.

“Tulah siapa suruh main jauh-jauh.”

Hanya tawa terdengar dari si pemanggil. Farhan tersenyum. Riang hatinya mendengar suara gembira dari orang tersayang.

“Saya bukan mainlah. Saya pun macam awak. Cuma awak tu jadi katak, saya jadi burung.”

“Ya. Katak di bawah tempurung emas seronok. Daripada burung di sangkar kayu, tak syok,” balas Farhan cepat.

“Wah. Makin pandai berbahasa nampak. Berapa ribu dah masuk ni?”

“Masuk apa?” soal Farhan hairan.

“Masuk perangkaplah. Tepikat dengan ayat-ayat tangkap lentok awak ni,” terang wanita itu lagi.

“So sekarang ni dah tangkap lentoklah?” tidak dibalas pertanyaan tadi. Farhan pula yang kembali bertanya.

“Dah terkulai pun,” lembut suara si penjawab.

Farhan ketawa lagi. Sukanya dia kerana dapat membuat wanita di sebelah sana tertawa riang.

“Nak kena sambutkah?”

“Kalau boleh?” ujar si pemanggil sambil jungkit kening. Suka dia mempermainkan lelaki itu.

“Hmm... beranilah cakap macam tu sebab saya tak ada di sana. Cuba saya ada di sebelah, nak keluarkan sepatah ayat pun payah.”

Wanita itu ketawa lagi.

“Buat apa sekarang ni?” soal wanita itu.

“Makan. Tapi seorang. Kawan yang seorang dah pergi spa,” jelas Farhan.

“Mawarni pun tahu pergi spakah?”

“Amboi awak, sampai macam tu sekali awak perkecilkan kawan kita,” cepat Farhan membalas.

Terdengar tawa dari sebelah sana.

“Bukan macam tulah. Ingatkan dia tak ladies sangat.”

“Sama saja macam awak. Dah nama pun perempuan.”

Farhan sudah tersenyum.


“Selesanya. Aku rasa kau patut cubalah. Berendam dalam air. Hirup udara segar, badan kena urut. Aromaterapi dia selesa sungguh. Memang best. Rasa tak nak keluar dari spa tu.”

Tiba-tiba sahaja Mawarni datang. Terus duduk di hadapan Farhan. Bila keluar dari bilik rawatan, dia sudah tidak nampak Farhan. Terus dia keluar, nak tengok kalau-kalau dia kena tinggal. Tapi masih ada kereta Farhan yang diparking di tempat asal. Kepalanya dijenguk-jengukkan untuk mencari kelibat Farhan. Akhirnya dapat juga dia menjejaki Farhan di restoran ini.

“Eh, kau tengah cakap di telefon ya? Sorry ya.” Tangannya diangkat perlahan tanda meminta maaf. Patutpun apa yang baru dia cakap tak ada balasan langsung daripada Farhan.

Farhan angkat tangan. Never mind.

“Siapa? Nurulkah?” cepat Mawarni bertanya.

Farhan hanya menganguk.

“Kirim salam dengan dia.”

Farhan mengangguk lagi.

Setelah beberapa minit, barulah Farhan menamatkan perbicaran dan meletakkan kembali telefon di atas meja.

“Best sangat. Rasa tenang dan damai. Kau patut pergi cuba tahu.” Teruja Mawarni menceritakan apa yang dialaminya tadi.

Farhan buat tak peduli dengan suara itu. Diteruskan memakan hidangan di atas meja. Masih setia dia menyudu makanan masuk ke mulutnya. Lambat-lambat makanan itu dikunyah.

Bagi pengajaran sikit pada orang yang mungkir janji ni. Kalau mungkir lima minit, masih boleh dimaafkan. Ini sampai sejam, siapa yang tak bengang. Nasiblah dia tak terfikir nak tinggalkan Mawarni saja tadi.

“Han, janganlah buat muka macam cicak nak kena lastik. Aku minta maaf,” tanpa sebarang isyarat. Mawarni faham sendiri tanda yang diberikan oleh Farhan. Tak perlu susah-susah Farhan nak bagitahu kalau sekarang ini moodnya kurang stabil. Panas dan geram!

“Janji berapa jam? Keluar berapa jam? What take you so long?” tanya Farhan dengan muka bengang.

Farhan sudah malas mahu berbalah. Takkan panas-panas macam ni dia nak bertingkah suara dengan Mawarni. Suaranya sengaja direndahkan. Tapi nada sindirannya tetap ketara.

Mawarni hanya tersengih. Sedar dengan kesilapan diri. Memang janji tadi hanya setengah jam. Tapi dia keluar dari spa itu sahaja sudah hampir ke pukul tiga. Mereka masuk tadi selepas solat Zohor. Siapa tak bengang kalau sudah macam tu. Dia tahu Farhan mesti marah padanya. Dia sudah bersedia menerima apa sahaja bentuk kemarahan Farhan yang akan dilepaskan padanya.

“Aku minta maaf. Aku tak sedar. Seronok sangat dalam tu, sampai lupa keadaan sekeliling.” Kedua-dua tangan diangkat dan disatukan. Digoncang-goncangkan perlahan.
Tanda dia minta maaf.

“Kau seronok-seronok di sana, aku pula yang sengsara tunggu kau di sini. Kalau tahu macam ni, baik tak payah suruh aku temankan kau,” Farhan melepaskan ketidakpuasan hatinya.

Keadaannya tetap sama kalau Mawarni tak minta ditemankan. Sekurang-kurangnya, hujung minggu macam ni, dapatlah dia mengqada segala tidurnya yang tidak cukup sebelum ini. Tapi disebabkan sahabatnya seorang, dia terpaksa buang masa dalam restoran ini hampir sejam lamanya.

“Ok, aku surrender. Kau cakaplah apa kau nak untuk tebus salah aku hari ini,” pelawa Mawarni.

Dia perlu tawarkan sesuatu untuk meredakan marah sahabatnya itu. Kalau dibiarkan, Farhan juga yang akan susah nanti. Orang yang selalu marah-marah, mesti cepat tua.

“Kau tawarkan apapun, tetap tak akan dapat kembalikan masa aku yang dah terbuang sia-sia. Masa lepas tak boleh diundur kembali. Terlajak kereta boleh diundur, terlajak masa, mana boleh diundur balik. Kalau tidak, aku boleh balik rumah, rehat. Tapi sekarang, sebab penat tunggu kau, aku terpaksa makan lagi walaupun kita baru sahaja makan.” Tak pasal-pasal kena tambah berat badan. Entah kenapa, berselera pula dia makan lagi walaupun dia baru sahaja makan tadi.

“Dah jangan bising. Aku lapar ni.”

Cepat Mawarni ambil makanan yang ada di depan Farhan. Nasi ayam itu diletakkan di hadapannya. Sudu diambil, dan dia sudah memulakan makannya.

Farhan terkebil-kebil memandang Mawarni. Tidak terkata dia dengan tindakan yang dilakukan oleh Mawarni.

Malas Mawarni nak layan Farhan. Makin panjang pula dia punya modal untuk membebel. Lebih baik dia buat tak endah, sekurang-kurangnya Farhan akan berhenti sendiri. Memang dia sedar bahawa masa yang sudah berlalu, tidak mungkin dapat diundur. Tetapi itu bukan kesalahan yang dia sengajakan. Dia terbuai di dalam spa tadi. Lagipun bukannya dia tidak sedar dengan kesalahannya. Dia sudah pun minta maaf. Farhan sahaja yang mengada-ngada.

“Amboi! Suka hati dia saja ambil makanan orang. Hei, itu aku punyalah!” Bila diri sudah kembali stabil, baru dia bersuara.

Ditariknya semula pinggan nasi ayamnya yang ada di depan Mawarni. Tapi Mawarni dah awal-awal tarik balik.

“Kau order lagi satu. Aku ambil kau punya,” selamba sahaja balasan Mawarni. Menjawab dengan muka tak bersalah.

Tak senonoh punya budak. Main terjah makanan aku saja. Farhan hanya mampu menggeleng melihat telatah Mawarni. Budak ni, memang tak dapat dijangka tindakannya. Orang penatlah membebel marahkan dia, senang-senang sahaja dia bantutkan apa yang dia nak lepaskan. Tak habis lagi dia nak tembak Mawarni dengan apa yang dia tak puas hati pada hari ini.

Farhan mengalah. Dia bingkas memanggil pelayan dan membuat tempahan baru bagi menggantikan makanannya yang disambar oleh Mawarni. Mawarni masih leka makan. Tidak memerhati sekeliling. Langsung dia tak ingat lagi pada tuan punya makanan yang sedang dia makan.

Memang Mawarni lapar setelah dua jam terperap dalam spa. Pertama kali masuk dalam spa memang sungguh mendamaikan. Dia teruja akan apa yang dialaminya tadi. Berendam dalam tab yang dipenuhi dengan air suam dan bunga-bunga segar. Hampir di sambung lenanya di atas katil itu kalau tidak dikejutkan oleh deringan telefon daripada kakaknya yang bertanya jam berapa dia akan pulang. Ingin sahaja dia berlama-lama di sana memandangkan keselesaan telah membuat dia terbuai bila seluruh tubuhnya diurut oleh wanita Indonesia itu. Sungguh nikmat dirasakannya.

Tidak sia-sia dia menggunakan kad diskaun yang diberikan oleh kakaknya itu. Kalau boleh, dia ingin berkampung sahaja di dalam spa itu, tapi nanti kena balik naik teksi. Malas pula dia nak tunggu teksi dalam cuaca yang membahang ini. Dia datang spa itu pun Farhan yang hantar.

1 comment:

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)