Thursday, September 25, 2008

Lara Rindu 2

"Apa yang kamu menungkan tu? Itu lah, emak suruh kawin cepat kamu tak nak. Tengok sekarang, dah terdera diri. Angau. Kalau dah kawin, ada depan mata selalu. Senang," tersentak lamunanku. Aduhai, emak ni, terlebih sporting pula. Aku mana ada ingat siapa-siapa.
Kalau telefon berbunyi pasti emak membuat andaian sedemikian. Ini semua gara-gara Kasturi. Asal sahaja telefonnya berbunyi, pasti dia berlari mencicit mendapatkan telefonnya. Walaupun saat itu dia berada di dalam tandas kerana dia sudah set level telefonnya ke peringkat maksima. Seisi rumah boleh dengar kalau telefonnya sudah berdering.
"Tu handphone kamu, dari tadi memanggil. Buat bingit telinga saja. Dahlah guna lagu macam tu. Bagitahu dia, kalau dah rindu sangat suruh saja datang meminang." Suka hati saja emak buat andaian.
"Emak suka sangat buat hipotesis yang salah. Orang mana ada mata air lagi." Aku terus mengambil telefon di atas meja. Tertera nama Chinta di atas skrin telefon. She is my best pal. Lagu Apogise dari filem Chipmunk terhenti dengan sendirinya bila aku menekan butang hijau.
"Assalamualaikum." Salam dihulur.
"Waalaikumussalam." Kedengaran dari seberang salam dibalas.
"Tia bila kau nak balik sini? Cepatlah. Aku dah sampai ni." Suara menyeru-nyeru sudah sampai ke gelombang telingaku.
"Apa mimpi kau datang awal ni? Bukan selama ni aku yang tunggu kaukah?" hairan juga. Selama ini tak pernah dia datang dulu ke rumah sewa kami. Tapi kali ini keadaan sonsang pula. Dia menggantikan aku menjadi penunggu. Biar kali ini dia pula yang menunggu.
"Alah, kau nak datang jam berapa ni? Kau datang sekarang ya? Aku bawa udang masak lemak ni. Kak Dibah masak." Amboi Cik Chinta, main rasuah guna favourite food pula. Tak adanya aku nak tergoda. Tapi hidung aku macam dah terbau-bau masakan Kak Dibah yang lazat itu. Macam terpanggil-panggil nak balik ke rumah sewa sekarang juga. Dah terliur ni.
"Tak naklah datang sekarang. Aku tengah tengok kartun ni," godaannya tak menjadi. Masih tak terkesan di hati.
"Datanglah. Nanti aku belikan kau CD Totally Spies ya? Dengan komik Detektif Conan sekali." Aduhai, pandai saja dia goda aku dengan benda-benda yang memang aku akan kalah kalau dihulur di hadapanku.
"Kau memang pandai goda aku. Tak bolehlah aku datang sekarang. Ayah aku tak ada kat rumah. Esok baru dia hantar aku. Save lah duit kau tak payah belikan aku CD dan komik tu. Kalau tak, memang aku tagih sekarang juga.” Selamatlah duit Chinta untuk kali ini. Untuk lain kali, never!
Aku memang bercadang untuk datang lewat ke UITM. Sekarang kami sudah tidak tinggal di dalam kolej lagi. Menyewa di luar kampus bersama beberapa teman. Lagipun dalam jadualku, hari Isnin tidak terisi dengan waktu kuliah. Jadi bolehlah aku tambah cuti.
Aku ni kira anak manja juga. Ke mana-mana pasti dihantar. Biasanya ayah yang rela menghantarku pulang ke kampus. Tapi kalau balik ke kampung, aku naik bas. Tidak mahu menyusahkan ayah untuk menjemputku. Kereta? Aku belum mampu untuk membelinya, walau hanya seekor Kancil keluaran Perodua.
"Tia, aku bosanlah. Ni abang aku punya pasallah. Dia pinjam kereta aku, kereta dia rosak. So, dia hantar aku dulu sebelum dia outstation ke Perak,” degusan Chinta kedengaran di telefon.
"Oh, patut pun! Kau jagalah rumah tu kejap. Kau ni, sebelum ni kalau aku datang awal, tak ada pula aku suruh kau rushing datang temankan aku," aku sudah membebel tak puas hati.
"Oklah. Kau sambunglah cuti. Si Aida dengan Fatma pun dah sampai. Kirim salam pada emak ya?" Chinta sudah bercadang untuk memutuskan perbualan.
Aida dan Fatma teman serumah merangkap teman sekuliah. Tapi kami berlainan program. Mereka bakal wartawan. Ikatan yang terjalin sebelum ini hanya bermula kerana sering berlanggar bahu di kolej. Sehinggalah mereka menjadi antara teman rapatku di kampus setelah selalu terserempak di mana-mana. Ke mana sahaja, kami berempat pasti kelihatan bersama. Malah kami digelar dua pasang belangkas kerana selalu berkepit berempat.
"Ok." Aku membalas singkat sebelum menghabiskan perbualan. Telefon aku letak kembali di atas meja.
Aku berpaling ke arah emak yang masih khusyuk menyulam.
"Mak, Chinta kirim salam," seruku perlahan.
"Waalaikumussalam. Kenapa dia tak ikut kamu balik hari tu?" emak memandang aku sekilas.
"Mummy dia suruh balik rumah." Aku sambung balik tengok televisyen yang tadinya mengalami gangguan sebentar.
Seisi keluargaku kenal dengan Chinta. Apa taknya, dia dah jadi ekor aku. Kalau aku balik kampung, mesti aku bawa dia. Dia suka kalau duduk kampung ni. Maklum anak orang kaya. Duduk pula di taman perumahan mewah. Tak adanya pokok-pokok dia nak panjat.
Selama aku cuti ini, dia juga balik ke kampungnya di bandar. Sudah menjadi agenda bulanan, setiap dua minggu atau ketika cuti universiti, pasti kami akan pulang ke kampung. Apatah lagi, Aida dan Chinta orang Kuala Lumpur. Aku pula orang Selangor. Fatma orang Melaka. Jadi tidak menjadi masalah untuk kami pulang ke rumah masing-masing. Memang jaranglah rumah sewa kami terisi bila hujung minggu tiba. Pasti ada sahaja yang akan tiada.
Kadang-kala, kami akan mengadakan konvoi untuk menjejaki kampung teman yang lain atau melawat ke kawasan lain. Setakat ini, kami sudah menjelajah ke pulau-pulau yang ada di sekitar semenanjung. Malah, ke kampung sahabat yang berada nun jauh di Perlis pun kami sudah sampai. Hingga ke Singapura kami jejaki. Semuanya sebab nak pecahkan rekod perjalan sendiri dari utara hinggalah ke selatan.
Chinta, teman yang menjadi bahu kiriku. Di mana ada aku, dia akan ada. Setia bersama dalam apa jua bidang. Dia juga yang gesa aku agar memilih bidang kejuruteraan. Aku pada masa itu belum berminat kepada mana-mana bidang, akhirnya bersetuju untuk berada di bawah satu bumbung dengan dia. Memilih bidang yang tidak kutahu akan jadi apa aku pada masa akan datang.
Namun, selama hampir tiga tahun berada dalam bidang kejuruteraan ini, aku sudah semakin minat dengan bidang ini. Bidang yang memberi banyak pengetahuan baru. Suatu bidang yang sangat tidak menyesal untuk aku terlibat ke dalamnya. Banyak pengalaman berharga yang sudah aku peroleh di sini.
-----------------------------------------------------------------------------

Ketukan dari pintu sebelah mengganggu lenaku pada cuti-cuti begini. Cuti khas untukku. Memang nak kena orang ni. Dah lah semalam aku tidur lewat sebab menonton sehingga larut malam. Sanggup bersekang mata untuk menamatkan cerita Harry Potter yang terbaru. Tak sempat nak pergi tengok wayang dekat panggung hari tu, tengok wayang dekat rumah pun jadilah.
“Kas, bangunlah. Dah nak tinggi matahari ni,” suara ibu yang tersayang bergema dalam rumah.
Aku yang cuba lena semula selepas subuh tadi membatalkan misi utama untuk memanjakan mata. Kalau pagi-pagi dengar konsert macam ni, memang mata akan menari secara automatik. Langsung tak mahu terlelap walau sepicing pun. Lainlah kalau aku dengar hikayat sejarah atau lulaby, mesti mata boleh lena tanpa dijemput. Tapi sekarang ni lain, mata menjadi cergas pula. Tak apalah, tengah hari nanti boleh lanjutkan misi yang tergendala. Tidur sampai bengkak mata, tiada siapa yang kisah.
“Emak ni bisinglah. Orang nak tidur pun tak boleh,” aku menjengukkan kepala keluar bilik. Aku nampak emak sedang berdiri di pintu bilik Kasturi.
Emak menoleh ke arah aku sekilas. Melihat aku masih setia dengan baju T-shirt bergambar Tweety di tengah-tengahnya. Tangan emak masih berusaha mengetuk pintu bilik anak sulungnya. Walaupun bukan aku yang emak kejutkan, tapi dengan cara yang emak gunakan sekarang, bukan setakat aku, cicak yang ada dalam rumah inipun akan terbangun dengan gegaran yang dihasilkan emak.
“Kamu tu, selagi tak muncul matahari, tak adanya nak celik mata. Cubalah sekali-sekala kalahkan ayam tu. Bangun lebih awal dari mereka. Entah apalah nak jadi dengan anak-anak dara aku ni. Macam bela anak bujang pula. Asyik bangun lewat sahaja. Nak pergi sekolah pun, aku juga yang kena kejutkan. Kalau emak dulu, pukul empat pagi dah kena bangun,” emak sudah membebel.
Alahai emak, nak buka kisah zaman lampaulah pula. Kalau dah membebel tu, semua kisah yang dah jadi sejarah pun berulang tayang di bibirnya.
“Kasturi, bangun. Kamu tak nak pergi sekolahkah?” sekali lagi emak mengetuk pintu bilik Kasturi. Kali ini dengan ketukan yang kuat.
Aku sudah bersandar di dinding bilik berhampiran dengan emak. Menguap sambil membawa tangan menutup mulut. Emak menggeleng melihat telatahku. Aku hanya tersengih memandang emak.
“Mak, lima minit lagi kejutkan Kas,” suara dari dalam bilik yang masih serak-serak basah kedengaran.
“Lima minit lagi dah nak terang. Dah bangun sekarang,” emak masih berusaha memujuk agar Kasturi bangun.
“Mak, nanti Kas bangun,” pinta Kasturi. Keadaan kembali senyap. Mungkin Kasturi betul-betul sambung tidur. Pasti kelopak matanya dilekat gam sampai dah tak boleh buka.
“Jangan nak mengada Kas. Kamu nak kena tahan dekat pintu pagar sekolahkah? Dah, bangun pergi mandi,” emak sudah bergerak meninggalkan pintu bilik Kasturi.
“Emak ni, kejap lagilah Kas bangun,” suara Kasturi sekali lagi menyapa ruang telinga kami. Kicauan burung pagi-pagi begini berpadu dengan suara dari dalam rumah Pak Mahmud.
“Mana-manalah kamu. Bukan emak yang kena jawab kalau datang lewat ke sekolah,” balas emak pula. Emak sudah menuju ke dapur. Aku ikut langkahnya di belakang.
Aku tarik kerusi lantas duduk di meja dapur.
“Ini lagi seorang. Kalau dah bangun tu, cuba-cubalah pergi mandi awal sikit. Ini tak, nak tunggu matahari tegak baru nak mandi. Kalau mandi awal, menyihatkan badan. Mencergaskan fikiran. Otak pun cerdas. Tengok macam emak, selalu mandi awal, penyakit pun menjauh,” ujar emak sambil menunjuk ke arah dirinya sendiri.
Aku hanya memandang perlakuan emak. Begitulah keadaanya setiap pagi. Seolah-olah emak sibuk mengejutkan anak-anaknya bangun pagi-pagi untuk ke sekolah. Sampai tak menang tangan emak di waktu pagi. Meyiapkan sarapan, mengejutkan anak-anak dan mengemas rumah. Itupun dah jadi suri rumah sepenuh masa, kalau emak ada kerjaya? Aku pun tak tahu nak kata apa.
Rasanya dah jadi menu sarapan utama, pagi-pagi dengar suara bising emak. Kalau dah mula bising tu, satu benda yang dia bebelkan, semua orang akan berkait untuk kena bebel sekali. Termasuklah mereka yang tak bersalah. Macam aku ni. Terpaksa dengar ceramah berkaitan isu mandi pagi sebagai penganti isi kuliahku pada pagi Isnin ini. Aku tahulah ada perhimpunan pagi-pagi, tapi takkanlah pengetua rumah ni nak buat ucapan di meja makan.
“Mak, kenapa tak kejutkan Kas. Kan semalam dah pesan, dah pukul tujuh ni. Dahlah orang ada perhimpunan pagi-pagi,” kulihat Kasturi sudah terkocoh-kocoh masuk ke bilik mandi dengan tuala tersandang di bahu kirinya.
Memang aku dengar semalam dia ada pesan dengan emak untuk mengejutkannya pagi-pagi. Dia nak tanda kertas peperiksaan anak muridnya sehingga melewatkan tidurnya. Tapi emak dah laksanakan tugasnya, dia yang tak nak bangun. Kenapa nak salahkan emak pula.
“Kamu tu yang liat sangat nak bangun. Orang kalau lepas subuh tak payah tidur, yang kamu pergi sambung tidur tu kenapa? Tengok apa dah jadi. Ish, budak-budak ni. Ada saja perangainya,” emak menggeleng melihat telatah Kasturi yang sudah masuk ke dalam bilik air.
Dalam masa beberapa minit, Kasturi sudah menyelak pintu bilik air. Apalagi, mandi kerbaulah tu. Walaupun aku nampak dia menggigil kesejukan, saja nak pretend konon-kononnya dia mandilah tu. Padahal dia buat macam wayang P. Ramli, cuma cuci muka sahaja. Aku sekadar menjadi pemerhati. Kasturi memang tak berubah tabiatnya. Suka sangat bangun lewat. Lepas tu emaklah jadi mangsa sampai kalut akibat sikap kelam kabut dia.
Emak mencapai teko dan menuju ke rak di sebelah meja. Bersedia untuk membuat air. Gula dimasukkan dan beberapa sudu milo menyapa dasar lantai teko. Air panas dituang. Larutan milo dalam teko dikacau perlahan.
Bila sudah selesai, emak mengambil pula cawan besar. Bersedia untuk membancuh kopi untuk ayah. Begitulah rutin emak, membancuh minuman untuk anak-anak walaupun semua anaknya adalah anak dara. Dia masih setia untuk membancuhkan air. Bukannya apa, sesekali balik, nak juga bermanja dengan emak.
“Emak, mana baju kurung Kas?” suara dari atas kedengaran.
“Sejak bila pula emak simpan baju kurung kamu,” sahut emak.
“Kasut hitam Kas emak letak di mana?” sekali lagi Kasturi melaung dari dalam biliknya.
“Ada emak tengok kat tepi tangga,” teriak emak.
“Buku-buku Kas?” suara yang tadi terasa jauh semakin mendekat.
“Kan ada di atas meja dekat sofa. Kas ni, semua harta dia kena tanya emak. Macam emak pula yang guna semua benda tu,” bebel emak.
Baru tadi aku dengar sesi sahut-menyahut di pagi hari, seolah-olah seorang di Menara Petronas, seorang lagi di Menara Kuala Lumpur.
“Duduklah sarapan dulu?” pelawa emak sambil menghulurkan cawan yang sudah dituang dengan air milo. Kasturi sudah datang terkocoh-kocoh sambil membetulkan tali tas tangan warna merah jambunya, sedondon dengan baju kurung yang berbunga kecil warna merah jambu. Manakala tangan kanannya dipenuhi dengan fail-fail yang berisi kertas-kertas putih. Dia mencapai cawan yang dihulurkan emak dan menyuakannya ke bibir.
“Ouch,” Kasturi sudah menyapu lidahnya. Air Milo sudah tersembur ke hadapan. Tiada yang menjadi mangsa air terjun milo pagi ini kerana tiada sesiapa yang duduk di kerusi hadapan. Tempat duduk ayah.
“Ish kamu ni, tak reti nak sabar. Air panas tu. Kalau iya pun, duduklah minum,” emak menggeleng melihat telatah anaknya. Aku tersenyum melihat reaksi Kasturi. Habis lidah dia kena air panas.
“Kas dah lambat mak. Nanti tak pasal-pasal kena tahan guru besar kat pagar sekolah. Kas sarapan kat sekolah nanti,” tangan ibu dicapai dan disalam. Satu ketul cekodok diambil dan disuakan ke dalam mulut. Laju langkahnya berlari keluar rumah. Sekolahnya hanya beberapa meter sahaja dari rumah, kalau berpuluh-puluh meter, pasti sudah lama dia kena denda sebab lewat datang ke sekolah.
“Apalah nak jadi dengan anak aku. Dari zaman sekolah sampai sekarang, aku juga yang kena kejutkan bangun. Ini, dah jadi cikgu sekolah pun, aku juga yang kena kejutkan. Memang kerja aku jadi alarm Si Kas,” aku berpaling memandang emak bila dengar emak bersuara. Emak masih menggeleng sambil membebel kecil. Kasturi sudah hilang di pandangan mata.
Aku ketawa mendengar bebelan emak. Memang lucu. Masa sekolah dulu, emak yang kejutkan kami untuk bangun pergi sekolah, sekarang dah lepas sekolah pun sampai dah jadi cikgu sekolah, emak belum pencen lagi dari tugasnya untuk mengejutkan Kasturi bangun pergi sekolah. Macam manalah dengan murid-murid si Kas ni. Cikgu baru bangun, anak muridnya dah sampai sekolah.
“Ha, mana dah anak dara kamu yang seorang? Dah pergi sekolahkah?” ayah datang bersama senaskah surat khabar Harian Metro di tangan.
“Abang macam tak biasa pula dengan perangai anak dara abang. Mia rasa macam bela budak kecil pula. Pagi-pagi kena kejut, siapkan baju, buku-buku, kasut. Itu, nasib baik dia tak minta buatkan bekal, kalau dia minta bekal nak nasi goreng dengan ayam goreng macam sekolah dulu, memang jenuhlah saya,” terang emak sambil menghulurkan mug yang berisi air kopi kepada ayah.
Aku hanya menjadi pendengar setia sambil menikmati sarapan pagi yang sungguh lazat ni. Cekodok pisang dengan milo panas, memang sedap tak terkata. Apalagi buatan tangan daripada Puan Kasmia, memang terangkatlah.
“Dah dalam rumah ni tak ada budak-budak, awak layan sajalah perangai budak-budak anak perawan awak,” balas ayah. Harian Metro di tangan diletakkan di tepi meja. Juadah di depan mata disantap dengan penuh berselera. Pasti ayah singgah di kedai Pak Abu untuk membeli surat khabar.
“Tiap-tiap pagi Mia kena siapkan budak besar pergi sekolah. Macam nak siapkan mereka dulu masa tadika. Walau umur dah suku abad, tapi Mia rasa kena layan budak umur lima tahun,” emak masih meluahkan rasa hatinya kepada ayah. Aku tersengih mendengar ketidakpuasan hati emak tentang kami.
Ayah mengangguk-anggukkan kepala mendengar bicara emak. Mengakui akan sikap anak-anaknya yang tak serupa anak dara.
“Entah apalah nak jadi dengan Kasturi, kalau dah kahwin nanti, jangan-jangan anak dia yang kena kejutkan dia bangun pagi pergi sekolah,” suara emak bergema lagi.
Aku dan ayah tertawa mendengar kata-kata yang terbit dari bibir emak. Memang tak tak dapat dinafikan akan sikap Kasturi yang suka sangat bangun lewat sebab dia tak suka tidur awal. Selagi hantu malam tak bertenggek di atas pokok, selagi itu matanya akan bertahan untuk melakukan tugas-tugasnya yang belum selesai. Kadang-kadang aku yang jadi mangsa kena temankan dia untuk berjaga malam.
“Macam tak tahu pula dengan Si Kas tu. Dia akan ada penyakit... apa tu, amnesia,” ujar ayah sambil memandangku.
“Bukan amnesialah ayah. Imsomnia, penyakit sukar tidur malam. Amnesia tu hilang ingatan,” tegasku.
“Ha... itulah yang ayah nak kata tadi. Dia bukannya reti nak tidur awal. Selagi jam tak denting pukul satu atau dua, manalah dia tahu nak tidur. Dah jadi kelawar pula ayah tengok,” balas ayah lagi.
Emak menggeleng-geleng. Mengakui akan sikap dan tabiat Kasturi yang memang suka tidur lambat. Emak mengambil cekodok yang digorengnya subuh tadi, lantas dimasukkan ke dalam mulut.
“Hebat anak ayah, ada Batwoman,” aku mencelah. Kedengaran tawa daripada emak dan ayah apabila mendengar kata-kataku.
“Dah jadi macam satu penyakit pula Si Kasturi ni, tak boleh tidur. Ada juga orang macam ni ya?” ayah menggeleng perlahan.
“Itu bukan penyakit namanya, tempah penyakit,” emak menyampuk setelah habis seketul cekodok dihadamnya.
“Memang bukan penyakit pun. Tapi sudah jadi kebiasaan. Lama-lama dah menjadi satu rutin yang perlu dilakukan setiap hari. Kalau jadual tidur dia berubah, dia tidak akan dapat tidur walau dia cuba paksa dengan apa cara sekalipun. Kecuali dia telan pil tidur,” terangku pula.
Kelewatan tidur Kasturi memang sudah menjadi rutin hariannya. Pernah kami balik dari pengembaraan bersama, dia tak boleh tidur. Aku lepas Isyak dah tersadai dalam mimpi, tapi dia masih cuba untuk mengajar matanya agar terlena. Akhirnya, pukul dua belas tengah malam juga dia lena. Itupun selepas dia minum Milo. Dia bangun tengah malam bancuh milo barulah rasa kantuknya datang.
“Teruklah juga dia nak ubah jadual tidur dia nanti,” ayah membalas perlahan sambil meneruskan suapannya.
“Ayah, petang ni jadi kan?” aku memandang ayah. Meminta kepastian tentang rencana petang ini.
Harap-haraplah tiada aral melintang supaya aku dapat pulang ke Shah Alam dalam keadaan selamat. Lagipun esok, kuliahku sudah bermula. Tidak mungkin untukku menambah cuti lagi. Bukannya universitiku secara sendirian berhad, kalau tidak, bila-bila masa saja aku nak datang ke sana.
Ayah hanya mengangguk. Maknanya tak payahlah aku naik bas lagi balik ke rumah sewa. Boleh bekal makanan banyak-banyak. Gembira tak terhingga aku bila ayah menunjukkan kesudian untuk menghantar aku balik.
Sedih pula nak tinggalkan kampung ni. Tak apa, minggu depan boleh balik lagi. Lagipun, Chinta dah ada di rumah sewa sekarang. Pasti dia jadi macam ayam berak kapur selama ketiadaanku ini.

No comments:

Post a Comment

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)