Thursday, September 25, 2008

Lara Rindu 3

“Kau tahu tak, hari tu Kasturi buang beg aku dari tingkap terus jatuh ke tanah. Sampai hati dia buang beg kesayanganku,” kuluahkan perasaan kepada Chinta yang disertai emosi dan mimik muka yang sedih.
“Padan muka kau. Ni mesti kau dah buat dajal pada kakak kau.” Chinta memandang aku sekilas sebelum meneruskan langkahnya.
“Mana ada. Dia yang mulakan dulu. Dia guna beg aku tanpa kebenaran. Aku pun balaslah balik.” Aku cuba mempertahankan diri.
“Kau ni, entah bilalah nak hidup aman damai dengan kakak sendiri,” Chinta mengeluh perlahan. Seolah sedang menyelesaikan masalah antarabangsa pula. Dia yang terlebih sedih.
“Dia buang beg aku apa kes? Lepas tu, dia buang dari tingkap terus jatuh ke laman emak. Tepat pula tu kena pokok bunga kertas emak aku. Beg aku dah koyaklah Chinta. Sedihnya,” terasa nak keluar air mata sedih. Tidak henti mengadu tentang beg kesayangan yang sudah bertukar rupa.
Beg kesayangan aku dah koyak. Petang tu selepas Chinta balik, aku terus serbu nak dapatkan beg aku. Dia macam tahu-tahu terjadi sesuatu yang kurang baik. Beg aku dipegang erat menuju ke biliknya. Meliar matanya mencari sesuatu yang aneh pada penglihatan matanya. Melihat jika ada perubahan dalam biliknya. Fokus matanya beralih dari satu arah ke arah yang lain.
Aku yang melihat sudah kecut perut bila kaki Kasturi menuju ke meja soleknya. Di pandang satu-persatu barangan yang ada di atas meja solek itu. Postur tubuhku yang sedang bersandar di pintu terbias melalui cermin solek. Nampak sedikit perubahan pada wajahku melalui cermin itu. Sedikit pucat.
Mata Kasturi terbeliak bila memandang botol berwarna ungu. Botol berbentuk silider itu ditenungnya dalam-dalam. Lama. Kemudian mata hitamnya beralih kepadaku. Ditenungnya aku macam nak terkam. Aku pula sudah menjadi salam tingkah. Sedar akan kesalahan diri.
“Oppps,” tanpa sebarang tanda, begitu spontan Kasturi menghumban begku jatuh ke bawa. Jendela yang terbuka aku tuju untuk melihat ke mana beg kesayanganku itu terbang jauh.
“Tak sengaja,” perkataan itu membuat darahku mendadak naik ke ubun-ubun kepala. Begitu selamba Kasturi berkata-kata. Bila melihat aku sudah berdiri menahan marah di tepi jendela, cepat-cepat dia mengemas barangan yang ada di atas meja. Pura-pura menyibukkan diri.
Ekoran marah yang terlampau, aku tak mampu berkata-kata. Kasturi kujeling maut sebelum kakiku keluar dari biliknya. Kalau ikutkan hati yang panas, kala itu juga aku rampas botol minyak wangi yang ada ditangannya dan humban ke bawah tanah. Biar jadi mangsa macam beg Loisku. Fair and square. Tapi semua itu tidak mungkin aku lakukan. Tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu.
Aku turun ke bawah dan menyelamatkan begku yang tersadai di pokok bunga kertas. Bunga yang mempunyai jambangan yang besar itu kelihatan sedikit cacat apabila dipaksa buka kelopaknya. Beg akulah yang membuka dan mencacatkan kelopak-kelopak yang mekar berwarna merah jambu itu. Beberapa kelopak sudah jatuh melayang ke tanah ditiup angin lalu.
Tika itu juga aku suruh emak jahitkan mana yang terkoyak. Yang tak dapat dicover, dia sulam. Sedihnya. Beg Lois dah tak ada rupa Lois lagi. Cantik pula port yang koyak tu, tepat-tepat di tengah. Emak aku sulamkan bunga. Aduhai. Dari minah koboi, beralih ke minah bunga. Aku tak bawa balik rumah sewa lagi beg tu. Nak dimasukkan dalam muzium tu, just for display.
Sampai hati betullah Kasturi ni. Kalau ada peluang, aku akan buang dengan botol minyak wangi dia sekali dalam mangkuk tandas. Biar dia tak dapat nak jejak ke mana menghilangnya harta kesayangannya. Salah aku juga hari, ada rasa kemanusiaan lagi masa rosakkan harta karun Kasturi. Sepatutnya aku kena kosongkan hati. Biar nampak nyata kejahatan yang aku buat. Tak apa, lain masa ada lagi. Kata orang, buat jahat jangan sekali, biar berkali-kali.
Emak aku pun satu (eh emak aku memang satu, tak ada duanya), yang dia tanam pokok yang berduri ni untuk apa? Ikutkan hati, nak aku kerat-kerat pokok bunga kertas tu. Kalau ada faedah tak apa juga, ini buat aniaya kat orang saja. Cubalah emak tanam pokok bunga matahari, bunga tahi ayam, bunga tulip atau lavender. Ada juga manfaatnya. Kalau emak tanam lavender, untung juga. Tak payahlah aku susah payah beli minyak wangi lagi haruman Lavender. Ambil saja lavender, lepas itu blender, nanti aku buat la pati minyak wangi sendiri. Boleh kaya ni. Aku merancang dalam hati. Tersenyum sendiri mengenangkan apa yang terlintas di kepala saat ini.
“Ni mesti fikir macam mana nak revenge balik kat kakak dialah ni. Sebelum fikiran kau jauh melencong, jom makan kat kafe. Aku dah lapar ni,” Chinta terus menarik tanganku menuju kafe. Dia ni, tahu-tahu saja apa ada dalam otakku.
Hari ni kuliah pukul 8 pagi. Sebelum ke kuliah tadi dah sarapan Twiggies dengan Milo 3 in 1. Hari ini juga kena tunggu bas ke kuliah. Kereta Chinta abang dia cilok. Nasib baik tak jauh sangat. Merasa juga naik bas setelah sekian lama tak naik. Macam budak junior pula.
Tadi baru balik dari jumpa pensyarah. Bincang pasal final projek. Biasalah, last semester ni kena rajin jumpa pensyarah, nak rapatkan ukhwah sebelum tinggalkan universiti. Itu sebenarnya alasan ke sepuluh kenapa aku jumpa pensyarah. Tujuan utamanya sebab aku tak tahu nak buat projek yang dia bagi. Susah yang teramat, maka dialah kena tabah layan karenah aku yang rajin sikit hadir jumpa dia. Semester ini saja aku rajin. Sebelum ni, sekali-sekala saja aku jumpa pensyarah. Kadang-kadang jumpa dalam kelas saja, luar kelas, buat tak kenal. Kadang-kadang sampai berlanggar bahu. Tak kenal, rupanya dia pensyarah.
Chinta ni dah ada tunang. Tunang dia tengah study di Amsterdem, Belanda. Sekarang ni buat chambering sebelum betul-betul menjadi peguam. Untung Chinta kerana dapat bakal peguam. Ammar Sufi.
Aku kagumi Chinta kerana setia walau Ammar tiada di depan mata. Memang ada mamat yang cuba masuk jarum, tapi dia tak layan. Siapa tak terpikat. Anak orang kaya, cantik pula tu. Memang pakej yang baik untuk seorang lelaki.
Tapi dia ni tak tahu memasak. Tu kelemahan yang nyata. Berdasarkan pengalaman. Suatu malam tu, aku suruh dia jaga ikan goreng sementara aku nak jemur kain, boleh pula dia tunggu sampai ikan tu dah hitam baru dia angkat keluar dari kuali. Apa dia ingat aku goreng ikan guna kicapkah?
Akhirnya, makan malam kami dia yang belanja. Satu rumah kami makan kat luar. Selalu juga aku perli. Kalau ada masa memang aku ajar dia masak, tapi dia kata nanti kalau dah kahwin dia nak upah orang gaji. Simple mentaliti bagi orang yang mampu. Dia dah nak kahwin, tapi tak pandai masak. Dia kata malas nak belajar memasak.
Jangan dipanjat pokok talas,
Nanti disangka kita jahat,
Jangan menjadi orang malas,
Perut kosong badan tak sihat.
Durian belanda berpagar tepi,
Duku kecil berjiran lada,
Ajaran guru hendaklah dicari,
Apa yang dapat jangan dilupa.
Siap berpantun lagi kami kalau nak suruh Chinta belajar memasak. Berguru dengan kami bertiga sebab Aida dan Fatma juga pandai memasak. Hanya dia yang tak tahu masak. Masak air guna cerek pun dia suruh aku buat. Kalau dah keluar pantun untuk sindir dia, dia hanya gelak saja.
Cuti semester, kalau rindu dia dah tak tertanggung, encik abang pula tak balik Malaysia, sanggup dia terbang ke sana. Alah tu pun baru sekali. Biasanya Ammar akan balik Malaysia. Sama-sama orang kaya. Duit tak kisah, yang penting kasih terjalin. Dapat juga dia memadu kasih kat Eropah, sempat lagi ke Brussel dengan Belgium, negara jiran Belanda.
Lepastu suka sangat buat aku cemburu dengan minyak wangi dari Cologne. Asli dari kilang. Siap tunjuk lagi gambar dia tengah berada di sekeliling pekerja-pekerja kilang minyak wangi di Cologne. Habis jugalah dia round Jerman. Sampai ke Hamburg, Roslock, Hannover, Franfurt and Munich. Siap naik tembok Berlin lagi, pemisah antara Jerman Utara dan Jerman Selatan. Pernah aku bertanya, kenapa tidak round seluruh Eropah. Katanya nak bagi space untuk bulan madu mereka. Baguslah tu. Nanti kalau ada masa, aku pula yang akan menyusul ke sana.
Aku kenal Ammar. Dia menjadi tutor sementara di matrikulasi dulu. Ammar tua dua tahun dari kami. Bila teringat kembali, terasa lucu juga macam mana kasih mereka ni terjalin. Susah juga Ammar nak pikat Chinta. Hari-hari tunggu kat library. Kemudian duduk depan Chinta. Tenung Chinta. Aku masa tu memang dah bagi peluang pada mereka berdua. Sengaja lari dari meja yang aku dan Chinta sedang duduki. Lagipun aku nak memberi peluang kepada sahabatku untuk merasa kasih sayang dari insan yang berlawanan jantina. Aku mahu lihat sejauh mana Ammar mampu untuk mendapatkan Chinta. Sejauh mana dia mampu masukkan jarumnya untuk tembus mendapatkan hati Chinta.
Tapi Chinta buat tak layan. Tegar juga hati dia. Lebih sebulan Ammar mengurat baru dapat pikat. Tu pun dah bagi coklat, bunga, belanja makan dan segala macam usaha untuk memikat si jantung hati. Aku juga yang untung. Apa-apa yang Ammar bagi, aku pun dapat kecuali anak patung bear, hanya untuk Chinta. Bila sudah lama, akhirnya pintu hati Chinta terbuka. Betullah kata orang, sekeras-keras kerak nasi, kalau disiram dengan air, pasti akan lembut akhirnya.
Berita terkini yang aku dengar, Chinta sudah berura-ura untuk berkahwin selepas tamat belajar. Itu awal perancangan mereka. Sudah diputuskan antara dia dan Ammar. Lagipun, ikatan pertunangan mereka sudah mencecah dua tahun. Zaman bertunanglah yang paling banyak godaan, sebab tu kalau boleh mereka nak cepatkan perkahwinan mereka.
Sedih merantai kallbuku. Kalau Chinta dah kahwin, pasti aku sendiri pula. Dahlah kawan tak ramai. Takkan aku nak kawan dengan Kasturi kot?
Tapi aku sedar, sepatutnya aku meyokong rencana hati mereka. Aku patut memberi sepenuh sokongan untuk pembinaan masjid mereka.

-------------------------------------------------------------------------------------

Deringan telefon, mematikan sekejap kerjaku. Pen dan kertas putih kusorong ke tepi. Buku yang setebal lima inci itu sudah aku tutup. Buku yang seratus peratus berkaitan dengan bahan binaan itu, sudah tidak menarik perhatianku lagi. Satu penanda aku letakkan di tempat aku berhenti tadi. Menanda mukasurat di mana aku berhenti agar tidak penat untuk membelek semula.
Melihat nama yang tertera, senyum sudah menguntum di bibir.
Salam dihulur sebagai pembuka bicara. Kedengaran suara di hujung talian menjawab salam.
“Ada apa Puan Kasmia?" aku berlagak formal dengan orang si sana. Mahu mengacah wanita yang banyak berbudi padaku.
"Bila kamu nak balik ni? Raya dah dekat tapi kamu tak balik lagi." Tidak jadi aku nak teruskan gurauan bila sudah mendengar mukaddimah daripada Puan Kasmia. Nampaknya emak sudah memulakan kuthbahnya.
"Mak, kalau Tia tak balik bolehkah?" cuba acah sikit.
“Habis tu kamu nak beraya di mana?" emak bertanya hairan.
Mestilah sesuatu yang ajaib bila anak emasnya tiba-tiba buat kenyataan yang tak pernah terlintas di akal fikiran. Tidak mahu balik raya. Mungkin pada anggapannya sekarang ini, anak daranya sedang demam.
Kalau anaknya ini tidak balik beraya, mesti anak daranya ini akan menangis tak berlagu. Berbaldi-baldi air mata. Terkenangkan kampung halaman.
Nak juga aku merasa beraya di perantauan. Selalunya tengok dalam akhbar dan media elektronik, ada saja salam perantauan untuk keluarga di kampung halaman. Aku pun nampak secara yang budak international dan pelajar Sabah dan Sarawak, mereka sudah biasa menyambut hari raya di tempat orang. Tak kekok pun. Tapi sedihlah dengar cerita mereka.
Unni, pelajar Sabah merangkap jiran sebelah rumah pernah cerita. Mereka sambut hari raya pertama hanya dengan makan Maggie sahaja sebab tiada kedai makan yang beroperasi ketika musim perayaan. Terus luntur perasaan nak mencipta pengalaman beraya di perantauan. Kalau raya saja, terus balik kampung.
"Raya di sinilah. Emak tahu tak, kita cuma nak rayakan Hari Raya Aidiladha. Buat apa sibuk-sibuk nak sambut." Aku betulkan dudukku di atas kerusi. Sudah lebih sejam duduk di sini. Beginilah keadaannya bila tiba saat-saat kecemasan. Ketika semua pensyarah meminta assigment lengkap ada di atas meja mereka. On time. Kalau tidak dihantar, maknanya memang menempah tiket untuk repeat paper. Itulah perkara yang keseratus akan aku lakukan. Selagi aku mampu untuk siapkan assigment yang diamanahkan, selagi itu aku akan bersekang mata mencari maklumat dan menyiapkan esei dengan seoptima mungkin.
“Apa masalahnya. Dah berkurun orang sambut hari raya ni. Sejak bila pula kamu tak nak sambut?” Suara emak sedikit meninggi. Geram dengan sifat mengada-ngada anaknya.
“Alah... emak ni. Raya haji ni khas buat mereka yang menunaikan haji sahaja. Kita ni belum lagi bergelar haji atau hajjah. Hanya orang yang sedang tunaikan haji dan mereka yang dah menunaikan haji sahaja yang boleh sambut raya ni,” terangku. Dalam aku menerang, terselit senyuman di bibirku. Pastilah emak tidak akan percaya dengan apa yang aku bicarakan.
Nama pun Hari Raya Haji, bukannya hari raya umum. Istimewa buat mereka yang dah memijak Tanah Haram sahaja. Logiklah.
“Mazhab mana pula yang kamu ikut ni. Kalau ikut teori kamu tu, hanya sepuluh buah rumah sajalah yang sambut raya di kampung ni. Yang lain buat apa, duduk melongo sahaja. Terpaksa naik haji dulu baru ada lesen nak sambut hari raya haji,” Tertawa aku dengan jenaka dari bonda tersayang. Saja nak sakat dia. Rindu.
Memang penuhlah rumah haji dan hajjah yang ada sebab terpaksa menyambut kedatangan tetamu yang tidak menyambut hari raya haji. Demi nak makan lemang, ketupat, rendang dan segala macam juadah hari raya. Maklumlah, di rumah mereka tidak ada semua makanan tersebut. Itupun dapat merasa dua kali setahun sahaja, ketika hari raya puasa dan hari raya haji.
“Itulah sebabnya kita beraya saja di rumah Haji Dollah, Haji Amir, Hajjah Salmah dengan Hajah Rokiah...” belum sempat aku senaraikan semua haji yang aku kenal, emak sudah menyambung.
“Hmm.. Dengan Haji Sahak sekali. Lepas tu dengan keluarga Pak Mus dengan Si Habibah sekali yang sedang tunaikan haji. Kamu ni... Dahlah. Emak pun dah terikut dengan kamu. Apapun, sebelum hari raya, muka kamu kena ada kat rumah,” emak sudah melatah disebabkan geram. Dia tahu dia hanya dipermainkan oleh anak kesayangannya. Lantas tidak dilayan sangat karenahku.
“Mak, betullah apa yang Tia kata. Raya Haji ni khas untuk mereka yang ada kaitan dengan rukun Islam kelima saja. Kita tak payahlah susah-susah buat persiapan.” Aku masih mempertahankan pendapatku.
Buat penat sahaja nak balik kampung semata-mata nak sambut hari raya ni. Sediakan langsir barulah, buat kuih berbalang-balang, sembelih ayam berpuluh-puluh ekor, sofa baru, baju baru dan segala macam benda baru. Habis tu yang lama pergi ke mana. Duduk diam-diam dalam dalam stor. Sampai dimakan anai-anai. Padahal benda tu masih elok lagi. Pembaziran betul!
“Biarpun emak tak belajar tinggi, kamu jangan nak kelentong emak. Jangan nak mengada-ngada. Kamu kena balik. Kakak kamu nak bertunang hari raya kedua ni," muktamad emak melafazkan kata-kata itu.
"Kas tak bagitau Tia pun dia nak tunang," tiba-tiba pula aku dengar berita ini. Angin Monsun Timur Laut tak bawa pun khabar berita ini untukku. Adakah aku terlupa atau memang tidak diterbangkan angin tentang pesanan ini.
"Dia lupalah tu. Dia sibuk sekarang ni,” jelas emak bila mengetahui bahawa aku tidak tahu apa-apa.
"Oklah mak. Nanti Tia balik. Tengok dulu kalau ada tiket kapal terbang." Naik kapal yang terbang atas darat. Setakat ini tak ada lagi dibina landasan kapal terbang antara kampung aku dengan rumah sewa ini. Jadi, pilihan yang ada cuma kapal terbang empat tayar yang tiada sayap.
"Kamu bagitau saja bila dah mula cuti, nanti emak suruh ayah ambil kamu di sana." Pelawaan emak membuat aku senyum simpul. Pilot khas yang nak datang jemput. Ini yang seronok.
"Betul ni? Mak bukan tak tahu, ayah kalau nak dekat raya ni sibuk memanjang," soalku semula. Kenyataan yang tak boleh dibangkang. Kesibukan pasti membelenggu setiap orang saat hari besar tiba.
"Lebih baik ayah ambil kamu daripada emak dengar kamu demam sebab tak dapat beraya di kampung." Sengih menguntum di bibir walaupun kutahu emak tidak dapat melihatnya. Bibir kuketap perlahan. Menahan tawa dari berbunyi.
Begitu lajunya emak menebak perasaanku. Emak ni, macam tahu-tahu saja apa akan jadi kat aku kalau tak balik kampung. Mesti demam sampai meracau-racau.
Sebelum memutuskan perbualan telefon, emak mengajak Chinta untuk beraya di rumah. Memang ajakan rutin. Pasti anak dara seorang tu akan dijemput untuk menyambut hari raya di rumahku. Dia pun tidak pernah ketinggalan untuk ada di rumahku ketika hari raya tiba.
Tak sangka kakak kesayanganku dah nak bertunang. Aku menggeleng tak percaya. Tapi itulah yang perlu aku percaya. Kasih mereka hendak dimeteraikan ke peringkat seterusnya. Setelah adanya perkenalan, pasti disusuli dengan percintaan. Bila adanya percintaan, mestilah hendak dirasmikan hubungan tersebut. Kala itulah ikatan pertunangan akan diwujudkan. Sebagai bukti sang kekasih adalah milik mereka, tidak boleh ada insan lain untuk masuk jarum.
“Hoi,” terlepas pen yang aku pegang. Jatuh bergolek di atas lantai.
Aku gerakkan wajah ke sebelah kanan. Memandang gadis yang berdiri di sebelahku. Bilalah anak dara ni bertaubat dari buat aku terkejut?
“Kau nak tahu cerita panas tak?” aku yang sedang membelek buku Bahan Binaan berpaling menghadap Chinta. Dia sudah selamat melabuhkan punggung di atas permaidani setelah membuat jantungku berdetak kencang tadi. Semuanya disebabkan terjahan yang tiba-tiba daripada Chinta.
Minah gosip ni tak habis-habiskah berita yang dia bawa? Entah apa lagi gosip yang dia dapat. Hairan juga aku. Dia mendapat lebih banyak input gosip daripada aku. Sedangkan, most of our time is spent together. Kami ke mana-mana sentiasa bersama. Tapi kenapa dia dapat banyak informasi? Takkanlah aku tak dengar bila orang bergosip di sebelah Chinta?
“Apa cerita ni?” Aida yang tadinya menatap televisyen berpaling ke arah kami. Tubuhnya diubah sembilan puluh darjah.
Aku juga berubah posisi. Kalau tadi aku lebih selesa duduk di atas kerusi bersebelahan meja belajarku, kini kakiku pantas melangkah ke kelompok mereka. Sama-sama membuat lingkaran untuk mendengar berita terkini. Buletin Utama sudah tidak menjadi pilihan kami bila sudah mendengar adanya gosip. Semua yang ada mahu mendengar apa yang diperkatakannya.
“Gosip hangat ni. Hotfm pun tak siarkan lagi.” Aku tersenyum sumbing. Minah ni, memang tak pernah tetinggal dengan Hotfm. Suka sangat dia mendengar radio Hotfm. Pagi-pagi, suara Fafau akan saling bertingkah dengan suara penghuni rumah ini sebelum pergi kuliah.
Derapan kaki membuatkan aku menoleh ke belakang. Kulemparkan senyum kepada Fatma. Dia datang menghampiri kami di ruang tamu rumah. Duduk bersila di sebelahku. Melengkapkan lagi korum kami untuk menjadikan rancangan ‘Mari Mendengar Gosip Hangat’ semakin hangat.
“Cepatlah cerita,” Fatma yang sudah selamat mendudukkan diri di sebelahku memulakan soalan.
Chinta hanya tersengih. Bahan gosip darinya nampak laku pula. Dari gerak gaya Chinta yang slow motion itu, membuat aku geram pula. Sengaja melambat-lambatkan cerita. Membuat rasa ingin tahu kami bertiga semakin membukit. Mendera perasaan betullah minah ni.
”Kau tahu tak...”
“Memanglah aku tak tahu..” dia tak sempat mulakan intro bila aku menyampuk.
Aku sudah tersengih melihat dia bermuka cemberut. Sebiji macam ulat gonggok menggulungkan diri. Tapi muka Chinta lebih comel daripada ulat gonggok. Segera tanganku mengusap-usap belakangnya. Meredakan amarahnya. Kalau dia marah, tak dapatlah dengar berita panas.
”Kalau kau menyampuk lagi, no more story. Only valid for today.” Panahan matanya tajam menikam pandangaku. Amaran sudah diberi. Aku hanya mengangguk. Senyum aku tahan. Kalau terlepas senyum, mesti minah ni akan naik angin padaku. Nanti, aku juga yang kena balik.
“Cepatlah,” Aida sudah mendesak. Tidak sabar untuk mendengar bahan cerita yang dibawa Chinta. Wartawan yang tak bergaji. Senang sangat dia mendapat bahan berita dari mana-mana sumber. Hairan juga aku. Takkanlah dia bayar pemberi maklumatnya untuk dapatkan gosip?
Chinta tersengih. Duduknya diperbetulkan. Aku menggeleng. Mengada-ngada pula Chinta ni. Kalau nak cerita, teruskan saja. Ikutkan hati tak nak layan, tak nak dengar cerita tapi paksakanlah juga diri. Konon-konon berminat hendak tahu walaupun hanya satu peratus keinginan untuk tahu sebab aku memang tak berapa suka campur tangan dengan hal orang lain. Nampak dari gaya percakapannya, memang pastilah dia akan bergosip.
“Hari itu si Linda kena tangkap basah.” Laju Chinta memberitahu. Kenyataannya membuat mulutku melopong. Bukan setakat aku, malah mulut Fatma dan Aida pun sudah terbuka. Lebih luas dari aku. Segerombolan lalat pun boleh masuk ke dalam mulut mereka. Cepat-cepat tanganku menutup mulutku sendiri. Begitu juga tindakan dua pendengar lain. Serentak mereka menutup mulut yang terlopong. Menjadikan mulut ke keadaan normal.
“Ha! Dengan siapa?” Laju soalan itu keluar dari bibirku. Cis, terberminat pula aku dengan gosip yang dibawa oleh Chinta.
“Dengan boyfriend dialah,” sambil membalas, Chinta mencebik geram.
Aku menggeleng mendengarnya. Nama sahaja budak universiti, ada ilmu tapi otak tak pula digunakan. Buat malu sahaja. Lebih baik lagi perkerja kilang yang tak pernah sekolah tapi pandai menjaga diri dan maruha.
“Sebenarnya bukan kena tangkap oleh mana-mana jabatan agama, tapi tuan rumah yang tangkap. Roomate dia pergi mengadu dekat tuan rumah. Tahulah Makcik Leha tu. Bukannya boleh berdiam diri kalau rumah sewanya tercemar. Dia pun serbulah rumah tu dengan suaminya. Bila dia masuk, tak jumpa pun lelaki. Tapi dia memang pernah ada nampak lelaki masuk rumah itu, jadi dia memang jangka, suspek ada di dalam rumah,” helaan nafas Chinta terhembus perlahan. Panjang tarikannya. Mengambil kembali oksigen yang semakin berkurang.
“Lepas tu apa jadi?” Fatma yang hanya mendengar dari tadi turut menyampuk. Aku pula menjadi tidak sabar untuk mengetahui keseluruhan cerita. Betul-betul jadi gosip panas.
“Dia masuk bilik Linda. Cari punya cari, jumpalah lelaki,” cerita Chinta membuat kami kembali melopong.
“Kamu tahu di mana dia dijumpa?” Soal Chinta. Satu-persatu wajah kami di pandang. Menagih jawapan.
Semua kami menggeleng. Manalah kami tahu di mana mamat tu dijumpai. Lagipun, kami malas nak meneka. Kalau Chinta bagitahu terus, tak payahlah kami nak penat-penat berfikir.
“Lelaki itu sembunyi di dalam almari baju. Mengerekot tanpa berbaju. Hee... geli telinga aku dengar. Boleh pula dia sembunyi di tempat tu. Perempuannya pula gatal nak mampus. Kalau dah kemaruk sangat, kahwin. Selamat dari dosa. Anytime boleh dapat tanpa ada rasa kesal,” Chinta sudah membebel marah.
Kami bertiga yang mendengar bertambah terlopong. Sungguh tidak sangka sampai begini sekali cerita yang dibawa Chinta.
Manusia terlalu leka dengan nikmat dunia yang hanya sementara. Takkanlah si Linda tak boleh fikir, mereka bukannya ada ikatan. Dia juga yang akan nangis tertonggeng-tonggeng kalau sudah ditinggalkan. Sekarang memanglah tiada kekesalan sebab keseronokan mengatasi segalanya.
“So macam mana?” perasaan inkuiri dalam dada Aida semakin meningkat. Betul-betul laku gosip yang dibawa oleh Chinta. Macam pisang goreng panas buatan Pak Berahim di hujung simpang taman yang selalu tak sempat kami beli disebabkan kehabisan stok.
“Pihak taman ni tak report pada HEP, sebab mereka tak nak masa depan Linda hancur. Kau tahulah, kalau dah sampai pada pihak atasan mesti si Linda kena buang. Tak boleh nak masuk mana-mana IPTA. Black list,” penerangan Chinta membuat aku menggeleng lemah.
Memang kami akui, kalau perkara ini sampai ke pihak atasan universiti, pasti masa depan Linda akan punah. Impiannya tidak akan menjadi kenyataan hanya kerana kesalahannya itu. Tapi dengan membuat tindakan mendiamkan diri begini, amat mustahil dapat penyelesaian. Aku cuma mampu berdoa semoga Linda mengambil iktibar dari apa yang berlaku dan tidak mengulanginya.
“Kalau aku yang tangkap memang aku report kat atas, malah aku repot kat Jabatan Agama Islam. Biar padan muka mereka. Bagi pengajaran sikit,” Aida sudah mengepal-gepal penumbuknya. Tidak berpuas hati dengan tindakan yang telah diambil. Tapi tindakan tersebut mempunyai implikasi positif dan negatif.
Nampaknya isu petang itu memang panas. Lama kami lepak bercerita di ruang tamu. Tika azan Maghrib kedengaran, cepat-cepat kami bersurai.
Sempat juga aku ajak Chinta dan yang lain agar datang ke rumah masa raya nanti, terutama semasa majlis tunang kakak aku. Chinta pun hairan juga, kenapa aku bersungguh ajak dia ke rumah sebab setahunya aku dengan Kastia lebih kurang macam tikus dengan kucing, tak boleh bersua.
Dia bukan tak tahu, kalau Kastia dah kahwin nanti, rumah tu aku yang conquer. Kemudian, kasih sayang daripada parents aku dapat sepenuhnya.
Chinta tidak memutuskan sama ada dapat datang atau tidak sebab keluarga mereka akan balik ke Kuala Terengganu, kampung halaman Daddy Chinta.

No comments:

Post a Comment

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)