Sunday, September 28, 2008

Lara Rindu 6

Bosannya. Hanya perkataan itu yang selalu bermain di mindaku buat saat ini. Memang bosan. Bosan tahap Ultraman yang dah tak ada lawan. Semua lawan dah berjaya dihapuskan, padahal tahap kuasa yang dimiliki saat ini sudah mencapai maksima. Sepuluh raksasa pun boleh tumpas dalam masa yang singkat.
Ini bukan Ultraman Nexus, Ultraman Taro, Ultraman Tiga atau Ultraman Max, tapi ultraman versi ciptaan sendiri. Adui, apa aku melalut ni. Ini semua disebabkan selalu tengok tv terutama pada hujung minggu.
Aku layan sahaja apa-apa cerita yang ada di tv. Tapi fokus lebih banyak ke Astro Ceria. Emak bising kalau aku tengok kartun. Dia suruh tukar siaran sebab dia cakap kartun tak memberi apa-apa erti. Aku buat tak layan sahaja. Aku tengok saja cerita kartun ni. Tom And Jerry pun aku layan walau aku tak suka sistem buli-membuli yang mesti ada dalam setiap episodnya.
Bukannya apa, kartun ni lebih elok ditengok, tak pakai emosi banyak sangat. Tak perlu sedia tisu atau air mata.
Paling seronok ketika musim cuti sekolah. Semua cerita untuk budak sekolah dikeluarkan dari hari Isnin sampai Ahad, dan aku adalah orang yang beruntung walaupun bukan bergelar budak sekolah. Aku boleh tumpangkan mata aku tengok kartun.
Nampak macam tak bosan saja harian aku ni. Tapi memang bosan. Duduk rumah pun rupanya bosan. Tapi kenapa tiap kali ada cuti semester aku mesti balik kampung sebelum ni?
Dah banyak tempat aku pergi interview, tapi setakat ini belum ada balasan panggilan. Walk-in internview pun dah pergi. Tapi penat saja aku jalan, tak dapat juga. Susah juga nak cari kerja sekarang. Ingatkan dah dapat ijazah ni, pekerjaanlah yang datang menghadap, rupanya sebaliknya. Kalau macam ni baik tak payah sambung belajar tinggi-tinggi kalau akhirnya nanti jadi petani atau pekerja kilang juga. Jiran kampung yang setakat UPSR pun dapat juga jadi supervisor kilang. Aku ni, nak jadi warga kilang pun tak dapat.
Habis saja konvo, terus balik kampung. Sekarang tengah tolong emak main jahit-jahit, tapi itupun tolong menyusahkan. Aku dah tolong, tapi jarum asyik patah saja, so kerja aku hanya masukkan benang ke jarum mesin jahit. Itupun bila mata emak dah kena masuk ICU. Dia tak suka pakai kaca mata. Leceh katanya. Sementara aku ada ni, akulah yang tukang masukkan benang ke jarum.
Emak memang tak berharap aku bantu seratus peratus, biasalah anak manja, dia takut jari anaknya ini kasar. Adakah aku terlampau perasan???
Selalu juga pergi kebun, konon-konon nak tolong ayah tebas rumput, tapi masuk saja kebun, aku tak tebas pun. Duduk dalam pondok, makan pisang. Ayah tak bising pun. Kiranya peranan aku dalam rumah taklah berat sangat, cuma makan bila lapar dan tak lapar, tidur sekurang-kurangnya dua belas jam sehari semalam. My time around the clock is very boring.
Maka sebab itu keberatan aku pun bertambah. Hari itu aku timbang dengan Kas masa dia pergi timbang berat badan. Aku yang sibuk timbang berat badan, takut tak muat baju yang dah emak jahit cukup-cukup untuk badan aku yang ramping ni.
Berlaku perubahan yang ketara. Oleh kerana tiada sebarang diet yang baik, maka berat badan aku bertambah lima kilo. Nangis tak berlagu aku. Chinta siap buat catwalk dengan baju kebaya dia yang memang serupa datin. Berkelip-kelip dengan pinggang dia dah macam kerengga.
Aku sedapkan hati aku sendiri. Aku bagitahu Chinta yang body dia macam penghuni-penghuni di Somalia yang tak cukup khasiat. Apalagi kenalah aku merasa kepit ketam dia yang memang berbisa. Kenangan itulah yang membuat aku sentiasa ketawa kala melayan angan bila bosan.
Kasturi sudah selamat menamatkan zaman bujangnya. Sekarang tengah ulang-alik antara rumah ni dengan rumah mentua. Hanya selang beberapa buah rumah sahaja. Lepas ni kalau raya, tak payah susah-susah nak gaduh balik rumah mana.
Selalu tu aku tengok di dalam tv, benda remeh pun, nak pilih balik rumah mana sampai boleh gaduh suami-isteri. Last-last beraya di rumah sendiri. Padan muka. Pengajaran buatku, kena cari orang yang dekat dengan rumahku, tak payah susah buat dua majlis, tak payah pilih nak balik mana, kalau nak buat rumah sendiri pun, buat saja di dalam kampung ni.
Inilah yang orang katakan katak di bawah lembayung bunga teratai. Tak pindah pergi kolam lain lagi walaupun di kolam tempat dia tinggal tu dah kering kontang.
Teringat pula pasal calon sebelah rumah ni. Dengan tak semena-mena, terlakarlah nama Iskandar. Iskandar ni pun masalah juga. Dia akan balik dari Korea dalam beberapa waktu lagi tapi tak tahu bila.
Hari tu dia cakap, kami akan sama-sama habis universiti tahun ini, tapi tak nampak pun batang hidung dia di kampung ni. Biasanya dia akan jadi ekor Abang Leman. Sentiasa bertandang ke rumah bila Abang Leman ada. Mungkin dia kerja di sana atau dah balik ke Malaysia. Aku pun tak tahu. Dia dah tak hubungiku lagi.
Kali terakhir perhubungan kami adalah saat akhir selepas aku bertarung dengan peperiksaan. Hari tu dia dah buat jantungku berdegup tidak pada paras normal. Dia lamar aku dalam telefon.
Serius.
Mulanya aku tak percaya tapi kena percaya juga sebab dia bersungguh-sungguh tegakkan perkara itu. Maknanya betullah tu. Siap bagitahu pada ayah aku jangan pass aku pada teruna lain. Dia ingat aku ni apa. Main pass-pass pula.
Tapi aku celaru juga dengan lamarannya. Aku bukannya tak suka dia, suka tapi suka setakat kawan. Tak lebih dari itu. Aku anggap dia macam kawan lelaki aku yang lain. Bezanya dia adalah teman suka dan dukaku. Setakat ini perasaan sayang memang tidak ada untuk insan yang bernama Iskandar.
Sememangnya perasaan itu tidak aku semai sekarang. Tidak mahu mengundang zina. Lagipun akan mengundang pelbagai masalah. Mana nak top up telefon and then call dia. Sama-sama habis duit untuk benda yang belum pasti. Konon-konon, saat manis percintaan. Lagipun aku nak elak berlakunya sesuatu yang tak diingini. Selalu berbual akan mengundang zina, lepas tu ada perasaan cemburu lagi, aku tak tahu dia buat apa di sana. Aku di sini hanya akan dikhabarkan melalui kata yang selalunya tak pasti betul atau tidak. So, perasaan sayang akan tersemai dengan sendirinya dalam keadaan yang menghalalkan kami nanti kalau dia benar-benar serius dengan lamarannya. Aku tidaklah terlalu mengharap.
Cerita pasal Khairul pula lain dari yang lain. Hari tu berjanji sakan tak akan ganggu aku selepas dapat mesej dia. Tapi makin galak pula dia kacau aku. Lepas kuliah, mesti nak pergi makan sama, sampai aku rimas.
Aku dah berkali-kali bagitahu dia pasal isi hati aku. Tapi dia jenis yang tak faham bahasa. Siap aku tunjukkan lagi sms yang dia hantar sebelumnya, kononnya nak serius lepas habis belajar, belum pun sehari, janjinya goyah untuk tidak mengacau aku.
Paling aku terkejut, bukan setakat aku, semua budak kelas aku pun sama-sama terlopong. Apa taknya, masa malam perpisahan terakhir selepas graduation, dia bawa pasangan dan memperkenalkannya sebagai tunangnya. Dia betul-betul tanam tebu di pinggir bibir...
Bersemangat saja berjanji, tapi tak ditepati langsung. Tapi aku tak kisah, aku doakan dia bahagia dengan tunangnya. Siap aku menjemputkan diri aku lagi untuk majlis mereka yang bakal berlangsung. Kami masih macam dulu, masih berkawan.

------------------------------------------------------------------------------------

Pusing kiri, nampak sofa yang berwarna coklat, sama warna dengan lantai dan dinding rumah. Kalau ada Aida, mesti dia akan panggil rumahku ini rumah koko. Semua berwarna koko. Orang dari sebelah timur akan menyebut warna coklat sebagai warna koko.
Di suatu sudut pula terletak elok mesin jahit emak. Memang dikhususkan di sudut tepi. Bukannya besar pun ruang tamu rumah aku ni. Hanya dihiasi dua buah almari hiasa dan beberapa kabinet rendah. Di sebelah sofa pula terdapat meja kecil yang menempatkan telefon.
Inilah kerja aku untuk beberapa hari. Menghafal kedudukan rumah setelah khatam aku hafal rancangan tv.
Sekarang ni aku tengah pening. Kepala dah serabut. Minggu depan, Chinta nak kahwin. Cepat saja dia ni nak berumahrangga. Tak sabar langsung. Katanya, dia nak lumba dengan Kas, siapa dulu yang akan dapat anak. Tak senonoh langsung. Ingat nak dapat anak tu macam beli ikan di pasarkah?. Cakap pula depan aku, saja nak bagi suhu aku naik sikit.
Boleh pula mereka nak suruh aku yang jadi baby sitter kalau mereka dah ada anak. Semua ini disebabkan anggur yang kutanam-tanam tak tumbuh sebab di tanam di tanah tandus.
Resume atau sebarang kelulusan tak diperlukan untuk jadi baby sitter mereka. Siap bagi gaji lumayan lagi. Kalau jaga untuk sejam dua, boleh juga, tapi kalau untuk dua puluh empat jam, aku tak sanggup.
Awal-awal lagi aku tolak lamaran kerja mereka. Sia-sialah aku sekolah dari darjah satu sampai keluar universiti kalau semata-mata nak jadi tukang jaga budak!
Nak bagi hadiah apalah dekat cik seorang ni. Dahlah aku tak kerja. Pernahlah dulu dia cakap kalau dia kahwin, dia cuma nak pakej bulan madu dari aku. Ingat benda tu boleh dapat dengan petik jari sajakah?
Susah-susah, aku buatkan saja pakej bulan madu di rumah aku ni. Kas pun dulu bulan madu di rumah ni juga.
Emak pula suruh rakam semua cerita yang ada di saluran Astro Ceria. Aku tanya untuk apa? Dia kata simpan dalam CD, bagi hadiah pada Chinta. Adakah patut?
Emak ingat Chinta layan dengan benda-benda ni. Kalau bagi pada anak dia yang seorang ni, logiklah. Kata abah, sebenarnya emak sindir aku. Apa tidaknya, sepanjang aku berada di rumah, selain berulang-alik ke rumah Kas, tempat utama aku landing adalah depan tv.
Aku yang menguasai tv. Kalau abah atau emak nak tengok tv, selalunya mereka mengalah dan join sama aku tengok Astro Ceria, termasuk Tom-Tom Bak, Untuk Kita Aje. Kalau mereka nak tengok tv pilihan sendiri, kena tunggu sampai aku merantau ke rumah kakak aku, tapi biasanya sekejap saja atau semasa mataku dah tak boleh nak buka. Asyik nak tidur sahaja. Masa tu barulah emak dan ayah berpeluang untuk pegang remote control.
Emak selalu cadangkan agar aku tidur di rumah Kas. Tapi biasanya aku tak tidur di sana. Sekadar melakukan lawatan sosial. Tak naklah aku mengganggu saat berdua mereka. Selalunya lepak di rumah Kas sekejap. Sejam dua saja. Itu pun aku pecutkan motor abah ke sana.
Merekakan masih pengantin baru, need more time. Macam orang dah ada pengalaman pula aku ni. Inilah yang selalu aku dengar dari orang, kalau orang baru kahwin sentiasa nak bersama macam dah tak cukup hari. Aku pun tak tahu, nanti aku dah kahwin, barulah aku tahu sendiri.
Selepas kahwin, Abang Lemon buat rumah sendiri di kampung ni juga. Dekat dengan tempat kerjanya dan dekat dengan sekolah Kasturi. Lagipun semua orang menyokong. Bukannya apa, kata orang tak berapa baik kalau tinggal dengan keluarga mertua. Aku pun tak tahu sangat bab-bab macam ni. Aku cuma menjenguk rumah mereka sekali-sekala. Itupun kala bosan dah tahap Fidodido ataupun meletus perang dingin antara aku dengan emak sebab emak tak nak buatkan aku puding coklat kegemaranku. Aku lepak rumah mereka pun bosan juga. Tak buat apa-apa.
“Huuh...” Tidak sedar keluhan dari bibirku begitu kuat, membuatkan emak menoleh memandangku.
“Kenapa mengeluh macam kuda ni. Tak baguslah anak dara buat macam tu,” emak menggeleng.
“Penatlah mak,” aku memusing-musingkan badan.
Kononnya penat macam dah buat larian seratus meter, walhal duduk melangut depan tv sahaja sehari semalam. Jadual harian yang tiada perubahan.
“Kalau penat pun janganlah mendengus macam tu. Malu dengan orang. Nanti kalau ada laki ni, mesti lari menjauh,” aku mencebik mendengar celoteh emak.
Kuih kacang atau kuih kasturi yang ada di atas meja aku makan. Aku selalu suruh mak buat kuih ni sebab aku suka, lagi satu aku akan cakap pada Kas aku makan dia sebab nama mereka sama. Entah kenapalah emak pilih nama Kasturi ni. Tak seronok langsung, nama kuih pun ada, nama limau pun ada. Berkongsi nama dengan benda-benda sekeliling. Tak ada kelas langsung. Aku mencebik dalam hati. Padahal nama aku sendiri pun aku tak tahu apa maksudnya.
Aku sampai hafal macam mana nak buat kuih kasturi ni sebab aku suka nak kenakan Kasturi. Mudah saja untuk membuat kuih ini, hanya perlukan kacang hijau dan tepung. Kacang hijau direbuskan sehingga pecah, lembut dan kering airnya. Kalau nak sedap, masukkan kelapa. Selepas itu, gula dan tepung gandum. Gaul sebati dan sejukkan. Ambil sedikit adunan dan bentukkan seperti bebola. Leperkan. Masukkan kacang ke dalam bancuhan tepung kemudian goreng. Senang dan sedap.
“Makan saja yang kamu ingat. Tak bosankah?” soalan yang paling susah dikeluarkan emak. Sampai aku tergaru-garu kepala untuk memberi jawapan yang baik pada soalan tersebut.
“Makan pun boleh bosankah?” akhirnya pertanyaan juga kulontarkan balik setelah tidak menemui jawapan yang bersesuaian.
“Itulah emak nak tanya kamu. Lagipun kamu tak perasankah badan kamu dah jadi macam tong beras?” tak beriak ayat itu terlontar dari bibir emak.
“Emak...” laju teriakanaku memecah rumah bila emak sudah berkata begitu.
“Mak, betulkah Tia dah gemuk?” risau juga dengan fakta baru yang kudengar. Kalau aku, memang tak akan perasan perubahan pada tubuhku. Gemuk atau kurus, bagiku tiada perubahan langsung.
“Gaya macam orang nak obesiti nak tanya lagikah?” betul-betul kenyataan yang membuat seluruh urat sarafku bergetar hebat. Terkejut.
“Mak biar betul,” nada risau yang mencengkam sanubari sudah tidak terbendung. Terluah tanpa ada sekatan.
“Betullah,” ujaran emak membuat aku terkelu. Betulkah?
“Mak memang sengajakan. Nak suruh Tia berhenti makan supaya makanan di rumah tak kurang. Yalah. Tia sedar, Tia langsung tak bagi apa-apa belanja selama duduk dalam rumah ni. Goyang kaki depan tv saja,” nada berkeci hati sudah terluah.
Emak tergelak kecil mendengar keluhanku. Dia datang menghampiriku. Duduk rapat di sisiku. Sebelum ini, dia duduk bertentangan dengan sofa yang sedang aku duduki.
“Ish.. ish, anak emak ni. Merajuk pula. Baru mak kata gemuk, kamu dah keluarkanlah fakta-fakta pelik. Kalau emak cakap benda lain, pasti kamu kata emak ni gila meroyan ya. Emak tak kisahlah, emak lagi suka kalau anak-anak emak tak sekat pemakanannya. Makan apa sahaja yang ada. Selagi ada rezeki di depan mata, kita patut hargai, syukuri nikmat yang ada. Jangan membazir,” panjang ceramah emak. Kepalaku diusap perlahan. Aku acah saja tadi, nak bermanja dengan emak.
Aku tersengih. Ternyata taktikku menjadi.
“Lepas ini kita buat kuih lapis coklat pula ya,” aku meminta perlahan. Memegang tangan emak erat. Reaksi yang memang biasa kulakukan bila menginginkan sesuatu daripada seseorang.
Memang kuakui nafsu makan semenjak menjadi tukang jaga rumah ni sentiasa hendak makan. Makin berselera pula. Apalagi setiap keinginan yang kusuarakan kepada emak, pasti emak akan tunaikan. Sanggup tengah hari panas-panas pergi ambil daun pandan semata-mata nak buat cendol.
“Boleh saja. Asalkan kamu tak kisah kalau sofa ni patah sebab tak dapat nak tampung berat badan kamu,” selesai emak berbicara tanpa riak pada nadanya, dia bangun menjauh dariku.
“Emak...” sekali lagi teriakan bergema di rumah Pak Mud.

------------------------------------------------------------------------------------

Kehidupan kita penuh dengan rahmat. Banyak kurniaan yang telah diberikan. Bergantung pada diri individu untuk mensyukurinya. Jika ada kesempatan, kita akan mencari rezeki untuk memastikan perut tidak berlapar.
Berbeza dengan burung, pagi-pagi sebelum subuh sudah bergerak-gerak melaksanakan pemanasan. Sayap yang banyak fungsinya dikepak-kepakkan. Setelah penglihatan mereka berfungsi kerana adanya cahaya matahari, mereka tanpa khuatir tidak mendapatkan makanan, tidak bersarapan terbang entah kemana, bersamaan membukanya mata anak-anaknya. Dalam waktu yang singkat, burung kembali dengan menyepit makanan diparuhnya.
Sungguh menyentuh kalbu apabila mata menyapa pemandangan indah dari burung ketika membahagi makanan untuk anak-anaknya dengan adil dan bijaksana. Selesai memberi makanan dan tanpa berehat, dia terbang lagi dan kembali menyepit makanan ke sarangnya. Entah berapa kali dan sampai bila burung menjalani hari-harinya seperti itu.
Burung juga tidak pernah merasakan kepenatan dan tidak pernah ada keluhan, yang penting burung menjalani kehidupan tanpa perlu disanjung, dipuji bahkan mengharapkan ganti diteladani anaknya kelak. Yang penting bagi burung adalah nyawa anak-anaknya. Hinggakan mereka mampu menjadi burung selayaknya seperti burung yang lain.
Semua alam apabila kita perhatikan merupakan suatu keindahan bagi kita yang diciptakan oleh Tuhan yang Maha Kuasa. Keindahan ini memang sangat berharga apabila manusia dapat meniru mereka dalam mencari makanan.
Manusia harus bekerja keras memecah tembok di hadapan untuk mendapatkan makanan. Rezeki yang dicari bukan hanya untuk diri sendiri. Sedekahkan rezeki kepada anak, saudara dan jiran tetangga yang masih kekurangan. Sebaik-baiknya adalah makanan untuk keperluan sahaja, jangan terlalu kenyang kerana itu adalah teladan yang telah diberikan rasul kepada manusia. Sisa makanan yang tidak mampu kita habiskan, diberikan kepada mereka yang kekurangan.
Ish, nyamuk ni. Betullah. Kacau daun. Aku sudah menggaru lenganku yang berbintat. Gigitan cinta yang ditinggalkan oleh nyamuk. Mengacau betul! Aku tengah syok mengelamun ni. Masa ni jugalah nyamuk nak datang gigit aku. Aku memang pemurah, tapi bukan pemurah pada nyamuk. Tak sanggup aku nak derma darah pada nyamuk-nyamuk ni. Kalau ada peluang, pasti laju tanganku memukul nyamuk yang singgah ditubuhku. Biar mereka mati.
"Ini apa cerita pula, anak dara bangun awal, pengantin basi tak bangun lagi,” sapaan emak mengejutkan aku seketika.
Aku mengalihkan tubuh yang sedang santai di atas pangkin bawah pokok mangga. Memandang ibu yang tercinta. Rutin yang sudah lama aku tinggalkan. Berkampung di bawah pokok sambil melakar impian.
“Tengah cari ilham ni mak, nak susun jadual untuk hari ini. Pagi-pagi begini, ilham mudah datang,” balasku.
Emak hanya memandangku sekilas sambil masuk ke dalam rumah. Di tangannya terdapat beberapa batang serai yang baru diambil di sebelah rumah.
Hujung minggu begini, anak menantu emak datang ke rumah, mesti nak makan istimewa sikit. Aku juga yang untung, dapat tumpang sekali makan sedap. Dulu, kalau aku cuti semester, baru emak masak yang sedap-sedap. Kini disebabkan aku tercongok hari-hari depan emak, jarang dah merasa makanan yang istimewa kalau tak diminta, atau kena tunggu orang datang ke rumah barulah dapat makanan istimewa sikit.
Pandanganku kembali ke sarang burung tadi. Ibu burung murai sudah terbang kembali. Pasti pergi lagi mencari makanan setelah melihat anaknya masih berkehendakkan makanan. Tidak pernah mengenal erti penat. Beza dengan manusia. Kadang-kadang, terdapat juga anak-anak yang masih terbiar tanpa jagaan yang rapi daripada ibu bapa.
“Itu bukan cari ilham, derma darah adalah. Pagi-pagi begini, banyak nyamuk di luar tu,” emak sudah masuk ke pintu dapur.
“Biarlah mak. Dah lama tak derma darah,” aku tersengih memandang emak.
“Kamu ni, ada saja jawapannya. Dah, mari masuk tolong emak masak nasi lemak kukus,” pelawa emak.
Sedapnya nasi lemak kukus. Pagi-pagi dah kecur air liur dengar menu sarapan yang hendak disediakan emak.
Entah kenapa, selepas subuh tadi aku sudah tidak mengantuk untuk menyambung lena semula. Terus mengambil selipar Jepun dan mengheret kaki ke luar rumah. Melepaskan ayam-ayam di reban sambil memberi makan dengan lebihan nasi semalam. Kemudian aku sambung angan-angan di atas pangkin sambil melihat saujana kehijauan di desaku yang tercinta. Mata pula terpana memandang ke atas sebuah sarang burung murai yang ada di atas pokok. Langsung tak menghiraukan kehidupan lain yang ada di sekeliling mereka. Hanya dunia mereka sendiri. Tidak pula burung-burung ini mencari tempat lain walaupun ada kehidupan manusia di samping mereka. Tidak takut untuk diceroboh.
Kasturi dan Abang Leman datang semalam. Sekarang terasa janggal sedikit sebab ada lelaki lain dalam rumah ini. Orang yang bukan muhrimku. Memakai pakaian yang menutup aurat untuk setiap pergerakannku dalam rumah kecuali dalam bilik. Keadaan ini sedikit sebanyak mengubah penampilanku untuk sentiasa mengenakan tudung keluar sahaja dari bilik. Sebelum ini, aku begitu bebas bergerak untuk ke segenap ruang dalam rumah tanpa mengenakan tudung. Kini aku sedar, Abang Leman adalah abang iparku. Tidak boleh untukku mendedahkan aurat kepadanya.
Kakiku begitu lurus mengikuti langkah emak ke dapur. Emak sedang menggoreng sambal tumis di kuali. Bahan-bahan lain untuk memasak nasi lemak kukus nampaknya sudah tersedia.
“Tia nak tolong apa ni? Semua dah siap. Tolong makan sajalah,” ujarku sambil menarik kerusi yang ada di dapur.
“Dari tadi emak ajak tolong, kamu duduk juga di luar tu lama-lama. Sampai semua dah siap baru kamu nak masuk,” emak memandang aku sekilas sebelum mengacau sambal di atas kuali.
“Tia memang sengaja,” aku tersengih. Adalah dalam setengah jam aku lepak di atas pangkin sebelum masuk ke dalam rumah.
“Pagi,” suara serak Kas menyapa telinga kami. Aku nampak dia sudah menuju ke bilik mandi dengan tuala tersandang di bahu.
“Kamu ni, tak berubah langsung. Sudah kahwin tu patutnya bangunlah pagi-pagi. Siapkan sarapan pagi untuk laki kamu. Ini, suami dulu yang bangun baru kamu. Entah bangun subuh atau tidak,” terkena das tembakan Kasturi pagi-pagi. Ceramah merangkap sarapan pagi yang mengenyangkan.
“Bangunlah. Tadi sama-sama bangun dengan abang,” terhenti sebentar langkahnya yang baru hendak masuk ke bilik mandi. Dia menoleh sekejap ke arah emak sebelum masuk ke dalam bilik air.
Aku hanya senyap. Subuh tadi ayah dan Abang Leman pergi jemaah di masjid. Entah bila mereka nak balik. Pasti singgah di mana-mana tempat sebelum balik ke rumah. Aku juga sedar Kasturi ada bangun subuh tadi. Kalau dia bangun memang kecoh sikit rumah ini. Emak saja menyakat anaknya pagi-pagi begini. Emak sendiri yang mengejutkan pasangan itu untuk bangun solat.
“Entah macam manalah Kasturi ni nak berubah. Tak pernahnya nak bangun awal-awal pagi. Dah jadi isteri orang pun, tabiat masih macam tu. Ada anak nanti, harap-haraplah ada perubahan,” keluhan emak membuat aku kembali ke alam nyata. Berpaling mamandang wajah tua itu.
Aku hanya memandang emak menyambung kerjanya. Selepas beberapa minit, sambal itu dialihkan dari kuali. Sudah sedia untuk dimakan. Aku bangun menuju ke kabinet. Jag air aku ambil dan bersedia untuk membancuh air. Pagi-pagi macam ni memang sedap pekena teh tarik.

No comments:

Post a Comment

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)