Sunday, August 15, 2010

kasih tercipta-1

Bila terkenangkan Bonda, secara tidak sengaja keluhan terkeluar dari bibirnya. Berat sungguh hatinya. Jiwa kacau.

Umairah termenung lagi. Satu tabiat yang baru tercipta ke dalam dirinya. Sikap ini seakan sudah sebati dengan dirinya sejak beberapa hari ini. Bila dia sendiri, secara tidak langsung dia akan membuka lembaran hobi baru. Termenung. Nak cakap dia baru lepas makan ikan termenung, tak juga. Sudah beberapa hari dia tidak ke pasar membeli ikan termenung. Hmmm, rindu pula nak makan ikan termenung bakar cicah asam jawa. Sedapnya.

Permintaan Bonda kali ini baginya sesuatu yang amat berat. Dia masih muda. Belum terfikir untuk mengenal erti rumahtangga. Masih ingin hidup bebas tanpa terikat dalam mana-mana beban yang tercipta buat masa ini. Dia masih ingin seperti teman-temannya, Hasanah, Fadhilah atau Khairunnisa. Mereka masih solo. Bersendiri. Sedang berseronok menghadapi zaman sendirian. Hanya ada keluarga dan teman-teman sebagai peneman hidup. Tidak dihampiri oleh mana-mana lelaki ajnabi. Mereka adalah muslimah yang amat menjaga kehormatan dan pergaulan.

Tidak seperti wanita zaman sekarang. Keluar berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrim. Hanya berdua. Sesungguhnya mereka tahu, antara dua orang anak Adam yang bukan muhrim, akan ada yang ketiga. Siapa lagi kalau bukan musuh nombor satu manusia, syaitan yang direjam. Fenomena yang biasa dilihat berdasarkan kajian, setiap penghujung tahun, tidak akan lari dari media massa menyebarkan berita anak kena buang, janin digugurkan dan sebagainya. Semuanya disebabkan kelekaan manusia untuk duniawi. Mereka menyambut Tahun Baru Masihi dan Valentine Day secara berdua ditambah aktiviti sampingan yang sungguh menjijikkan.

Panjang lamunan Umairah. Mengenangkan anak muda sekarang yang sudah tidak kenal dosa pahala. Bangga mengumpul dosa. Mencanangkan ke seluruh dunia, seronok ada banyak pahala. Manusia. Manusia. Umairah menggelengkan kepala. Kenapa jadi sebegini. Umairah bersyukur. Dia masih di landasan yang benar. Ya Allah aku mohon pada-Mu, jangan Kau pesongkan jalanku. Biar matiku pada jalan-Mu. Ngeri memikirkan adanya manusia yang pada akhir hayatnya bukan pada jalan Allah. Akidah terpesong. Nauzubillah. Mohon Kau jauhkan dariku ya Allah.

Aduhai... panjang pula edisi termenung kali ini. Hai Umairah, sudah jauh kau melalut ni! Jom, kembali ke alam nyata. Umairah tersenyum. Bicara hati untuk mengingatkan diri agar terjaga.

Tiba-tiba matanya di sapa dengan sepasang burung yang sedang membawa sehelai daun kering. Mahu dibuat apa dengan daun kering itu? Persoalan itu hanya ada jawapan pada burung itu. Tapi mustahil untuk Umairah tahu tujuannya sebab burung tidak pandai bicara. Hanya beraksi. Tunggu saja hasilnya nanti. Tidak perlu disusahkan minda untuk berfikir sebab sekarang ni mindanya sedang diperlukan untuk memikirkan perkara yang lebih penting.

Umairah masih di situ. Setia berteleku di tepi tingkap. Masih memikirkan permintaan Bonda. Ingin ditolak, dia tidak mahu mengecewakan Bonda. Sesungguhnya Bonda adalah insan yang banyak berjasa padanya. Mengambil dia yang yatim piatu dari perumahan anak-anak yatim. Memelihara dia sehingga dewasa. Sayu sungguh perjalanan sejarah hidupnya. Hidup terbuang. Bukan dibuang, tapi sebatang kara. Tiada tempat untuk berteduh. Ibunya meninggal semasa melahirkannya. Hanya kenal nama insan yang melahirkannya melalui sijil lahir yang ditinggalkan di rumah Sakinah. Rumah yang menempatkan insan-insan sepertinya. Tidak mempunyai ayah dan ibu. Ayahnya telah pergi sebelum itu. Meninggal semasa mencari rezeki di lautan luas. Perahu di lambung ombak, karam di lautan. Hanya jasad yang tidak bernyawa kembali ke darat. Itupun dia tahu melalui cerita Ibu Su. Ibu penjaga rumah Sakinah. Kata Ibu Su, orang kampung yang menceritakan semuanya. Dia diambil di hospital tempat kelahirannya. Tiada yang menuntut dirinya setelah beberapa hari kelahirannya. Hanya menghirup susu ciptaan manusia untuk mengenyangkan perutnya. Tidak berkesempatan untuk menghisap puting susu ibu kandungnya.

No comments:

Post a Comment

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)