Monday, August 15, 2011

Betulkah? (SE)


salam ramadhan


Di suatu tempat, sekumpulan manusia sedang sibuk membaik pulih tempat mereka yang baru diserang oleh penceroboh. Tempat itu kembali kecoh. Ketenangan memang tidak pernah akan ada. Keamanan yang sentiasa disuarakan tidak pernah dikecapi.

Habis peralatan bertaburan di atas lantai. Tali-tali khemah ada yang tercabut. Helaian kain yang menjadi penghadang, habis koyak-rabak. Bekalan makanan dan minuman bersepah keluar dari kotak-kotak. Beberapa harta benda yang kejap dijaga sudah dilarikan oleh penceroboh.

Beberapa lelaki yang berpakaian seragam berpusu-pusu keluar masuk ke kawasan itu. Anggota tentera yang memegang senjata berjaga-jaga di sekitar kawasan. Mata mereka bagai helang yang bersedia menerkam mangsa. Sekali pergerakan, spontan mata akan beralih arah. Tangan sentiasa bersedia. Sebarang serangan, pasti akan dibalas.

Pegawai perubatan keluar masuk dari khemah utama. Tidak sangka tempat itu diserang lagi. Malah, serangan kali ini amat memilukan. Meninggalkan luka yang amat dalam. Membuat semua anggotanya sengsara. Memberi impak yang sangat memeritkan. Tangisan tak mengenal erti berhenti. Laju saja air mata mengalir.

Di suatu sudut, seorang wanita masih setia memandang matahari. Tangisannya juga tidak pernah berhenti. Dia tidak berganjak dari tempat itu. Sudah berjam-jam dia di situ.

“Bersabarlah.”

Perkataan itu langsung tidak memberi kesan kepadanya. Dirasakan perkataan itu hanya desiran angin lalu.

Beberapa wanita dan lelaki silih berganti mengajak wanita itu beredar dari situ. Mengharap agar wanita itu beralih dari situ dan mencari tempat yang lebih selesa untuk merehatkan diri.

Namun wanita itu masih setia di situ. Merenung matahari yang akan surut tidak lama lagi. Sinarnya akan berlabuh sebentar lagi. Entah ada atau tidak bulan yang akan memberi cahaya.

Tapi dia tahu, bulan sentiasa ada untuk menyinarkan nurnya tidak kira siang atau malam. Selalu ada. Cumanya ia menjadi cahaya minoriti bila bersaing dengan sang bola besar. Mentari hanya akan bersinar untuk mewujudkan suasana siang hari.

Matanya merah. Pipinya terdapat beberapa kesan lebam. Kaki dan tangannya sudah calar-balar. Pakaiannya koyak. Hanya ada selimut yang menutupi seluruh tubuhnya sekarang. Itupun dipakaikan oleh seorang pembantu perubatan. Orang pertama yang menemuinya.

Sudah beberapa orang wanita yang datang ke sisinya dihalau. Tidak tegar dia melihat mereka menghampirinya. Pujukan mereka langsung tidak terkesan di hatinya. Langsung tidak mengubah rentak tangisannya.

Tangannya begitu mudah menolak sesiapa sahaja yang datang menghampirinya. Tidak dibenar menyentuh tubuhnya.

Fobia!

Biarpun dia sudah kehabisan tenaga, namun dia berusaha juga untuk menghalau sesiapa saja yang mendekat padanya. Sungguh dia tak sanggup berdepan dengan mereka.

Pegawai perubatan yang membawa beberapa peralatan perubatan juga sudah dihalau. Pegawai yang mahu membersihkan dan mengubat lukanya itu hanya mampu memandang sayu wanita yang berselubung memandang tinggi ke awan. Peralatan yang dibawa bersama jatuh bertaburan. Bekas iodin dan kapas habis bersepai di atas tanah.

Wanita itu hanya merenung permukaan tanah yang sudah bertukar warna. Daripada coklat kepada ungu. Langsung tiada perasaan dia memandang semua itu. Tiada perasaan dia melihat bekas iodin itu tertumpah. Padahal sebelum ini, dialah manusia yang paling berjimat. Setitik pun ubat-ubatan tidak akan dibiarkan hilang dengan sia-sia. Tidak betah dia untuk membazir. Pasti akan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Dia mendongak memandang ke langit.

“Ya Allah, pada-MU aku meminta. Kau kuatkanlah semangatku untuk menjalani hidup ini. Biarpun tiada sinar padaku, aku sentiasa berharap agar KAU tidak sirnakan sinar-MU untukku.” Doa itu dititip untuk diri sendiri.

Saat ini dia tidak punya kekuatan diri. Lemah-selemahnya. Kalau boleh, dia mahu katupkan matanya untuk selama-lamanya. Namun, dia masih lagi di sini. Masih bernafas lagi. Andai saja imannya lemah, mungkin dia sendiri akan gali kuburnya untuk menanam jasadnya yang masih bernyawa.

Duduknya diperbetulkan. Lenguh. Baru sebentar tadi bibirnya mengucap kalimah ALLAH kembali. Itupun setelah seorang wanita memberikannya sehelai selendang. Menutup mahkotanya menggantikan selimut. Kalimah-kalimah ALLAH bersilih ganti membasahi lidahnya. Masih seiringan dengan deraian air mata.

Hanya satu yang dia mahu saat ini. Ketenangan.

Duduknya di sini adalah untuk memperbetulkan emosinya yang bercelaru, menghilangkan fikirannya yang berselirat dan mendamaikan kembali jiwanya yang sedang kacau-bilau.

Dia hampir patah hati untuk hidup. Semangat untuk membantu langsung tiada. Terbang bersama apa yang baru dia hilang. Barangnya yang sangat berharga sudah tidak lagi menjadi miliknya. Apa yang dipertahan dengan sebaiknya selama ini begitu mudah dicuri orang.

Ekoran itu, dia hilang diri. Saat ini dirinya tidak punya perasaan. Emosinya sudah tiada. Fizikalnya saja yang masih di sini sedangkan dia langsung tidak mempunyai rasa saat ini.

Dia tidak punya kekuatan untuk berdepan dengan alam ini. Telinganya masih mendengar tangisan. Dia juga mendengar tangisan beberapa wanita di sudut kirinya. Lima langkah darinya. Wanita yang menangis kerananya. Namun dia buat tidak peduli. Dibiarkan mereka menangis. Tidak mampu untuk memujuk kerana saat ini dia juga belum mampu untuk menghentikan tangisannya sendiri. Dia sendiri tidak berjaya untuk memujuk dirinya sendiri.

Beberapa orang menggeleng sayu melihat dia. Riak sedih terpamer dalam wajah masing-masing. Kudrat mereka tidak mampu untuk mengembalikan segalanya kembali ke normal. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Sesungguhnya ujian ALLAH tidak pernah putus pada setiap hamba-NYA. Sayang DIA tidak pernah ada penghujungnya.

1 comment:

  1. nnti smbg lg ye..
    buat part 2 la..
    hikhikhik

    ReplyDelete

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)