Tuesday, July 26, 2011

Betulkah??? 14

Ketukan pada awalnya perlahan tidak memberi kesan kepada Mawarni. Malah dia tidak sedar langsung. Hanya pada ketukan yang kuat dan bertalu-talu yang membuatkan dia tersedar dari lena yang sekejap. Mangkuk betul!

Mulanya dia tidak memulas tombol pintu, tapi tombol almari. Biasalah, dalam keadaan mamai macam tu, otak pun belum berfungsi sepenuhnya. Masih tidur juga. Apa sahaja yang ada tombol, cepat saja tangan capai. Bila dirasakan sudah dapat apa yang dia nak, laju tangannya membuka pintu.

“Nak apa?” tanya Mawarni ganas.

Mata masih dalam keadaan terbuka-tertutup. Pedih. Sinaran cahaya belum serasi dengan kornea matanya. Entah kenapa ada juga orang yang tidak prihatin padanya, sanggup mengacau tidurnya.

Usai membuka pintu, laju dia menuju ke katilnya semula.

Tanya tapi tiada balasan. Malas nak tunggu. Mungkin Awisy yang hendak mengambil komik Naruto terbaru yang dibelinya semalam. Awisy ni, tak pandai sabar sungguh.

“Hai makcik!” Sapaan itu langsung tak mengubah minda Mawarni. Masih mahu meneruskan aktivitinya.

“Woi makcik. Matahari dah terpacak atas kepala pun masih tidurkah?”

Sergahan suara itu membuat Mawarni terkejut. Dia yang baru hendak memanjat naik ke atas katil jadi hairan seketika. Selimut yang sudah dicapai untuk menyelubung semula tubuhnya jadi kaku seketika. Niat nak sambung tidur balik terhenti serta-merta. Matanya terkebil-kebil. Mindanya masih dalam keadaan terkejut.

Setahunya, tidak ada ahli keluarganya yang mempunyai suara seperti peserta Akademi Fantasia yang tersingkir pada sesi ujibakat. Matanya dibuka luas-luas. Tubuh dipusingkan menghadap pintu. Mencari arah suara yang menegurnya tadi.

Tertuju matanya kepada seorang manusia yang begitu santai sedang bersandar di pintu biliknya. Lelaki yang memakai t-shirt warna oren dipadankan dengan seluar warna hitam sedang enak merenungnya.

“Dah lama aku kejutkan. Tapi tak terkejut-kejut pun.” Suara lelaki itu kembali bergema di ruang bilik.

Mawarni masih berusaha nak fokuskan pandangan mata. Aduhai, kenapalah saat-saat macam ni pula tahi mata beroperasi dengan baik. Sedap pula digam pelupuk mata. Sampai sukar nak buka mata. Tak jelas lagi siapakah gerangan yang sedang menyapanya.

“Anak dara siapalah ni? Kalau lelaki tahu, mesti tak laku ni. Jual kat pasar, 50 sen seikat pun mesti tak ada orang yang nak.”

Farhan yang tersembul di muka pintu dah sembunyi senyum. Menggeleng dia melihat gerangan sahabat yang laju langkahan kaki menuju ke katil. Ingin sambung tidurlah tu!

“Farhan Bin Farid. Keluar sekarang,” teriakan secara spontan keluar dari mulut Mawarni.

Punyalah lama dia nak nak cam siapa orangnya. Bila mata tak berfungsi dengan baik, maka telinganya pula digunakan dengan sebaik-baiknya. Bila kenal akan suara tersebut, barulah dia tahu tuannya. Siapa lagi kalau bukan Farhan. Tidak disangka Farhan yang membuat pintunya berlekuk disebabkan ketukan yang bertalu.-talu.

Bila dah tahu yang empunya diri, mulalah dia jadi macam orang sewel. Berputar cari tudung. Baru ingat yang Farhan tu bukan muhrim. Tak boleh tengok auratnya. Begitu tangkas dirinya masuk ke dalam selimut. Menutup aurat mana yang sempat. Rezeki kaulah Farhan dah tengok tayangan free.

Farhan hanya tersengih di bendul pintu. Pertama kali melihat wanita itu dalam keadaan baru bangun. Orang kata kalau nak lihat kecantikan wanita yang sebenar, lihatlah kala mereka baru bangun.

Apa yang nyata, memang selama ini penglihatannya tidak berbohong. Insan di hadapannya ini memang dikurniakan oleh Ilahi dengan wajah yang menawan. Cantik. Tidak disebabkan oleh faktor luar atau mekap sebagai bahan tambahan untuk mencantikkan wajah.

“Lawalah kau,” ujar Farhan yang masih tersengih sambil memperbaiki sandaran tubuhnya di pintu.

Tubuhnya dikalih sedikit. Kali ini menghadap sepenuhnya ke wajah Mawarni yang masih berselubung dalam selimut. Tidak bergerak. Hanya mata wanita itu yang sedang galak mengawasinya. Mungkin khuatir terhadap langkahnya. Farhan menggeleng melihat telatah Mawarni.

Dalam selimut Mawarni dah membebel geram. Ingat dia ni kacang bunciskah, nak jual lima puluh sen seikat. Nak samakan dia macam benda yang tak bernyawa, memanglah murah. Dia lain, spesis manusia yang ada akal. Hantaran pun paling kurang dapat sepuluh ribu ringgit ni.

“Farhan, please! Get out of my sight,” perlahan Mawarni memohon. Takkanlah Farhan nak berdiri di situ lama-lama. Satu hal pula nanti. Pasti dia tak dapat bergerak ke mana-mana. Kalau nak sambung tidur, lagi tak boleh.

“Tak nak,” jawab Farhan sambil tersenyum.

Lucu dia dengan apa yang telah dia lakukan. Tak sangka berjaya juga dia kejutkan puteri itu. Kak Melati dah beri peringatan, Mawarni takkan terjaga. Jangan diganggu. Namun hatinya kuat nak kacau Mawarni hujung-hujung minggu macam ni.

“Kenapa datang sini?” soal Mawarni yang masih di dalam selimut.

Kedengaran sayup-sayup suara itu menyusup ke gegendang telinga Farhan.

“Aik... ni bukan rumah tetamukah,” balasnya sambil tersengih-sengih.

Memang rumah ni dah jadi macam rumah tetamu. Sesiapa saja boleh datang ke sini. Lepak dan relax. So, tak hairanlah kalau orang lain datang bertamu ke sini.

Mawarni yang mendengar terus mencebik. Ingat rumah banglo Pak Sani ni, rumah tetamukah?

“Kenapa tak habis-habis tidur ni?” soal Farhan.

Ceh, Farhan! Apa bezanya dengan kau yang tak celik-celik kalau musim cuti? Farhan kutuk diri sendiri. Tersenyum dia mengenangkan sikapnya yang begitu sukar nak bangun kalau dia tak perlu bekerja.

“Don’t you know that sleep is my homework?” terdengar teriakan itu kuat. Mawarni mendengus geram.

“Farhan... kau ni sihat ke tak? Menyerbu bilik anak gadis orang adalah salah di sisi undang-undang tahu! Keluar sekarang!” arahnya tegas. Dia langsung tak boleh bergerak sekarang ni.

Mawarni sudah tidak senang duduk. Selama ini, mana ada dia serabai macam sekarang ni di hadapan Farhan. Selalunya, dialah wanita yang begitu menjaga penampilan dan ketrampilan. Entah apa keadaannya tika ini. Tahi mata mungkin sedang bertakung di pinggir mata. Mungkin air liur basi masih bertenggek di pinggir bibir.

Muka dilap menggunakan selimut. Menyingkirkan noda-noda yang mencemar wajahnya. Walaupun kesannya tidak sama seperti mencuci muka menggunakan air dan pencuci muka, tapi sekurang-kurangnya wajahnya tidaklah comot sama seperti Farhan ketika baru bangun tidur. Biar selimutnya kena kotoran air liur basi, yang penting Farhan tidak melihat dirinya dalam serba tidak kena tika itu. Selimutnya boleh dicuci nanti, guna Clorox pasti hilang.

Melihat Farhan yang masih kaku berdiri membuat Mawarni cuak. Nak menghalau dengan tenaganya tidak memungkinkan dia untuk bergerak dalam keadaan sebegini. Hanya kelebihan wanita yang boleh aplikasikan.

“Farhan, tolonglah keluar sekejap. Aku tak boleh gerak kalau kau ada kat situ.” Mendayu permintaan Mawarni, berharap agar Farhan dapat menangkap tujuannya dan cepat beredar dari situ.

Farhan masih berdiri. Tersenyum mendengar rayuan Mawarni yang langsung tidak luak untuk menginjakkan kakinya pergi dari situ.

Hmm... buat suara manja macam tu, lagi membuat dia terasa ingin mendekat kepada Mawarni. Terasa ingin mendekatkan telinganya kepada bibir Mawarni agar dia dapat mendengar suara mendayu itu dengan lebih bermakna. Ish, gatal kau Farhan!

“Aku takkan beralih selagi kau tak pergi mandi sekarang. Aku tahu, kalau aku beredar kau mesti sambung tidur. So, aku akan tunggu di sini sampai kau selesai mandi,” begitu bersahaja Farhan berkata-kata. Tangan di masukkan ke dalam poket seluar jeans jenama Levis. Dia meneguhkan sandarannya semula. Santai dia berdiri.

“Mana boleh macam tu. Macam mana aku nak mandi kalau kau ada di sini? Kau keluarlah dulu. Aku janji, lepas kau keluar, aku mandi,” pinta Mawarni dengan sopan.

Suara serak-serak basah keluar lembut menjengah telinga Farhan. Harap-harap bukan suara katak keluar sebab dia belum perbetulkan lagi peti suaranya. Mesti garau!

Mawarni tahu, saat ini dia tidak boleh berkasar dengan Farhan. Tindakan Farhan tidak boleh dijangka. Nanti dia juga yang susah. Manalah tahu, tiba-tiba Farhan datang mendekat dan mengheretnya ke kamar mandi. Boleh masuk wad kecemasan dia!

Farhan yang mendengar terus mencebik. Sedikitpun tidak percaya dengan kenyataan Mawarni. Dia sudah tahu taktik gadis itu. Pasti ingin menyambung semula lenanya. Bukan Farhan tidak tahu, semalam gadis itu balik awal ke rumah. Sebelum sampai ke rumahnya semalam, dia sempat singgah di klinik gadis itu, tetapi jururawat yang ada memberitahu Mawarni sudah kembali ke rumah. Jarang sekali doktor gigi ada on call. Tak pernah kot?

“Far.. please far away from me,” lembut Mawarni memujuk.

Sudah tidak tahu cara bagaimana lagi dilakukan untuk membuat jejaka itu segera beredar dari situ. Kalau boleh, dia ingin cepat agar Farhan berlalu dari situ, pergi dari pandangannya, boleh pintu dikunci semula dan dia boleh sambung tidurnya pada hari cuti ini.

“Janganlah kau nak buat suara macam katak di atas katil tu. Tak adanya hujan nak turun mandikan kau sekarang di situ. Pergi mandi sekarang,” arah Farhan.

Mawarni membeliakkan mata. Tidak mungkin dia akan ke bilik air bersama dengan gebar yang sedang menyelubunginya sekarang.

“Akak!!!!!!!!!!!! Panggillah naga seekor ni turun.” Teriakan itu bergema dalam satu rumah.

Hanya itu yang terlintas di fikirannya untuk menghalau lelaki itu dari setia berdiri macam nak nyanyi lagu Negaraku. Memang tak ada tanda-tanda nak blah dari situ. Macamlah aku nak dengar dia ‘sumbang’kan lagu. Perlahan Mawarni membebel.

“Kenapa Erni? Kamu dah bangunkah?” sahutan balas dari Nur Melati kedengaran jelas. Hanya suara yang ada, batang tubuhnya tidak pula kelihatan di sini.

Farhan tertawa galak. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak sangka gadis itu menggunakan Kak Longnya untuk mengalihkan dia dari bilik ini. Dapat mandat baru pula tu.

Naga!

Apa kaitan naga dengan Farhan? Farhan hanya mampu ketawa, tidak dapat mencari jawapan yang dia sendiri timbulkan.

“Oklah. Aku blah dulu. Kalau kau tak turun dalam masa lima belas minit, aku naik lagi. Kalau kau tak bangun juga, aku canang di satu taman, bagitahu kau tak bangun lagi. Biar tak ada yang berkenan nak jadikan menantu,” kata Farhan lantas kakinya melangkah keluar dari bilik itu.


salam syaaban smua...
thanks kerana masih sudi menjengah ke blok ini. smoga kita smua sudah sediakan segala peralatan yg perlu utk mghadapi ramadhan. jgn lepaskn peluang yg dtg setahun sekali ini. mari sma2 rebut diskaun pahala dari DIA

2 comments:

  1. uuuuu...
    abang farhan suka kat adik erni ya..
    hihihi

    ReplyDelete
  2. abang farhan nk kat orang lain

    ReplyDelete

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)