Tuesday, November 15, 2011

BAIK-BAIK SAYANG II- 01 (BBS II-1)

Flashback
_______


“Kau pastikah?”

“Pasti!” Penuh yakin dia membalas. Suaranya dikeraskan.

Tapi sebenarnya, dalam kepastian yang dia ada sekarang, sembilan puluh peratus di dalamnya adalah keraguan. Sepuluh peratus tu saja yang ada kenyakinan sikit.

“Tak nak guna talian hayat?” Kali ini, soalan lain pula yang diberi.

“Aku ada talian hayat lagikah? Ada spare nyawa lagikah untukku? Ada tujuh kehidupankah dalam hidupku?” Geram dia membalas.

Sang penyoal itu bagai mengejek-ejek dirinya. Bagai mempersendakannya. Dia sebenarnya sedang berusaha untuk menyakinkan diri sendiri.

Andai dia tiada kenyakinan, pasti sekarang dia akan pura-pura melemaskan diri dalam lautan yang terbentang luas ini.

Kalau melarikan diri dari masalah tersebut, sampai bila-bila pun tak akan selesai. Suatu masa nanti, ia akan timbul semula. Dia tidak mahu yang begitu.

“Aduh! Kau melalut lagi. Kita ni orang Melayu, bukannya orang asing yang ada spare kehidupan. Bukan macam kepercayaan cerita hindi tu yang kau akan muncul semula pada kehidupan lain. Bukannya kartun yang boleh hidup semula selepas mati. Bukan juga macam cerita Dragon Ball yang ada gelang nyawa.”

Si teman sudah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Bukannya ada kutu pun. Kelemumur jauh sekali! Maklumlah, pakai syampo Head & Shoulder. Anti dundraff gitu!

“Kau sendiri yang mulakan segalanya. Kau jangan nak cari gaduh sekarang,” Suara wanita itu terlalu pasrah.

“Aku cuma nak tahu tentang keputusan kau,” perlahan suara si teman. Cuba memujuk kembali.
“Aku macam tak berhak pula buat keputusan.”

“Demokrasi beb! Kau berhak. Tapi kau yang tak mahu.” Suara temannya begitu lirih.

“Sejak bila aku mahu? Never! Kalau kau fikir aku akan ikut segalanya dengan rela, baik kau padam harapan kau tu. Tidak sekali-kali aku akan pilih keputusan tu.”

“Kau tahukan apa yang terjadi?”

“Sebab tu aku cakap aku tak ada pilihan. Aku kena akur dengan semua ini. Rasanya, inilah yang terbaik untuk semua orang.”

Mungkin inilah yang dinamakan pasrah. Terima dalam terpaksa. Dia cuma berserah, tapi dia belum redha dengan apa yang bakal dia lakukan.

Oh, tuhan! Berikan aku kekuatan.

Dia meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya. Perubahan hidupnya ini bakal mengubah segalanya dalam takwim hidupnya.

“Kau nak kunci juga lirik... Eh, salah! Kau nak kunci juga keputusan yang kau dah buat ni?” sempat lagi si teman buat lawak. Dia senyum sendiri dengan bicara yang baru dilafazkan.

“Kau ni, macam tak tahu pula. Aku mana ada diberi gugusan kunci untuk memilih sendiri pintu mana yang aku nak buka. Aku hanya ada satu kunci,” suaranya sedikit membentak.

Geram!

Merah menyala langit senja masih tidak dapat menghapus duka di hati. Hening sore masih belum mampu mengubat jiwa. Hembusan laut ke pantai belum mendamaikan raganya.

Sungguh! Andai ada talian hayat untuknya di ketika ini, dia sanggup menggunakannya sekarang. Sekurang-kurangnya, dia akan memilih talian yang mampu membuat dia invisible untuk setahun.
Atau sekurang-kurangnya dia dapat pinjam poket Doraemon untuk sesaat ini. Pinjam pintu ajaib dan kemudian membawa dia ke dunia lain. Biarlah dia menjengah sekejap ke bulan ataupun planet Marikh tu.

Tapi, adakah lagi talian hayat untuknya. Wujudkah poket Doraemon yang mampu membawanya ke tempat asing?

Never! Semuanya tiada. Karut. Dan sekarang, dia harus terima satu kenyataan yang pahit. Keputusan yang sangat berat untuk diakui namun harus dituruti.

“Jomlah balik. Nanti tak pasal-pasal kita kena sinar X.”

“Sinar X mana pula ni?” Berkerut dahi memikir.

“Bukan sinar mana-manalah. Saja aku cakap. Syaitan dah nak keluar buat rondaan ni. Pada senjakala begini, masa mereka berpesta. So, sebelum kita terkena panahan songsang, lebih baik kita berambus dari sini,” dengan sengihan si teman menjelaskan.

Tersenyum dia seketika. Memang sebentar lagi Maghrib akan menjengah. Kata orang tua-tua, waktu-waktu senja tak baik keluar. Banyak syaitan yang berkeliaran. Lagipun mentari sudah melabuhkan fizikalnya. Tiada apa lagi yang perlu ditunggu di pantai ini. Kornea matanya sudah puas menatap saat sirnanya sinar sang matahari di remang petang.

“Kau ni, ada-ada sahaja. Sinar X pula. Nasib kau tak sebut sinar gamma atau beta di tengah-tengah alam macam ni. Jomlah balik. Nanti bising pula ibu aku,” dia pula mengajak.

“Sedar pun kau.”

Wanita itu merenung mentari yang semakin melabuhkan cahayanya. Moga kehidupannya juga akan bercahaya kelak. Langkahnya mengekori teman yang sudah berjalan di hadapan.




________

sedikit bacaan utk anda stelah mbiarkan blog ini sepi. maaf atas segala kesulitan.

1 comment:

  1. hihihihi..
    dragon ball ade 7 biji kesemuanya

    ReplyDelete

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)