Thursday, January 6, 2011

Betulke???-3

Ketukan di pintu menghentikan tumpuan kerja Mawarni seketika. Moga ini pesakit yang terakhir, doanya dalam hati.

“Masuk,” arah Mawarni.

Kelihatan Firyal membawa masuk alatan baru untuk rawatan pergigian. Dia sentiasa cekap dalam memudahkan tugas Mawarni.

“Doktor, ini pesakit terakhir untuk pagi ini. Lepas ni you boleh rehat,” jelas Firyal. Dia pun kasihan pada ketuanya itu. Memang kelihatan lesu sedikit ekoran merawat pesakit yang tidak putus datang.

Mawarni mengangguk. Firyal memang pekerja yang memahami. Dia tahu bila saat-saat genting dan saat lapang Mawarni. Mawarni berlalu ke singki. Sabun Dettol yang ada diambil dan disapu ke tangan. Dia membasuh tangannya bersih-bersih. Kemudian dia mencari glove baru.

Kedengaran pintu biliknya dibuka. Suara Firyal yang mengarahkan orang masuk membuat dia tersenyum. Tak payah nak susah-payah keluarkan suaranya untuk menjemput orang masuk.

“Silakan duduk.”

Mawarni memanggil pesakitnya. Belum berpaling ke belakang. Masih menyediakan alatan untuk rawatan.

“Tak nak.”

Terdengar suara kanak-kanak membantah. Mawarni lantas berpaling. Tersenyum melihat seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia lima tahun sedang menolak tangan seorang lelaki. Mawarni melemparkan senyum kepada kanak-kanak itu. Memang begitulah selalunya, kanak-kanak fobia untuk datang bertemu dengan doktor gigi. Macam dia masa kecil, tapi dia lebih dahsyat lagi.

“Tak apa dik. Akak buat tak sakit pun. Adik tak rasa pun gigi adik tercabut.” Lembut suara Mawarni.

Mawarni cuba memujuk. Sudah beberapa kes yang ditanganinya melibatkan kanak-kanak. Takut nak hadapi dia. Hanya pujukan yang lembut mampu mencairkan mereka. Tidak perlu suara yang kuat untuk mengarahkan kanak-kanak itu mengikut cakapnya. Kalau kena caranya, mudahlah memujuk. Dia bergerak menghampiri kanak-kanak itu. Kalau dah kena pujukannya, barulah dibawa kanak-kanak itu menuju ke kerusi khas untuk rawatan
Kanak-kanak tadi masih membisu. Menarik-narik tangan lelaki yang ada di sisinya, meminta dibawa pulang.

“Tak sakitlah. Along kan hero. Kalau hero, tak takut apa-apa tahu.”
Baru kini suara lelaki itu keluar. Mawarni memandang lelaki itu lantas tersenyum. Dia perlukan pertolongan lelaki itu untuk memudahkan kerjanya. Untuk menyingkatkan sesi pujuk-memujuknya.

Mawarni dan lelaki itu sama-sama memujuk kanak-kanak itu. Akhirnya sesi pujukan berakhir dan berjaya apabila lelaki itu menjanjikan bahawa dia akan membawa kanak-kanak itu ke KFC.

“Siapa nama adik?” Mawarni cuba berbual dengan kanak-kanak itu untuk menghilangkan gentar. Kanak-kanak memang akan sentiasa takut bila berdepan dengan doktor gigi. Rasa macam watak jahat pula.

“Nabil.” Akhirnya keluar juga suara si kanak-kanak setelah lama berdiam diri. Dia didudukkan di atas kerusi.

“Nabil tahu tak? Hari tu Power Rangers yang warna merah sakit gigi,” penuh perasaan Mawarni memberitahu.

“Ha... kenapa dia sakit gigi?” begitu ketara kejutan yang dialami oleh Nabil. Terkebil-kebil dia memandang Mawarni. Tak sangka hero yang dibanggakannya itu juga mengalami sakit gigi.

Lelaki yang membawa Nabil turut tersenyum. Respon yang diberikan Nabil membuat dia rasa lega. Begitu payahnya dia nak memujuk Nabil untuk sampai ke sini. Malah sebelum masuk tadi, sempat dia berkejaran dengan Nabil bila nama Nabil dipanggil masuk ke bilik rawatan.

Perlahan-lahan Mawarni menolak dada Nabil. Nabil hanya menurut. Secara tidak sedar, sekarang Nabil sudah selamat berbaring di atas kerusi rawatan. Tersenyum Mawarni melihat reaksi itu.

“Yes. You know why? Tiap kali dia habis berlawan dengan raksasa, kanak-kanak akan bagi lolipop pada Power Rangers. Sebagai tanda ucapan terima kasih sebab dia telah berjaya selamatkan dunia,” terang Mawarni.

Begitu cekap tangan Mawarni meneliti sekitar mulut Nabil. Firyal di sebelah tersenyum pada Nabil. Tangan Firyal memegang lampu khas. Dia mengikut hala tangan Mawarni. Memberi cahaya agar memudahkan penglihatan Mawarni. Agar senang mengesan masalah gigi yang dialami Nabil.

“Tapi Nabil tak bagi lolipop.” Laju Nabil membalas. Biarpun susah untuk berbicara, tapi tekad juga Nabil memberitahu.

Mulutnya sudah terbuka luas. Perkakas Mawarni sudah selamat meronda di dalam mulutnya. Baiknya Nabil. Dia langsung tidak menepis tangan Mawarni yang menjelajah ke sekitar mulutnya.

“Nabil budak bijak. Power Rangers pun cabut gigi. Dia tak nangis tahu. Sama macam Nabil yang tak nangis bila kena cabut gigi. ”

Sambil menjalankan tugasnya, Mawarni berbual-bual dengan kanak-kanak itu. Banyak yang dibualkan. Namun, memandangkan sedang dirawat, Nabil lebih banyak berdiam diri. Hanya Mawarni yang banyak bercerita.

Suntikan awal ke gusi tadi sudah membuatkan mulut Nabil kebas. Ditepuk-tepuk pipi Nabil. Menguji akan keadaan pesakitnya sekarang. Nabil langsung tidak memberi sebarang tindak balas hasil ketukan kecil itu. Maknanya ubat pelali sudah selamat menjalankan misinya.

Mawarni bergerak ke langkah seterusnya. Tidak sampai sepuluh minit diperlukan untuk mencabut gigi Nabil. Akhirnya sebatang gigi yang terletak di hujung gusi selamat berada di penyepit itu. Sudah bercerai dari soketnya. Gigi geraham Nabil sudah berlubang. Memang perlu dicabut. Kalau tidak, Nabil akan merasa sakit apabila mengunyah makanan.

“Dah siap,” ujar Mawarni sambil menunjukkan sebatang gigi geraham yang sederhana besar kepada Nabil.

”Ha! Dah siapkah? Cepatnya. Nabil tak rasa pun,” balas Nabil dalam pertuturan yang lambat. Tidak mampu membuka mulut besar-besar. Ada kapas di dalam mulutnya.

“Kan akak dah cakap, cabut gigi ni tak sakit. Sekejap saja. Macam kena gigit semut. Jadi lepas ni kalau gigi sakit, cepat-cepat datang jumpa doktor ya,” pujuk Mawarni lagi. Dia lebih suka menggelarkan dirinya sebagai kakak daripada dipanggil doktor di hadapan kanak-kanak.

Kanak-kanak seperti Nabil perlu diberi keyakinan untuk bertemu dengan orang sepertinya. Tidak perlu ada perasaan takut.

Gigi yang dicabut dibuang dalam tong sampah. Sebelum itu, ditunjukkan kepada Nabil giginya yang rosak. Geli-geleman kanak-kanak itu melihat giginya yang sudah rosak. Mawarni hanya tersenyum melihat telatah kanak-kanak itu. Geli konon, padahal itu giginya sendiri.

“Kalau tak mahu gigi jadi macam ni lagi, cepat-cepat jumpa doktor,” kata Mawarni lagi.

Mawarni membuka glove lalu dibuang ke dalam tong sampah. Dia menuju ke mejanya. Di sana, pemuda tadi masih setia menunggu. Orang yang membawa Nabil mahu masuk ke dalam biliknya.

Nabil menuju ke arah lelaki tersebut. Begitu santai dia duduk di pangkuan lelaki itu. Apa yang dia perasan, lelaki tadi cuma tersenyum mendengar celoteh Mawarni semasa sesi pencabutan gigi. Apa yang pasti, habis Nabil kena gula-gulakan dengan cerita yang tak logik dek akal.

“Saya dah cabut gigi dia. Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Dia boleh makan apa sahaja. Tapi kalau boleh, janganlah bagi gula-gula. Nanti dah lasak balik gigi dia, baru boleh bagi,” Mawarni menerangkan kepada pemuda yang masih senyap di hadapan mejanya.

“Nabil sekarang dah boleh makan puas-puas. Makan banyak-banyak ayam KFC pun tak apa,” kata Mawarni sambil memandang Nabil yang nampak riang di pangkuan lelaki itu. Langsung tak ingat bahawa dia baru sahaja menghilangkan giginya sebatang dari gusinya.

Nabil hanya menganggukkan kepala.

“Kalau boleh, biar dia gigit kapas yang ada dalam mulutnya sekarang selama lima belas minit. Kalau kapas dah penuh dengan darah atau dia tak selesa, ganti dengan kapas lain. Nanti saya akan bekalkan. Pastikan dia tidak berkumur selama sejam dari sekarang. Jangan biarkan dia cucuk dengan jari atau lidah bekas yang baru kena cabut. Jangan gigit kawasan yang kebas. Saya akan bagi ubat, nanti ambil di kaunter. Ubat tu makan kalau gigi sakit. Kalau tidak sakit, jangan bagi dia makan. Antibiotik yang ada kena habiskan,” panjang nasihat Mawarni.

2 comments:

  1. wawawa..
    pandai nye doc erni..
    ni mesti doc tgk power ranger gak..

    ReplyDelete
  2. may lin- trpaksa tgk...nak jadikn modal utk pujuk bdk2

    ReplyDelete

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)