Tuesday, January 4, 2011

Betulke???-2

Kereta dipandu dengan kelajuan yang sederhana. Gelora hati biarpun ingin cepat sampai ke tempat dituju tetap ditahan dengan sebaiknya. Tidak mahu kejadian yang tidak diingini menimpa. Cukup-cukuplah dia hendak ke hospital sebab nak lawat orang, bukan sebab nak jadi salah seorang yang kena lawat pula nanti.

Saat pertama kali menjejakkan kaki di Hospital itu, dia hilang diri sekejap. Akhirnya sampai juga dia di sini. Subang Jaya Medical Centre(SJMC). Hospital swasta yang dimiliki oleh Sime Darby Group, salah satu konglomerat yang berjaya di Malaysia. Kalau bukan sebab nak tengok kawan, mungkin sampai sekarang dia tidak akan menjejakkan kaki ke hospital ini. Kalau tak dibaca sign board betul-betul, memang boleh terlajak jauh. Terus ke KLIA.

Apabila sampai, Mawarni terus bergegas ke kaunter yang ada di lobi hospital. Pada nurse yang bertugas ditanyakan tempat yang ingin dituju. Dalam kalut-kalut, memang tak tersusun ayat yang ingin dikeluarkan. Sampai cik nurse yang ada di depan pun suruh dia mengucap sebab dia sendiri yang tak dapat tangkap apa yang sedang diperkatakan oleh orang di hadapannya. Kalut macam bapa-bapa yang tunggu isteri di wad bersalin.

“Maafkan saya, saya nak tahu bilik Encik Iqbal di mana? Dia baru dimasukkan tadi sebab kemalangan.” Dalam keadaan tak sempurna diri, akhirnya selamat juga apa benda yang ada di fikirannya diluahkan.

Menyesal dia tak tanya Munawarah tadi bilik mana satu yang menjadi penginapan sementara mereka. Menonong saja dia datang ke hospital tanpa mengetahui maklumat lanjut tentang butir-butir penting. Syukurlah dia masih dengar Munawarah ada menyebut SJMC. Kalau telinganya juga tidak berfungsi dengan baik tadi, memang aniaya diri sendiri. Terpaksa bertapak ke HUKM atau hospital lain yang ada di Kuala Lumpur ni semata-mata nak jejak mereka sebab dia sudah cuba call Munawarah semula, tapi tidak dapat disambung.

“Cik naik lif di sebelah kiri ni. Naik ke tingkat dua. Belok kanan. Nombor bilik dia ialah 13,” terang nurse itu sambil tersenyum setelah hampir beberapa minit untuk mencari data-data yang diperlukan oleh pelanggannya.

“Terima kasih Muslimah,” balas Mawarni sambil berlalu ke lif yang telah ditunjukkan tadi. Sempat lagi membaca tanda nama yang tersangkut di sebelah kiri nurse yang bertugas itu.

“Hish mana pula aku letak telefon ni.”

Dalam dia menonong berjalan, sambil mulut tak henti membebel. Puas dia mencari telefon bimbit yang tadinya disumbat ke dalam handbag. Rasanya dia sempat sambar telefon itu tadi. Ingin dia mengkhabarkan kepada sahabatnya itu bahawa dia sudah sampai ke tempatnya. Sekurang-kurangnya menghantar SMS.

Pintu lif terbuka. Mawarni tergesa-gesa keluar daripada lif bila angka sudah menunjukkan nombor dua.

“Akhirnya,” getusnya perlahan apabila melihat cahaya daripada telefon bimbit di dasar handbagnya.

Inilah padahnya kalau beg dah jadi macam poket Doraemon. Segala macam harta karun boleh ditempatkan dalam handbagnya. Kalau muat peti televisyen, pasti akan disumbat juga.

Nama Munawarah dicari dan didail. Beberapa saat menunggu, tiada juga terdengar suara si penerima.
“Ouch.. what the...” suaranya bergetar. Tidak jadi ayat itu disambung. Abah pesan, mulut kena jaga. Jangan terlalu laser.

Telefon yang tadi begitu santai melekap pada telinga kini sudah beralih arah. Nun jauh tersadai di penjuru pintu lif. Bahunya yang dilanggar tadi terasa sakit sedikit. Perit terasa. Cepat tangannya memicit-micit perlahan bahunya sebentar sebelum kembali waras.

“Alamak, telefon aku! Dahlah susah payah pujuk abah nak minta telefon ni. Dah berapa kali jatuh. Harap-harap selamat lagilah kau handphone,” panjang bebelan Mawarni. Berbicara seolah-olah telefon bimbit yang masih di lantai itu faham apa yang diperkatakannya. Balckberry warna hitam sudah berada di tangan. Hadiah Encik Abdul Sani sempena dia tamat belajar.

Diteliti telefon itu. Masih dalam keadaan asal, kalau telefonnya yang lama, pasti bateri sudah tercerai dari badan. Tapi Balckberry itu masih nampak sihat. Tak tahulah pula boleh on atau tidak.

Mawarni menoleh ke belakang. Lelaki yang melanggar juga sedang memandang dia. Entahlah. Dia yang melanggar atau dia yang terlanggar, Mawarni pun tak pasti.
“Awak boleh jalan elok-elok tak? Mata letak di mana? Di punggungkah?” Sindiran pedas dilemparkan ke arah lelaki yang masih setia berdiri. Rasanya dia bukanlah manusia kerdil sampai lelaki itu tak nampak dia.

Terkebil-kebil lelaki itu memandang Mawarni. Bukan akukah yang dilanggar? Kenapa aku yang kena marah? Dia pun bermonolog dalam hati. Rasanya perempuan tu yang langgar dia, tapi perempuan tu pula melebih-lebih marah.

“Aku K.I.V lah nak marah kau. Nasib baik aku nak cepat, kalau tak memang habis kau, aku sembur.”

Marah terpaksa ditahan. Tangan dilekap ke dada. Apa yang penting dia perlu cepat bertemu temannya, Munawarah. Perlu ada di sisi sahabatnya sekarang kerana temannya itu lebih memerlukan dia daripada lelaki ini yang nampaknya memang tidak perlu untuk dimarahi.

“Make sure I will not see you again! Sebab kalau saya jumpa awak lagi, saya nak qada marah saya pada awak.” Dah lah aku tengah tak stabil, dia boleh pula langgar aku. Mawarni masih lagi membebel.

Begitu sayang dia dengan telefonnya yang hampir menjadi arwah. Cuba dihidupkan telefon itu. Bersinar matanya bila telefon itu berfungsi seperti dalam keadaan asal. Dia memalingkan wajahnya memandang lelaki yang masih setia berdiri beberapa langkah darinya sebelum melangkah ke bilik yang menempatkan suami Munawarah.

Kenapa dengan lelaki itu? Penuh tanda tanya dalam kepala Mawarni. Hairan dia dengan lelaki itu. Melihat dirinya seolah-olah nampak hantu. Takkan lelaki itu tak sihat? Bukan macam pesakit pun. Tapi, nampak macam lelaki normal. Pakai baju pun macam seragam doktor. Maknanya dia doktor di sinilah. Tapi kenapa dia nampak aku macam orang tak betul. Blur!

Tidak sedar akibat leka bermonolog sendirian, dia terlepas beberapa pintu daripada pintu bilik yang sepatutnya dia masuk.

Lelaki itu masih memandang wanita yang terlanggarnya tadi. Senyum sendiri melihat wanita itu terlajak langkah sehingga terlepas arah. Lantas berpusing balik untuk ke bilik yang hendak ditujunya. Harap-harap aku tak jumpa dia nanti, tak pasal-pasal kena sembur walaupun sudah jelas bukan salah aku.

------------------

“Ara!” Ayat pertama yang keluar dari bibir Mawarni saat pintu bilik itu ditolak dari luar. Nombor bilik 13 itu laju dimasuki oleh kakinya.

Wanita yang sedang duduk di kerusi itu pantas menoleh. Matanya merah. Pipinya nampak kebasahan. Mukanya jelas kelihatan sembab. Mungkin terlalu banyak menangis sepanjang hari ini.

“Erni!”
Laju kaki Ara mendapatkan sahabatnya itu. Badan sahabatnya diraih dalam pelukan. Di bahu Mawarni, sekali lagi tangisan yang bersisa ditumpahkan. Sedih jiwanya. Saat ini, hanya air mata yang mampu mendamaikan jiwanya. Sesekali, tangisan menjadi penenang jiwa.

Jatuh kasihan Mawarni melihat keadaaan temannya. Temannya dibawa duduk di sofa yang berdekatan. Lelaki yang masih lena di atas katil di pandang sayu. Iqbal begitu polos dalam tidurnya. Wajahnya penuh dengan luka-luka kecil. Kaki tergantung ke atas ditahan dengan anduh. Tangan di katil juga berlilit kemas. Warna-warna putih kapas sudah mendominasi keseluruhan jasadnya. Hanya bahagian wajah yang terbuka. Terdapat tompok-tompok merah dan kuning mewarnai kain bercorak putih itu. Darah bercampur ubat. Tiang yang menyambungkan air dan darah ke dalam tubuh juga berdiri statik di sebelah kanan Iqbal.

“Kenapa boleh jadi macam ni?” Setelah tenang baru Mawarni mengemukakan kemusykilannya.

“Pemandu mabuk. Langgar lari,” ringkas jawapan Munawarah.

“Ara dah lapor polis?” Mawarni memandang sayu teman yang sedang terseksa di atas katil. Kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian orang lain. Kesakitan yang bukan hanya pesakit menanggung, orang sekeliling juga terasa natijahnya. Semua disebabkan oleh kesilapan orang lain. Malah, kena tinggal lagi tu. Dasar manusia yang tak ada tanggungjawab!

“Dah. Pak Su dah tolong handle semua tadi. Pasal kereta, polis dan insurans, semua Pak Su uruskan. Kasihan Pak Su.” Dalam dia berduka, rasa simpati kepada bapa saudaranya tidak dilupakan. Nak buat macam mana, hanya tempat Pak Su saja tempat Munawarah bergantung harap.

Mawarni mengusap perlahan belakang sahabatnya. Memberi sedikit keyakinan dan ketenangan kepada sahabatnya. Sekurang-kurangnya, kedatangannya ke hospital ini memberi banyak manfaat. Memberi sokongan moral dan motivasi kepada Munawarah yang sememangnya sangat memerlukan semua itu.

2 comments:

  1. hihihi..best..
    mesti doc tu kenal erni..
    kak..xde prolog ke..

    ReplyDelete
  2. may lin-prolog ada... tapi kalo nk tau sapa yg lggr tu, kna tggu la...hehehe

    ReplyDelete

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)