Wednesday, November 10, 2010

KASIH TERCIPTA - END

“Bonda, hari ni Fathi nak pinjam Maira.”
Dengan senyuman meleret, tiba-tiba sahaja Ahmad Fathi sudah berdiri hampir dengan Umairah. Menyandar seperti Umairah yang meletakkan tangannya di atas kaunter.

Terkejut Umairah. Dia mengundur setapak ke belakang.

“Apa ni Fathi, nak pinjam-pinjam anak dara orang. Ingat dia tu bajukah?” Bonda yang berdiri di kaunter dalam sudah tersengih.

“Kalau baju dah lama Fathi pakai Bonda,” balas Fathi sambil tersengih.

“Kamu ni. Ada-ada saja.” Bonda sudah menampar lengan anak bujangnya itu.

“Bonda, Fathi serius nak pinjam ni.”

“Kamu nak pinjam buat apa. Kalau buat benda yang Bonda tak suka, memang Bonda tak bagi,” Bonda menjengilkan anak mata memandang Ahmad Fathi.

“Nak suruh dia jadi konsultan sekejap. Fathi nak cari baju yang sesuai untuk dinner this weekend,” terang Ahmad Fathi.

“La.. untuk tu rupanya. Pinjam sajalah,” selamba Bonda memberi keizinan.

Umairah yang ada di situ terlopong. Dia belum pun memberi kebenaran untuk setuju. Bonda ni...

“Pergilah Umairah. Carikan baju mana yang sesuai untuk dia,” pujuk Bonda dengan perlahan.

Memang dia nampak wajah Umairah yang tak berpuas hati. Tapi sengaja dia buat-buat tak faham akan riak wajah itu. Tentang hal yang semalam, dia memang belum memberitahu anaknya. Biar Umairah sendiri yang memberitahu kesudiannya itu kepada Ahmad Fathi. Mungkin ini masanya untuk Umairah memberitahu akan isi hatinya.

“Jom.”

Lelaki itu sudah melangkah. Tempat pertama dituju adalah ruang kemeja lelaki. Rasanya, bukan Umairah yang jadi konsultan, tapi lelaki itu sendiri. Sebabnya, setiap ada baju yang dia pilih dan ditunjukkan kepada Umairah, hanya anggukan dan gelengan sahaja jawapannya. Akhirnya dia sendiri yang menjawab segala pertanyaan yang sepatutnya dijawab oleh Umairah. Memang fail lah Umairah jadi perunding pakaian!

Bila tiada berkenan, Umairah hanya mengekori lelaki itu menuju ke ruangan baju batik lelaki pula. Satu persatu baju ditunjuk dan disesuaikan ke tubuhnya. Warna kelabu yang di padankan ditubuhnya membuat Umairah tergelak. Langsung tak sesuai.
Ahmad Fathi meletakkan kembali baju tersebut. Kemudian dia mengambil baju yang berwarna merah pula. Aduh, tambah Umairah ketuk kepala. Semuanya warna yang tak sesuai. Ataukah lelaki ini mengalami buta warna?

“Yang ini sesuaikah?” baju berwarna coklat itu dipadankan ditubuhnya.

“Yang ni nampak ok,” balas Umairah sambil terangguk-angguk. Nampak ok sedikit berbanding dengan baju-baju yang sebelumnya.

“Ok tak kalau saya pakai pergi dinner?” soal Ahmad Fathi lagi.

“Ok.” Hanya itu balasan Umairah. Tangannya masih setia membelek-belek pakaian batik lelaki di sebelah kanannya.

“Kalau bos saya nampak ok kan?” soal Ahmad Fathi lagi. Dia masih tak puas hati dengan pilihannya ini.

“Ok,” balas Umairah sambil tersenyum. Tapi kepalanya masih tidak diangkat. Matanya masih menala pada satu-persatu baju di hadapannya. Manalah tahu jumpa baju yang lebih sesuai.

“Kalau dipadan dengan seluar hitam sesuaikan?”

“Sesuai.” Walau dirasakan soalan Ahmad Fathi itu seakan keanak-anakan, namun Umairah tetap menjawab.

“Baju ni memang sesuai untuk saya kan?” sekali lagi dia meminta kepastian.

“Sesuai.”

“Awak memang sesuai jadi isteri saya kan?”

“Sesuai.”

“Betul sesuai.”

“Betul.”

“Betul?”

Umairah panggungkan kepala. Apa yang betul?

Eh.. kejap, tadi dia tanya apa? Macam ada perkataan lain. Baju... isteri...

“Awak tanya apa tadi?” soal Umairah cepat. Takut juga dia tersalah tafsir.

“Awak cakap, saya sesuai jadi suami awak,” terang Ahmad Fathi sambil tersenyum.

“Saya cakap macam tu kah?” cepat Umairah tanya.

“Ya cik. Jadi, memang betullah awak nak pilih saya sebagai suami awak?” soal Ahmad Fathi sambil jungkitkan keningnya. Senyuman sudah terlakar dari bibirnya.

Umairah hanya tersenyum.

“Maira, I take that as the answer. You setujukan? Kalau orang dulu-dulu punya jawapan, diam itu tandanya setuju.”

Umairah masih mengekalkan senyumannya.

“Ok, oleh kerana awak sesuai jadi isteri saya, awak bungkus baju ni, saya nak pergi jumpa Bonda, nak suruh pinang awak cepat-cepat.”

“Eh...Bonda dah pinang. Nak nikah dengan awak cepat-cepat.” Cepat Ahmad Fathi membetulkan ayatnya.

Umairah hanya mampu melopong saat lelaki itu berlalu di depannya. Sempat juga baju batik itu tersadai di tangannya. Nasib baik tidak jatuh. Dia hanya mampu memandang Ahmad Fathi yang sudah menarik tangan Bonda menuju ke ruang pejabat.

Nak juga dia teriak bahawa dia tersalah cakap. Tapi sebenarnya memang jawapannya ya. Cuma tak tahu macam mana nak sampaikan persetujuannya untuk menjadi isteri kepada lelaki itu


_____________________________________________


“Bonda, ada berita gembira ni.” Sejak dia gapai tangan Bonda, sampailah masuk ke ruangan pejabat ini, senyuman sentiasa terukir di wajah Ahmad Fathi.

“Ya apa dia?” Soal Bonda perlahan. Bonda buat-buat exited walau sebenarnya dia sudah tahu apa yang hendak disampaikan oleh anak terunanya.

“Maira dah terima. Jomlah bonda kita siapkan cepat untuk majlis Fathi ni.” Tidak sabar sudah dia untuk bernikah dengan gadis itu.

“Kamu ingat kahwin ni boleh buat sekelip matakah?” soal Bonda. Gelojohnya anak terunanya.

Ahmad Fathi hanya tersengih

“Alah Bonda ni, susah tahu nak dapatkan jawapan I do dari anak dara ?Bonda tu, tiba-tiba Bonda pula nak main tarik tali,” sedikit memuncung Ahmad Fathi.

Betapa susahnya dia nak mengurat Umairah. Memakan masa yang lama juga. Habis dia berkorban harta dan masanya. Namun itu tidak dikesali kerana dia bakal memperoleh yang lebih berharga lagi.

“Kamu dah sedia? Mental, fizikal, emosi..?”

“Rohani, batin... semua lebih dari sedia.” Cepat Ahmad Fathi menyampuk percakapan Bondanya.

Setakat persediaan itu semua, dia memang sudah lama bersedia.

“Kamu jangan nak ambil mudah Fathi. Kamu tu bakal pikul tanggungjawab berat. Tak tertanggung nanti, senget bahu kamu,” jelas Bonda cepat.

“Bonda ni. Fathi dah sedialah. Kalau tak, takkanlah Fathi bersungguh mengurat Umairah. Dah lama Fathi sedia,” jelas Fathi cepat. Dia sudah tidak mahu menunggu.

Usianya sudah jauh ke depan. Makin dia lewatkan kahwin, makin bertambah usianya. Nanti tak pasal-pasal orang akan kata anaknya itu adalah cucunya. Sebab dapat anak di usia senja. Itupun kalau dia dapat anak!

“Sudah ambil kursus kahwin?” soal Bonda. Tidak sanggup dia menjatuhkan keterujaan anaknya itu yang sudah tidak sabar untuk mendirikan rumah tangga.

“Bonda ni... apasal tak tanya dah kena sunat ke belum?” kata Ahmad Fathi tersenyum-senyum.

“Kamu belum bersunatkah?” soal Bonda lantang.

“Bonda ni, gaya macam Fathi ni dipelihara oleh mualaf pula.” Terkejut sedikit Ahmad Fathi bila Bonda mengeluarkan suara lebih kuat berbanding biasa.

“Betullah, bonda tanya ni. Kamu tu duduk Canada,” penuh kerisauan pada wajah Bonda. Harap-harap anaknya tidak rosak dibawa arus songsang.

“Bonda ni. Kenapa serius sangat? Fathi dah kenalah. Opah dan atuk dah sunatkan dulu,” jelas Ahmad Fathi cepat.

“Lega Bonda.” Memang terpancar kelegaan di wajah Bonda.

__________

“Maira,” teriak Bonda bila melihat kelibat Umairah melintas di luar pintu kaca itu.

Umairah memandang ke dalam. Bila tangan Bonda menggamitnya, dia menolak pintu kaca itu. Melangkah masuk ke dalam. Dia duduk di sebelah Bonda yang sedang menghadap Ahmad Fathi.

“Jadi memang Maira setujulah nak jadikan Fathi ni suami Maira?” soal Bonda sambil memandang Umairah.

Ahmad Fathi di hadapan sudah kecut menanti jawapan Umairah.

Lama keadaan senyap antara mereka.

Umairah mengangguk bila empat mata masih setia memandangnya.

Alhamdulillah. Hanya ucapan itu yang terdengar di gegendang telinganya. Ucapan syukur daripada Bonda dan Ahmad Fathi. Kali ini dia tidak ragu lagi. Mungkin serunya untuk berkahwin sudah sampai. Mungkin peluangnya untuk menamatkan zaman bujang adalah di ketika ini. Dia tidak mahu hilang peluang itu kerana tidak semua orang berjaya memperoleh peluang kedua.

Saat ini, hanya kesyukuran dipanjatkan kerana dia dibukakan hati untuk menerima seorang lelaki asing untuk melangkah ke dunianya. Diharap sinar mentari masih cerah untuk memimpin dia menjadi seorang isteri kelak.

Kasih antara mereka sentiasa tercipta dengan sendirinya. Tidak perlu mereka ragu kerana ia memang sudah diciptakan untuk terjadi begitu. Terciptanya kasih antara mereka memang sudah tercatat sejak awal lagi kerana kasih itu memang tercipta untuk mereka. Kasih untuk yang diluar sana memang akan tercipta dengan sendirinya kerana ia memang dimiliki oleh Sang Pencipta. Yang menciptakan kasih-Nya untuk semua.


_________________


SORRY... lama aku x upload kan. terlalu sibuk sampaikan aku demam. nak mc pun x sempat. terpaksa g keje juga even batuk & selesema. kepala skarang pn tgh panas....
aduhai... aku minta maaf ya...
harap anda puas hati dgn citer ni

1 comment:

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)