Tuesday, November 2, 2010

kasih tercipta-10

“Assalamualaikum.”
Salam diberi pada wajah lelaki yang sedang duduk sendirian di sudut kawasan itu.
Ahmad Fathi tersenyum lalu menjawab salamnya.

“Dah lama sampai?” soal Umairah sambil duduk di sebuah kerusi di hadapan Ahmad Fathi. Salbiah dan Zulaikha juga melakukan perkara yang sama.

“Baru lagi,” polos Ahmad Fathi menjawab.
Tempat duduknya belum lagi panas. Keretanya yang di parking belum pun berhenti panas enjinya.

“Minta maaf, lambat sikit,” Umairah dengan penuh sopan memohon kemaafan. Lain perasaannya bila membiarkan orang menunggu. Biarpun tidak menjadi bebanan bagi orang yang menanti.

Semalam dia menyatakan persetujuannya untuk keluar makan bersama Ahmad Fathi. Tidak salah untuk dia makan bersama lelaki itu. Lagipun Farhan membenarkan untuk membawa teman. Jadi diangkutnya dua orang wanita yang berada di sebelah-menyebelahnya ini untuk sama-sama berada di sini. Ahmad Fathi yang mencadangkan tempat ini. Secret Recipe.

Seorang lelaki berpakaian pelayan datang menghampiri mereka. Di tangannya, tiga buah menu berkulit keras ada bersama.

“Cik, kerusi di sana lagi selesa buat cik bertiga,” tegur pelayan itu. Umairah memandang lelaki itu. Bukan setakat Umairah, malah ketiga-tiga penghuni yang ada di meja itu juga memandang pelayan yang mempunyai tanda nama Zakaria.

“Kenapa?” laju Salbiah menyoal.

“Tak ada apa-apa. Tapi nanti tak selesa pula duduk bertiga berhimpit macam tu,” jelas pelayan itu.

Ketiga-tiga wanita yang duduk sebaris ketawa. Paling kuat pecah ketawanya adalah Zulaikha. Cepat-cepat gadis itu menutup mulutnya.

Ahmad Fathi hanya memandang gelagat gadis di hadapannya. Seorang pun tiada yang mengalah untuk duduk di sampingnya. Mana mungkin itu terjadi. Dia nampak, mereka lebih rela duduk berhimpit dari duduk selajur dengannya.

“Tak mengapa, kami ni dah selesa duduk macam ni.”

“Lagipun semua kami kecil-kecil. Muat ni,” pantas Salbiah menyokong kata Umairah.

“Kalau macam tu, tak apalah. Yang penting anda selesa berada di sini,” ujar pelayan itu. Dia mengeluarkan buku kecil dan sebatang pen dari kocek pakaian rasminya. Seorang-seorang ditanyakan makanan dan minuman yang ingin dijadikan santapan kali ini.

Umairah hanya memesan green apple kasturi dan chocolate indulgence.

Sementara pesanan sampai, perbualan antara mereka makin rancak. Salbiah paling banyak bercerita. Ceritanya terhenti sebentar bila pelayan datang membawa sedulang pesanan buat mereka. Tiramisu cake dan cappucino untuk Salbiah. Zulaikha pula memesan Espresso Cheese dan jus tembikai.

Sempat Umairah jeling orang di hadapannya. Segelas Mocha dan Chocolate Fudge sedang enak santai di depan mata.

“Kau ni, tak habis-habis dengan benda tu,” perli Salbiah ke sebelah kanannya bila melihat sahabatnya itu begitu asyik menelan kek dengan garfu kecil.

Cepat Ahmad Fathi menujakkan pandangannya ke arah yang sama. Merenung Umairah yang selamba mencuit kek itu tanpa memperdulikan keadaan sekeliling.

“Kenapa?” soal Ahmad Fathi cepat. Ingin diketahui apa yang menyebabkan Salbiah tergendala menelan keknya.

“Maira ni sebenarnya selalu datang sini. kalau dalam seminggu tu memang wajiblah datang. dia tak boleh kalau tak tengok chocolate indulgence ni. Boleh demam dia. Mesti dia makan. Pernah dia beli sebiji kek bawa pergi butik. Separuh tu dia yang habiskan,” jelas Salbiah.

Umairah di sebelah langsung tak berkutik walaupun yang jadi bahan cerita itu adalah dirinya.

Ahmad Fathi hanya tersenyum. Satu makanan kesukaan wanitanya itu sudah diketahui. kalau jodoh mereka panjang, dia ada senjata untuk memujuk.

“Fathi selalukah outstation?” soal Zulaikha yang sejak tadi hanya senyap.

“Tak juga. Minggu lepas saya tak datang sebab ganti bos pergi Argentina. Saya tak suka outstation. Biarlah duduk dalam pejabat. Kalau ada isteri nanti, ditinggal-tinggalkan pula,” ujar Ahmad Fathi sambil menjeling Umairah. Namun hampa, tiada sebarang reaksi daripada gadis itu. Aduhai Umairah, takkanlah kau tak terpikat dengan aku.

Salbiah dan Zulaikha sudah tersenyum. Tahu hala tuju bicara Ahmad Fathi.

“Oh patutpun awak tak datang minggu lepas. Ada orang tu dah macam kucing hilang anak. Habis dia tawaf satu butik. Kot-kotlah ada buah gugur. Tapi tak datang-datang juga,” perli Salbiah sambil menjeling ke sebelah.

Umairah buat selamba. Tahu dirinya dijadikan subjek oleh temannya.

“Yakah? Tak mungkinlah,” tidak percaya Ahmad Fathi.

“Betul. Tak percaya tanya Bonda. Bonda jadi hairan sebab orang tu habis kerja sahaja terus datang butik. Pantang ada masa terluang, mesti muka dia ada di butik. Nak kata, tolong, tak ada pula. Duduk saja kerjanya,” sahut Salbiah cepat.

Zulaikha di sebelah sudah terangguk-angguk. Mengiayakan kata sahabatnya.

“Kamu ni, ada-ada sahaja. Tak mungkinlah dia macam tu,” Ahmad Fathi masih tidak percaya. Tidak mungkin Umairah menunggu kedatangannya ke butik itu. Tidak pernah pun ada tanda dari gadis itu yang menanti kedatangannya. Jadi sukar untuknya percaya.

“Up to you kalau nak percaya atau tidak,” jelas Salbiah.
Dia memandang ke sebelah. Umairah nampak sedikit kalut. Pasti gadis itu tidak sangka kalau mereka semua nampak perbuatannya.

Orang rabun pun boleh perasaan Umairah, sahut hati kecil Salbiah. Dia dan teman yang lain hanya tersenyum melihat telatah Umairah dalam masa seminggu ketika ketiadaan Ahmad Fathi di butik itu.

Kehilangan Ahmad Fathi menjadi penantian bagi seseorang.

2 comments:

  1. suka sangat2 tak sabar menanti next episod...cepat2 sambung ya!

    ReplyDelete
  2. terima kasih ye Amanda kerna kali ni panjang sikit cerita barulah puas hahaha...tunggu lagi next n3 yg baru..

    ReplyDelete

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)