Thursday, October 28, 2010

kasih tercipta - 6

“Untuk Ahmad Fathi.” Ringkas jawapan Bonda.

Umairah berfikir.
Siapa lelaki itu. Kenalkah dia? Tiada temannya yang mempunyai nama seperti itu. Mungkin nama anak teman Bonda. Memang ramai yang telah cuba merisik Umairah untuk anak teruna mereka. Tapi Bonda suruh mereka bertanyakan terus kepada Umairah. Jawapan Umairah untuk mereka ringkas. Saya belum bersedia untuk menjadi isteri orang. Begitu lembut Umairah menolak.

“Siapa itu? Dia kenal dengan Umairahkah?” Umairah masih mencari gerangan lelaki yang dilamarkan Bonda untuknya.

“Anak Bonda.” Umairah tersentak. Begitu alpanya dia. Sedangkan baru tadi Bonda memberitahu nama anaknya. Tapi tidak hairan mengapa Umairah boleh lupa kerana nama itu baru sekali menjengah telinganya.

Umairah masih lagi bingung.

“Fathi telah lama kembali ke Malaysia. Hampir dua bulan. Semasa dia masih di Kanada, dia menghubungi Bonda melalui emel. Dia yang memberitahu Bonda untuk kembali ke sini. Bertemu Bonda. Umairah tahu, hati Bonda saat pertama kali bersua muka. Gembira sangat.”

Memang dapat dilihat muka Bonda yang ceria. Sedangkan menceritakan tentang anaknya di saat itupun sudah tergambar begitu bahagianya si ibu yang bertemu anak kandungnya setelah berpuluh tahun tidak berjumpa.

“Dia datang ke butik. Saat pertama dia masuk, Bonda sudah kenal wajahnya. Saling tidak tumpah dengan wajah suami Bonda. Lama kami bercerita. Dia kata, datuk dan neneknya yang memberitahu kewujudan Bonda. Keluarga mentua Bonda telah insaf. Sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir, mereka menyuruh Fathi agar mencari ibu kandungnya. Sampaikan maaf dari mereka. Mereka telah sedar kesilapan lepas. Mengambil anak Bonda daripada yang lebih berhak. Mereka memohon maaf atas ketelanjuran mereka. Bonda sudah memaafkan mereka. Sesungguhnya manusia tidak akan lari dari melakukan kesilapan.”

Umairah terkesima. Begitu sekali hati Bonda. Tidak ada dendam pada manusia yang membuat aniaya kepadanya. Namun Umairah cepat sedar, dendam itu membawa kehancuran.

“Syukur. Anak Bonda telah kembali. Keyakinan Bonda tidak sia-sia.” Bonda mengangguk. Mengiayakan kata Umairah. Memang sejak dulu lagi Bonda yakin akan bertemu semula dengan anaknya.

“Umairah jadi menantu Bonda ya?” Pertanyaan itu yang membuat kegembiraan Umairah tercalar sedikit. Sedangkan dia ingin meraikan kegembiraan Bonda bertemu semula dengan anak kandungnya.

“Bonda tak paksa. Umairah fikir dulu. Jangan sebab Bonda, Umairah terima Ahmad Fathi. Fikirkan dengan masak-masak.”
Usai berkata, Bonda berlalu pergi. Memberi salam lantas menutup pintu bilik Umairah. Sejak malam itu, malam Umairah sudah tidak tenteram memikirkan permintaan Bonda.

Malam ini, keberanian datang dalam dirinya. Memohon petunjuk Ilahi untuk memberinya kekuatan. Bergerak berdasarkan landasan petunjuk Allah. Sebenarnya Umairah takut pada keputusan yang bakal diperolehnya.

Dia tidak sanggup untuk menghadapi kenyataan. Tapi sampai bila dia mampu bertahan untuk buat tidak tahu sahaja sedangkan masa masih lagi setia bergerak. Waktu tidak akan terhenti sedangkan masalah yang dihadapinya tidak akan selesai mengikut masa yang masih beranjak.

Bonda ingin memberi gambar Ahmad Fathi. Tapi dengan lembut Umairah menolak. Belum masanya untuk dia melihat lelaki itu. Nanti sedikit sebanyak keputusannya akan dipengaruhi oleh lelaki itu.

Malah Bonda pernah ingin mengajak lelaki itu bertandang ke rumah, atas undangan makan tengahari. Tapi Umairah lebih rela mengurungkan diri dalam pejabat. Tidak mahu bersua dengan lelaki itu. Bukan dia takut. Cuma dia segan. Sebagai seorang wanita, sifat malu masih menebal dalam dirinya. Dia tidak tahu ingin bertingkah macam mana apabila berhadapan dengan lelaki itu.

Bonda juga pernah memberitahu, lelaki itu ingin sangat melihat wanita yang setia menemani Bondanya. Hanya mendengar namanya, lelaki itu sudah berkenan untuk menyuntingnya menjadi suri. Itu perkhabaran terkini dari Bonda. Tapi lelaki itu tidak mendesak. Menerima dengan tangan terbuka apa sahaja keputusan Umairah. Malah dia sudi untuk menjadi abang kepada Umairah andai kasih mereka tidak tercantum sebagai suami isteri. Kata Bonda lagi, lelaki itu amat terharu dengan segala pengorbanan Umairah menemani saat duka dan suka Bonda. Tidak besar sebenarnya pengorbanan Umairah dibanding dengan kasih Bonda yang begitu suci.

Begitu gembiranya Bonda bercerita mengenai anak terunanya yang tampan. Sama seperti suaminya. Anaknya yang baik, hormat pada orang tua dan begitu mengasihi datuk dan neneknya. Terangkat juga telinga Umairah mendengar kebaikan lelaki yang hanya dikenali melalui namanya. Bonda kata, Ahmad Fathi pernah melihatnya ketika di butik. Tapi lelaki itu tidak mahu mengganggu ketenangan Umairah. Dia faham Umairah masih belum mahu diganggu dengan kehadirannya.

1 comment:

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)