Tuesday, October 19, 2010

kasih tercipta - 4

Hari itu hari Jumaat. Cuti bagi Bonda dan seluruh pekerja butik. Begitu juga dengan Umairah. Memohon cuti pada hari Jumaat untuk menemankan Bonda. Dengan rela hati kalau ada kes yang belum siap, dia akan datang pada hari Ahad. Menyelesaikan kerja yang belum siap. Jika tiada kerja, Umairah akan menapak ke butik Bonda, menolong apa yang perlu pada hari Ahad. Butik Bonda ditutup pada penghulu segala hari. Memberi peluang kepada pekerja Bonda untuk berehat. Ada empat orang pekerja wanita dan dua orang pekerja lelaki. Memberi peluang kepada pekerja lelaki menunaikan solat Jumaat. Pekerja lelaki yang bekerja di butik Bonda adalah mereka yang telah berkahwin. Isteri juga bekerja dalam butik Bonda. Umairah kenal mereka. Pasangan Irfan dan Mirna serta Lukman dan Zulaikha. Bekerja membanting tulang, sama-sama memajukan butik Bonda.

Bonda datang menatang minuman dengan kuih seri muka. Tadi Umairah yang menolong Bonda membuat kuih seri muka tersebut. Hanya pada hari cuti begini mereka dapat mengerahkan tenaga untuk memasak masakan yang istimewa sikit daripada hari biasa.
Dengan sopan Bonda menjemput minum.

“Macam mana? Umairah dah fikirkankan?” Tersentak Umairah dengan pertanyaan itu. Itu yang paling dirisaukannya untuk beberapa hari ini. Permintaan Bonda dirasakannya terlalu berat. Sampaikan selalu dia mengelak untuk tidak berfikir hal itu. Namun, ianya amat sukar.

“Umairah belum fikir lagi Bonda.” Hanya itu yang mampu dijawab untuk menyenangkan hati Bonda dan untuk melegakan hatinya sendiri.

“Umairah jangan rasa tertekan. Bonda tidak paksa. Umairah fikir betul-betul. Istikharah.” Itu cadangan Bonda. Umairah hanya mengangguk. Memang dia terfikir untuk melakukan solat Istikharah. Tapi dia takut pada jawapannya nanti.

“Ok. Nanti Umairah bagitahu Bonda ya. Sedaplah kuih buatan tangan Umairah ni,” ujar Umairah sambil mengambil satu kuih seri muka. Memakannya dengan berselera. Terus tangan Bonda mencapai pinggangnya. Mencubit kecil. Ketawa Umairah. Apa tidaknya, bukan dia yang membuat kuih itu, dia hanya menjadi tukang rasa selepas kuih itu masak.

Perbualan mereka sudah tidak berkisar pada isu yang membuat hati Umairah rusuh. Bagai dilanggar Garuda. Tapi pada cerita-cerita yang lebih banyak mengundang tawa. Hanya pada waktu cuti begitu, mereka dapat berbual dengan lebih mesra. Dengan manja Umairah melentokkan kepalanya di bahu Bonda. Dalam keadaan begini, Umairah kadang-kadang lupa bahawa dia bukannya datang dari rahim Bonda.

Malam itu, selepas solat Isyak Umairah memberanikan dirinya untuk bersolat. Memohon petunjuk dari Allah. Mana satu yang harus dia pilih antara pilihan yang dia ada. Betapa dia kerdil, mengharap pada petunjuk Ilahi agar tidak terpesong. Memohon melalui Istikharah agar diberi panduan untuk kebaikannya pada masa depan. Begitu tingginya Islam, Dia sentiasa ada untuk memberi petunjuk. Itu bagi mereka yang ingat.

Sekali lagi malamnya dipenuhi dengan pemikiran tentang permintaan Bonda. Teringat permintaan Bonda beberapa minggu yang lepas. Malam itu Bonda datang ke biliknya.
“Umairah. Bonda ada benda nak cakap.” Bonda berlalu menuju ke kerusi berdekatan meja solek. Mata Bonda menyapa ruang meja itu. Meja yang hanya memuatkan beberapa alat solek. Tak banyak. Hanya bedak talcum, gincu warna coklat, sikat rambut dan seangkatan dengannya. Dia tidak suka bersolek. Pernah dia bersolek, tapi dia rasa wajahnya seperti pelakon opera cina.
Malam itu, Bonda membongkar segala coretan hidupnya. Mengungkap sejarah kehidupan Bonda yang tidak pernah dia tahu. Menangis dia semasa Bonda bercerita. Selama ini dia tidak menyangka begitu sekali kehidupan Bonda. Penuh dengan liku-liku sengsara. Air matanya mengalir bersama kepedihan hati Bonda. Hati seorang wanita yang terluka.
Menurut Bonda, dulu dia ada bersuami. Ada anak.
Umairah terpegun. Dia tidak tahu selama ini. Dia ingatkan, Bonda juga sepertinya. Tiada saudara-mara. Patutpun Bonda tidak pernah berkahwin. Rupanya dia pernah terluka dengan perkahwinannya yang lepas. Bukan tidak ada pemuda yang cuba untuk berkongsi hidup dengan Bonda. Dengan sopan Bonda menolak setiap huluran kasih dari mereka. Memberitahu bahawa dia tidak berminat untuk menjalin kasih dengan mana-mana lelaki. Sehinggakan ada yang dengki mengatakan Bonda lesbian. Begitu kejamnya manusia apabila kehendak mereka ditolak. Tapi Bonda sabar. Dia redha. Sesungguhnya kasih Allah tiada penghujungnya.

Umairah juga pernah mengusulkan kepada Bonda untuk mencari teman hidup. Dia kasihan pada Bonda yang sendiri apabila dia tinggal di kolej. Tapi dengan tegas Bonda mengatakan dia tidak mahu terlibat dengan kasih lelaki. Bonda ingin mencurahkan sepenuh kasihnya buat Umairah. Sejak itu, Umairah tidak berani lagi untuk memberi cadangan berkaitan dengan isu ini.

1 comment:

  1. ceritanya pendek sgt tak tau apa nk komen cuma cepatlah sambung dn biarlah citenya panjang sikit barulah puas baca.

    ReplyDelete

komen la. sama2 kita abiskn air liur(eh x yah pn, jaz use u hand)