Friday, January 28, 2011

tuhan, tolong sabarkan aku

hahahaha.....
aku geram sangat sampai nak tulis juga dalam blog. even dah papar dalam fesbuk, nak juga aku semakkan blog aku dengan rasa amarah yang telah membuat aku pincang hari ni.

hilang mood. habis semua orang kena tempias. sorry geng....
tapi aku memang dah tekanan sangat ni....

tuhan, tolong sabarkan aku!

Sunday, January 16, 2011

Betulke??? 5

“Amboi, ada hati juga kau rupanya,” ujar Mawarni secara tiba-tiba.

Dia hanya menjadi pemerhati sejak tadi. Sempat dia melihat Farhan melemparkan senyum kepada seorang pelanggan restoran itu yang sudah selesai makan. Cantik. Dari perwatakan perempuan itu, mungkin dia seorang yang berkerjaya kerana ketika mereka masuk tadi wanita itu baru sahaja berbincang dengan dua orang lagi yang ada di dalam restoran ini. Ketika wanita itu melangkah untuk keluar dari restoran itu, sempat dia berpaling ke meja Farhan. Ketika itu Mawarni hanya lima langkah sebelum sampai ke meja Farhan.

“Eh, memanglah! Takkan kau tak tahu yang aku ni ada hati. Setiap orang mestilah mempunya hati. Kalau aku tak ada hati, macam mana aku boleh hidup dengan sihat sejahtera,” jelas Farhan.

“Memang semua kena ada hati.”

“Tapi hati aku sekarang lain. Ada taman di dalamnya,” ujar Farhan. Panjang senyumannya.

“Bengong.”

Lantas kertas menu di atas meja diangkat dan dipukul pada bahu Farhan. Padan muka. Kalau nak sakit lagi, selalulah buat macam tu lagi, getus Mawarni dalam hati. Suka sangat bergurau.

“Sakitlah. Aku acah saja tadi, tapi sedaplah. Kau pun rasalah sekali,” ujar Farhan sambil mengusap-usap lengannya yang sudah dijamah oleh kertas menu. Manakala tangan kanannya laju memukul Mawarni dengan kertas menu itu. Kosong-kosong. Tapi tak adalah dia memukul dengan sesungguhnya. Hanya hujung kertas itu yang menyapa tangan Mawarni di atas meja.

Sudah beberapa minggu mereka menjalin semula persahabatan. Pertemuan di klinik Mawarni bukanlah pertemuan yang terakhir. Selepas dari hari itu, mereka sudah saling bertukar-tukar nombor telefon. Kemudian sejak itu, persahabatan antara mereka sudah mesra.

Sebenarnya mereka adalah pasangan ideal untuk sebuah persahabatan. Sepanjang persahabatan mereka, mereka selalu juga gaduh. Tapi itu gaduh-gaduh manja. Rencah untuk menambah perisa dalam persahabatan mereka. Saling lengkap-melengkapi untuk memastikan persahabatan yang terjalin adalah suci.

Entah di mana silapnya mereka dulu. Zaman sekolah, langsung tidak boleh menjalin apa-apa hubungan. Sebagai musuh boleh pula. Kalau difikir, memang di luar logik akal bila zaman sekolah adalah zaman percakaran untuk setiap pertemuan mereka. Tapi sekarang, lain pula yang terjadi.

Mereka sudah hampir saling kenal-mengenali. Farhan sudah selamat dibawa balik ke kampung. Apalagi kalau bukan sebagai pemandu. Encik Abdul Sani sudah kenal dengan Farhan. Sampaikan Encik Abdul Sani membuat andaian bahawa Farhan adalah calon suaminya sebab Mawarni mana pernah bawa lelaki balik ke rumah. Bila diterangkan bahawa Farhan hanya sekadar teman rapat, Encik Abdul Sani mencebik tak nak percaya. Hmm.. mana-manalah abah.

Farhan juga sudah membawa Mawarni ke rumahnya. Sudah diperkenalkan kepada ahli keluarganya. Pemikiran keluarga Farhan, sama dengan abah Mawarni. Macam Farhan dulu yang datang ke rumah Encik Abdul Sani, memang banyak kena soal selidik oleh abah dan ibu Mawarni. Melati tak terkecuali. Semua berkobar-kobar nak tahu siapa si Farhan tu.
Mawarni pun macam tu juga. Keluarga Farhan pun banyak soal padanya.

Bila dicerita balik, memang lucu keluarganya. Menyoal macam nak temuramah cari menantu. Ketawa terbahak-bahak Mawarni bila dia cerita pada Farhan soalan-soalan yang dikemukakan kepadanya oleh Puan Zulaikha. Ayah Farhan tak adalah pula banyak soal. Pendiam sikit.Bukannya apa, abah Mawarni memang sejak dulu lagi bagitahu. Kalau boleh, kawan-kawan Mawarni kawan abah dan ibu juga. Macam keluarga Mawarni kenal dengan Asya, Jihan, Mimi, Kak Nis, Kak Ezy, Umairah dan lain-lain lagi. Mereka selalu dijemput oleh Mawarni datang ke rumah. Begitulah yang Mawarni lakukan pada Farhan. Bezanya Farhan adalah spesis lelaki kerana teman-temannya yang lain semua perempuan. Mungkin sebab tu abah berfikiran lain.

Untuk persahabatan ini, sikap merajuk, pujuk-memujuk, cakap lepas dan gurauan memang menjadi inti dalam perhubungan mereka. Keadaan ini menjadikan mereka rapat. Saling tegur-menegur. Bila sahabat mempunyai masalah, maka yang seorang lagi akan membantu.
Farhan memang boleh masuk ke dalam keluarga Mawarni. Awisy dan Abang Shafik sudah menjadi gengnya. Seringkali dia datang ke banglo. Lepak di bilik khas. Kadang-kadang, jenuh nak suruh dia balik ke rumah. Kalau dia dah malas balik, bilik Awisylah tempat dia tenggelamkan dirinya dalam lautan mimpi. Syikin pun sudah kenal dengan Farhan. Farhan sendiri yang manjakan Syikin. Tiap kali datang rumah, pasti dibelikan ole-ole untuk Syikin. Jenuh juga Kak Longnya larang Farhan buat begitu. Tak boleh dibiasakan.
Farhan pula jadi pakcik kepada ramai orang. Nabil, Nabilah, Mysarah, Lukman dan Soleha. Semuanya anak buah Farhan. Mawarni tak boleh nak buat macam Farhan, jenuhlah nak bagi ole-ole pada semua anak buah Farhan. Kopaklah poket dia. Sedangkan Syikin pun jarang-jarang dapat ole-ole dari dia. Lagipun jarang Mawarni terserempak dengan anak buah Farhan.

Farhan ni anak lelaki bongsu. Semua abang dan kakaknya sudah berkeluarga. Tinggal dia seorang sahaja masih single. Adik bongsunya yang perempuan sekarang masih belajar di UM.

Apalagi dia ni anak emak. Sampai sekarang masih duduk di ketiak emak. Bukannya duduk rumah lain macam abang dan kakaknya. Tapi sebenarnya, emak dan ayah dia yang tak suruh dia menyewa di luar sana. Senang sikit ada orang jaga pening sakit Farhan bila duduk dengan keluarga. Makan minum pun terjaga. Tak adalah asyik makan di luar sahaja.

“Han, temankan aku pergi spa,” ajak Mawarni setelah memasukkan makanan ke dalam mulutnya.

“Sejak bila pula kau pergi spa ni? Aku ingatkan kau tak pergi tempat-tempat macam tu,” ejek Farhan.

Tidak pula diketahui kalau gadis di hadapannya ini rajin ke tempat-tempat feminin sebegitu. Selalunya Mawarni minta teman pergi main boling, tenis, tengok wayang atau makan di luar. Tak pernah lagi kena ajak pergi spa, shopping barang kosmetik, temankan ikut kursus kecantikan, atau apa-apa sahaja aktiviti yang biasa dilakukan oleh wanita lain.

“Kakak aku bagi kad diskaun. Dia tak nak, jadi dia suruh aku ganti dia. Sayang pula kalau tak digunakan,” jelas Mawarni.

Wajahnya memandang Farhan dengan penuh pengharapan. Berharap sangat dia agar Farhan dapat menemankan dia untuk datang ke spa tersebut. Kalau nak harapkan dia pergi sendiri, memang dia tak akan pergi. Nak ajak orang lain, tak ada siapa lagi yang dia harapkan untuk saat-saat genting ni. Kalau tak pergi, memang membazir pula. Sayang kalau tak pergi spa tersebut. Mahal pula tu. Eksklusif.

Lagipun, sudah lama dia nak buat facial treatment. Kalau tak pun, buat body massage. Sekurang-kurangnya, dapat memanjakan diri sendiri setelah penat bekerja. Inilah masanya untuk dirinya sendiri setelah sibuk dengan komitmen lain. Tubuhnya perlu dimanjakan juga.

“Kalau tempat lain, Aku boleh temankan. Ini nak pergi spa. Opss... sorry! Aku tak nak.” Dua-dua tangan diangkat tinggi. Awal-awal lagi dia menolak. Tak sanggup nak teman, apatah lagi nak ikut.

Farhan tahu, kalau namanya spa, memang kuranglah warga lelaki di dalamnya. Jadi, dia tak nak pergi sana jadi patung cendana sebab temankan Mawarni yang akan senang-lenang buat treatment.

“Alah jomlah. Boleh kau cuci rambut sekali. Aku tengok rambut kau macam tak bercuci seminggu.” Mawarni tersengih memandang Farhan. Dia akan cuba memujuk dengan apa cara sekalipun agar lelaki ini dapat mengikutinya ke spa. Sungguh dia tidak mahu pergi berseorangan.

“Cakap baik-baik sikit ya. Aku baru pakai syampu pagi tadi. Pantene lagi tahu!” Rambutnya ditebar-tebarkan. Macam gaya model lelaki yang sedang promosi syampu Head & Shoulder.

“Dah, jangan banyak songeh. Jom.”

Mawarni terus berlalu. Tidak mahu melayan karenah Farhan. Dia tahu, pasti sahabatnya itu tidak akan mengecewakan dia.

Selangkah.

Dua langkah. Kemudian dia menoleh ke belakang. Akhirnya ikut juga mamat ni. Ingatkan tak nak ikut. Mawarni tersenyum dalam hati.









-----------------











Sebelum melangkah masuk ke dalam spa, mereka sudah capai kesepakatan. Hasil perbincangan yang dilakukan dalam kereta tadi. Hanya setengah jam diperuntukkan dalam spa itu. Tidak boleh lewat.

Habis dua gelas air di depannya. Makanan pun dia dah order walaupun baru sahaja mereka makan tadi. Terasa lapar dia menunggu orang yang tak pandai kunjung tiba. Lupakah Mawarni padanya?

Telefon yang ada poket dikeluarkan. Nama di bahagian contact dicari. Bila mendapat nama yang dikehendaki, senyumannya tersungging di bibir. Teringin pula mendengar suara itu.

“Assalamualaikum.” Bersama senyuman, salam itu diberi. Walau tidak akan terlihat oleh si penerima di sana, tetap juga dilakarkan senyuman itu pada dua ulas bibir Farhan.

“Waalaikumussalam. Awak apa khabar?” terdengar suara ceria dari sebelah sana. Bukan nama Mawarni yang ditekan tadi.

“Baik. Awak?” soal Farhan semula. Harap-harap teman bicaranya itu berada dalam keadaan sihat-sihat sahaja.

“Fine. Tak apakah ni?” tanya si dia di sebelah sana.

“Kenapa?” soal Farhan cepat. Berkerut sekejap dahinya. Hairan bila ditanya begitu secara tiba-tiba.
“Kan semalam dah call. Kalau tiap hari macam ni, tauke telekom pun boleh lingkup tau.”

Suara itu kedengaran manja pada pendengaran Farhan. Senyumannya kembali tersungging di bibir.

“Nasiblah bukan tauke telekom, tak adalah lingkup. Ni cuma doktor. Belum sampai bankrap lagi disebabkan nak telefon orang.”

“Saya pun doktor juga.”

“Never mind. Demi orang tersayang,” balas Farhan.

“Mengada. Bukannya tak boleh jumpa sebulan dari sekarang.” Kedengaran senyuman terbit dari sana.

“Ha!” terkejut Farhan dengan kenyataan yang baru dia dengar.

“Apa awak cakap tadi?” soalnya semula. Ingin memastikan apa yang didengar telingannya adalah tidak salah.

“Saya balik bulan depan. Tapi seminggu sahaja,” jelas si dia dengan suara jelas dan terang.

“Wah... tak sabarnya!” teruja Farhan mendengar.

“Tak apa. Seminggu pun tak kisah. Lenyaplah rindu saya setengah tahun ni,” sambung Farhan lagi.

“Saya pun tak sabar nak jumpa awak. Rindu sangat.” Sedikit merengek kata itu diluahkan.

“Tulah siapa suruh main jauh-jauh.”

Hanya tawa terdengar dari si pemanggil. Farhan tersenyum. Riang hatinya mendengar suara gembira dari orang tersayang.

“Saya bukan mainlah. Saya pun macam awak. Cuma awak tu jadi katak, saya jadi burung.”

“Ya. Katak di bawah tempurung emas seronok. Daripada burung di sangkar kayu, tak syok,” balas Farhan cepat.

“Wah. Makin pandai berbahasa nampak. Berapa ribu dah masuk ni?”

“Masuk apa?” soal Farhan hairan.

“Masuk perangkaplah. Tepikat dengan ayat-ayat tangkap lentok awak ni,” terang wanita itu lagi.

“So sekarang ni dah tangkap lentoklah?” tidak dibalas pertanyaan tadi. Farhan pula yang kembali bertanya.

“Dah terkulai pun,” lembut suara si penjawab.

Farhan ketawa lagi. Sukanya dia kerana dapat membuat wanita di sebelah sana tertawa riang.

“Nak kena sambutkah?”

“Kalau boleh?” ujar si pemanggil sambil jungkit kening. Suka dia mempermainkan lelaki itu.

“Hmm... beranilah cakap macam tu sebab saya tak ada di sana. Cuba saya ada di sebelah, nak keluarkan sepatah ayat pun payah.”

Wanita itu ketawa lagi.

“Buat apa sekarang ni?” soal wanita itu.

“Makan. Tapi seorang. Kawan yang seorang dah pergi spa,” jelas Farhan.

“Mawarni pun tahu pergi spakah?”

“Amboi awak, sampai macam tu sekali awak perkecilkan kawan kita,” cepat Farhan membalas.

Terdengar tawa dari sebelah sana.

“Bukan macam tulah. Ingatkan dia tak ladies sangat.”

“Sama saja macam awak. Dah nama pun perempuan.”

Farhan sudah tersenyum.


“Selesanya. Aku rasa kau patut cubalah. Berendam dalam air. Hirup udara segar, badan kena urut. Aromaterapi dia selesa sungguh. Memang best. Rasa tak nak keluar dari spa tu.”

Tiba-tiba sahaja Mawarni datang. Terus duduk di hadapan Farhan. Bila keluar dari bilik rawatan, dia sudah tidak nampak Farhan. Terus dia keluar, nak tengok kalau-kalau dia kena tinggal. Tapi masih ada kereta Farhan yang diparking di tempat asal. Kepalanya dijenguk-jengukkan untuk mencari kelibat Farhan. Akhirnya dapat juga dia menjejaki Farhan di restoran ini.

“Eh, kau tengah cakap di telefon ya? Sorry ya.” Tangannya diangkat perlahan tanda meminta maaf. Patutpun apa yang baru dia cakap tak ada balasan langsung daripada Farhan.

Farhan angkat tangan. Never mind.

“Siapa? Nurulkah?” cepat Mawarni bertanya.

Farhan hanya menganguk.

“Kirim salam dengan dia.”

Farhan mengangguk lagi.

Setelah beberapa minit, barulah Farhan menamatkan perbicaran dan meletakkan kembali telefon di atas meja.

“Best sangat. Rasa tenang dan damai. Kau patut pergi cuba tahu.” Teruja Mawarni menceritakan apa yang dialaminya tadi.

Farhan buat tak peduli dengan suara itu. Diteruskan memakan hidangan di atas meja. Masih setia dia menyudu makanan masuk ke mulutnya. Lambat-lambat makanan itu dikunyah.

Bagi pengajaran sikit pada orang yang mungkir janji ni. Kalau mungkir lima minit, masih boleh dimaafkan. Ini sampai sejam, siapa yang tak bengang. Nasiblah dia tak terfikir nak tinggalkan Mawarni saja tadi.

“Han, janganlah buat muka macam cicak nak kena lastik. Aku minta maaf,” tanpa sebarang isyarat. Mawarni faham sendiri tanda yang diberikan oleh Farhan. Tak perlu susah-susah Farhan nak bagitahu kalau sekarang ini moodnya kurang stabil. Panas dan geram!

“Janji berapa jam? Keluar berapa jam? What take you so long?” tanya Farhan dengan muka bengang.

Farhan sudah malas mahu berbalah. Takkan panas-panas macam ni dia nak bertingkah suara dengan Mawarni. Suaranya sengaja direndahkan. Tapi nada sindirannya tetap ketara.

Mawarni hanya tersengih. Sedar dengan kesilapan diri. Memang janji tadi hanya setengah jam. Tapi dia keluar dari spa itu sahaja sudah hampir ke pukul tiga. Mereka masuk tadi selepas solat Zohor. Siapa tak bengang kalau sudah macam tu. Dia tahu Farhan mesti marah padanya. Dia sudah bersedia menerima apa sahaja bentuk kemarahan Farhan yang akan dilepaskan padanya.

“Aku minta maaf. Aku tak sedar. Seronok sangat dalam tu, sampai lupa keadaan sekeliling.” Kedua-dua tangan diangkat dan disatukan. Digoncang-goncangkan perlahan.
Tanda dia minta maaf.

“Kau seronok-seronok di sana, aku pula yang sengsara tunggu kau di sini. Kalau tahu macam ni, baik tak payah suruh aku temankan kau,” Farhan melepaskan ketidakpuasan hatinya.

Keadaannya tetap sama kalau Mawarni tak minta ditemankan. Sekurang-kurangnya, hujung minggu macam ni, dapatlah dia mengqada segala tidurnya yang tidak cukup sebelum ini. Tapi disebabkan sahabatnya seorang, dia terpaksa buang masa dalam restoran ini hampir sejam lamanya.

“Ok, aku surrender. Kau cakaplah apa kau nak untuk tebus salah aku hari ini,” pelawa Mawarni.

Dia perlu tawarkan sesuatu untuk meredakan marah sahabatnya itu. Kalau dibiarkan, Farhan juga yang akan susah nanti. Orang yang selalu marah-marah, mesti cepat tua.

“Kau tawarkan apapun, tetap tak akan dapat kembalikan masa aku yang dah terbuang sia-sia. Masa lepas tak boleh diundur kembali. Terlajak kereta boleh diundur, terlajak masa, mana boleh diundur balik. Kalau tidak, aku boleh balik rumah, rehat. Tapi sekarang, sebab penat tunggu kau, aku terpaksa makan lagi walaupun kita baru sahaja makan.” Tak pasal-pasal kena tambah berat badan. Entah kenapa, berselera pula dia makan lagi walaupun dia baru sahaja makan tadi.

“Dah jangan bising. Aku lapar ni.”

Cepat Mawarni ambil makanan yang ada di depan Farhan. Nasi ayam itu diletakkan di hadapannya. Sudu diambil, dan dia sudah memulakan makannya.

Farhan terkebil-kebil memandang Mawarni. Tidak terkata dia dengan tindakan yang dilakukan oleh Mawarni.

Malas Mawarni nak layan Farhan. Makin panjang pula dia punya modal untuk membebel. Lebih baik dia buat tak endah, sekurang-kurangnya Farhan akan berhenti sendiri. Memang dia sedar bahawa masa yang sudah berlalu, tidak mungkin dapat diundur. Tetapi itu bukan kesalahan yang dia sengajakan. Dia terbuai di dalam spa tadi. Lagipun bukannya dia tidak sedar dengan kesalahannya. Dia sudah pun minta maaf. Farhan sahaja yang mengada-ngada.

“Amboi! Suka hati dia saja ambil makanan orang. Hei, itu aku punyalah!” Bila diri sudah kembali stabil, baru dia bersuara.

Ditariknya semula pinggan nasi ayamnya yang ada di depan Mawarni. Tapi Mawarni dah awal-awal tarik balik.

“Kau order lagi satu. Aku ambil kau punya,” selamba sahaja balasan Mawarni. Menjawab dengan muka tak bersalah.

Tak senonoh punya budak. Main terjah makanan aku saja. Farhan hanya mampu menggeleng melihat telatah Mawarni. Budak ni, memang tak dapat dijangka tindakannya. Orang penatlah membebel marahkan dia, senang-senang sahaja dia bantutkan apa yang dia nak lepaskan. Tak habis lagi dia nak tembak Mawarni dengan apa yang dia tak puas hati pada hari ini.

Farhan mengalah. Dia bingkas memanggil pelayan dan membuat tempahan baru bagi menggantikan makanannya yang disambar oleh Mawarni. Mawarni masih leka makan. Tidak memerhati sekeliling. Langsung dia tak ingat lagi pada tuan punya makanan yang sedang dia makan.

Memang Mawarni lapar setelah dua jam terperap dalam spa. Pertama kali masuk dalam spa memang sungguh mendamaikan. Dia teruja akan apa yang dialaminya tadi. Berendam dalam tab yang dipenuhi dengan air suam dan bunga-bunga segar. Hampir di sambung lenanya di atas katil itu kalau tidak dikejutkan oleh deringan telefon daripada kakaknya yang bertanya jam berapa dia akan pulang. Ingin sahaja dia berlama-lama di sana memandangkan keselesaan telah membuat dia terbuai bila seluruh tubuhnya diurut oleh wanita Indonesia itu. Sungguh nikmat dirasakannya.

Tidak sia-sia dia menggunakan kad diskaun yang diberikan oleh kakaknya itu. Kalau boleh, dia ingin berkampung sahaja di dalam spa itu, tapi nanti kena balik naik teksi. Malas pula dia nak tunggu teksi dalam cuaca yang membahang ini. Dia datang spa itu pun Farhan yang hantar.

Friday, January 7, 2011

Betulke???-4

“Nur Mawarni Abdul Sani.”
Tiba-tiba saja suara yang sepatutnya hanya bergema dalam hati terkeluar nyata di bibir.

Mawarni pandang depan. Perkataan yang baru pemuda itu keluarkan membuat dia hairan sedikit. Terkejut juga dia. Setakat ini belum ada lagi pesakit yang ambil pusing namanya yang terpampang di atas meja. Mawarni memandang pemuda itu lama. Seolah-olah mengingat sesuatu.

Apa kes dengan mamat ni? Takkan nama aku sama dengan nama orang yang dia kenal. Aku langsung tak tahu siapa dia. Mawarni bermonolog dalam hati. Baginya ini pertama kali pertemuan mereka. Rasanya dia belum pernah meninggalkan apa-apa sejarah dalam hidup lelaki di hadapannya ini sehinggakan lelaki itu boleh kenal dengan dia.
Sehinggakan lelaki itu boleh menyebut namanya, siap dengan nama abah sekali.
Sedangkan yang tertulis di atas meja hanya Dr. Mawarni A. Sani.

Bila pula dia pernah jumpa lelaki ini? Banyak pertanyaan yang berlengar dalam mindanya. Tak tahu yang mana satu nak tanya dulu.

“Saya kenal encikkah?” soal Mawarni hairan.

“Terlebih kenal.”

Jawapan santai lelaki itu membuat dahi Mawarni bertambah kerutannya.

“Tapi tak pernah nampak pun encik sebelum ni?” soal Mawarni lagi.

“Tapi serius, saya memang tak ingat dengan encik,” sambungnya lagi.

“Takkanlah? Doktor pernah kemalangankah?”
Kali ini lelaki itu pula jadi hairan. Kalau betul jangkaannya tentang wanita di hadapannya ini, memang tidak mustahil Mawarni akan melupakan namanya.

“Mean?” sekali lagi Mawarni menyoal.
Memang banyak kali dia kemalangan terutama ketika di awal-awal dia mendapat lesen kereta dulu.

“Pernah hilang ingatan?”

“Hahahaha... Tak pernahlah,” terlepas ketawa Mawarni. Lucu pula dengan soalan lelaki itu.

“Takkan dah lupa? Aku Farhanlah. Orang yang selalu cari pasal dengan kau masa sekolah menengah dulu,” bersungguh lelaki itu menerangkan.

Mawarni pandang wajah lelaki itu. Nabil sudah bermain sendiri bila Farhan menghulurkan model gigi manusia kepadanya. Berputar-putar model itu dibuat oleh Nabil. Tiga ratus enam puluh darjah. Dibelek ke kanan dan ke kiri. Hairan dengan apa yang dipegangnya. Begitulah selalunya kalau kanak-kanak datang ke bilik Mawarni. Pasti tidak lepas menjadikan model gigi itu sebagai bahan mainan. Teruja mereka dengan alat mainan baru itu.

Sekali lagi Mawarni memandang lelaki yang ada di hadapannya. Lama. Dia masih belum menjejak siapa sebenarnya jejaka itu. Cuba mengenang kembali zaman sekolahnya. Sungguh dia tidak ingat. Flash back yang dia lakukan masih belum dapat menjejaki cariannya.

“Lelaki yang selalu cari gaduh dengan kau dulu,” Farhan menjelaskan tanpa dipinta. Kasihan pula dia pada Mawarni yang sudah pegang dahinya nak ingat balik benda yang lepas.

Mawarni pandang wajah di hadapannya. Kalau orang yang selalu cari gaduh dengan dia masa sekolah menengah dulu hanya seorang.
Lelaki yang membuat dia sungguh menyampah.
Tanpa sebab munasabah pun dia boleh sentap.
Semua sebab sifat yang menjengkelkan daripada lelaki itu.

Orang tu namanya siapa ya...

Penat Mawarni mengingat. Mungkin sebab dia sudah buang nama itu, maka dia langsung lupa siapa dia. Langsung tak mahu ingat.

Sekali lagi dikerah otaknya mengingat. Lama. Sebelum...

“Oh, betullah! Farhan...”
Akhirnya berjaya juga dia kembali mengimbas nama lelaki itu. Penat juga dia nak cari balik segala nama yang telah dipadam dalam memori otaknya.

“Biar betul? Ya Allah. Tak sangka jumpa kau. Dah ada anak pun.”

Rasa terujanya tak habis lagi. Berfungsi juga ingatan Mawarni ke tempat sediakala setelah penat mengerah minda. Tangannya ditunjuk ke arah Farhan. Ceria kelihatan pada raut wajahnya. Langsung tidak mengenang sengketa mereka sebelumnya. Disambut teman lama dengan begitu riang. Sebenarnya nama dan wajah itu sudah dilupakan.


---------------

"Hoiii! Butakah? Mata kau letak di mana ha? Kalau dah tahu rabun tu, pakai kaca matala."

Sergahan kuat telah membuat gegendang telinganya bergetar hebat. Satu suara kedengaran bila secara tidak sengaja Mawarni melanggar sesuatu. Sebenarnya dia telah terlanggar makhluk tuhan. Juga manusia sepertinya. Tapi sebenarnya dia tak perasan pun. Bila melangkah saja keluar library, terus dia terlanggar. Tak sengaja! Matanya bukan dua pasang yang boleh nampak pandangan belakang sekali. Dan dia pun tak boleh putar lehernya ke 360 darjah.

Mawarni hanya membiarkan lelaki itu marah sebentar. Lama juga dia buat tak peduli. Lama juga si lelaki membebel, marahkan Mawarni. Tapi Mawarni buat tak peduli dulu sebab dia nak kembalikan diri kepada emosi yang betul sebab masa tu dia tengah blur.
Dengan rasa bersalah, terus Mawarni pungut bukunya satu-persatu. Buku dia dan buku lelaki yang sedang memarahinya juga dipungut. Kemudian diasingkan dan ingin diserahkan kepada yang empunya diri.

Dalam hati geram juga. Rasa nak balas tu memang tinggi. Tapi Mawarni sedar diri. It was her fault. Tak pandang keliling masa keluar dari pusat sumber sampai tak sedar terlanggar anak gajah! Main redah saja.

Mawarni toleh belakang. Arah suara itu datang rasanya dari belakang. Masa nak hulur buku tu, baru nampak muka dia. Mawarni terkebil-kebil memandang. Diusap perlahan matanya. Diangkat kembali kepalanya. Mahu memastikan apa yang dia pandang tidak salah. Lah... Mr Monitor rupanya!

Mata Mawarni terbeliak. Tapi betulkah dia? Memang tak salah lagi. Itu sememangnya Farhan. Tapi kenapa kata-katanya sangat kasar? Nampak lain macam saja. Apa tidaknya, warna muka dah merah padam. Pastinya Mr. Monitor menahan marah. Siapa lagi yang dia naik marah kalau bukan kepada Mawarni. Jadi, untuk kurangkan kemarahan, maka maaf pun dipinta.

"Saya minta maaf. Tak sengaja." Polos Mawarni memohon kemaafan atas kesilapannya tadi. Langsung tidak ambil hati dengan kata-kata yang kurang baik yang terzahir dari mulut ketua pengawas itu.

"Awak ingat dengan minta maaf, everything was settle?” soal Farhan. Matanya tajam merenung Mawarni.

“Settle if you forgive me,” jujur jawapan Mawarni.

“Lepas tu buat lagi. Inilah perempuan. Maaf tu macam tiada harganya," offhanded Farhan membalas.

Geramnya hati Mawarni hanya tuhan yang tahu. Kenapa dia perlu libatkan semua golongan wanita untuk kesalahan yang hanya dia seorang saja yang lakukan?

“Kenapa dengan awak Farhan. Saya yang buat kesalahan, tak perlulah awak kaitkan dengan perempuan secara umum.”

Memang tak munasabah langsung lelaki yang ada di depan Mawarni sekarang. Kalau boleh, hendak sahaja Mawarni membalas dendam. Menendang lelaki itu, biar dia jatuh dari tingkat atas bangunan ini. Jatuh berkecai ke bawah sana.

“Memang macam tulah perempuan. Lepas minta maaf, buat lagi.” Farhan sudah mengalihkan tubuhnya. Menyampah pula tengok perempuan ni.

“Emak awak pun perempuan Farhan. Tak baik awak cakap macam tu. Kalau dah minta maaf, maknanya dah menyesal dengan kesalahan tersebut, sebab tu kita minta maaf. Kalau buat lagi, itu bukan disengajakan. Siapa yang suka buat kesalahan yang sama,” perlahan suara Mawarni. Dalam pada sakit hati pada Farhan, sempat lagi nasihat diberi.

“Kenapa nak kaitkan dengan emak saya pula?” sinis Farhan menyoal.

“Bukan saya yang bangkitkan. Tapi awak yang mulakan.”

“Awak ni, memang...” telunjuk Farhan sudah hampir dengan muka Mawarni. Bibirnya diketap keras.

"Saya minta maaf. Memang tadi tak sengaja," cepat Mawarni memohon. Dia mengelakkan tubuhnya agar tidak tersentuh dengan jari Farhan yang sedang menunjuk ke arahnya.
Sekali lagi Mawarni mengakui kesalahannya. Meminta agar dimaafkan. Mukanya diangkat untuk melihat respons dari si jejaka. Harap-harap, janganlah diperpanjangkan isu yang berlaku sekarang. Berharap agar Farhan memberi kemaafan dan segalanya akan selesai hari ini juga.

"Yelah tu. Semua sebab awak yang cuai. Kalau nak berborak pun, carilah tempat yang sesuai. Bukannya tengah jalan. Tempat ni tiada nama awak tahu, sampai nak kuasai kawasan ini sendirian." Pedas tembakan Farhan.

"Awak... Saya dah beradab ni minta maaf. Tapi awak perkecilkan apa yang saya usahakan. Lantak awaklah!" Ada nada geram pada perbicaraan Mawarni. Sudah tidak mampu ditahan, akhirnya terkeluar juga rasa tidak puas hatinya. Dia ingat, aku ada masa nak layan dia, getus Mawarni cepat.

“Memang perempuan... menyusahkan........”

Mawarni terus berlalu. Tak tengok lagi muka dia. Terdengar juga dia membebel. Malas nak layan. Biar kering air liur dia nak berkata apa sahaja. Kau buatlah apa kau nak buat Farhan. Buat sampai kau puas hati. Agar kau lupakan kes ini untuk selamanya. Laju langkah Mawarni meninggalkan ruang legar di depan pusat sumber itu. Langsung tidak toleh ke belakang lagi. Dibiarkan saja.


----------------

“Kenapa senyap? Mengulit kenangankah?” soal Farhan tiba-tiba.

Terganggu konsentrasi Mawarni sekejap. Terhenti apa yang dia lakukan. Habis terbang semua ingatan-ingatannya yang sudah lepas. Habis bersepah ekoran teguran Farhan yang tiba-tiba itu.

“Mana ada,” tergesa-gesa dia membangkang. Tidak mahu dia tertangkap ketika sedang berkhayal tentang kehidupan lampaunya.

Farhan hanya tersenyum melihat telatah Mawarni. Bukannya dia tidak tahu apa yang gadis itu fikirkan tadi. Dia pun memikirkan perkara yang sama. Tentang tingkahnya yang telah membuat Mawarni tidak suka padanya. Kalau dikenang kembali, memang mengaibkan. Sungguh tak sangka dia boleh berkelakuan sebegitu.

Bila diingat kembali, dia rasakan bahawa Farhan zaman sekolah itu adalah bukan dirinya yang sekarang. Berbeza. Rasanya, Farhan dulu adalah manusia yang tiada sifat kemanusiaan.

“Ingatkan pertama kali berjumpa ni, kau lemparkan segala khazanah yang ada atas meja kau,” sapa Farhan sambil tersenyum.

“Takkanlah aku nak buat macam tu pula. Memang akulah manusia kejam kalau aku buat macam tu lagi. Ingat lagi rupanya kau pada aku,” terharu Mawarni bila ada teman sekolah yang masih mengenalinya.

“Nama kau lah yang susah aku nak lupa. Memang sentiasa di ingatan,” jelas Farhan bersama senyuman.

“Kenapa pula?” Soal Mawarni laju.

Tidak percaya dengan kenyataan Farhan. Tidak mungkin dia menjadi penghuni untuk salah satu folder dalam fikiran Farhan. Kalau difikir secara logik, pastilah dia menjadi benda pertama yang akan dipadam oleh Farhan. Terus dihantar ke recycle bin. Empty recycle bin. Macam yang dia lakukan.

“Aku nak jumpa dan mohon maaf pada kau,” sayu suara Farhan.

Farhan memandang Mawarni. Mengharap ada ruang untuk permohonan maafnya. Dia adalah manusia yang memang sepatutnya meminta maaf atas segala ketelanjuran yang dia lakukan dulu. Ketelanjuran yang dia sengajakan. Memohon diampunkan kesalahannya yang memang di luar batasan.

“Ada pula macam tu.” Mawarni tersenyum.

“Memang tak mustahil. Dulu, aku jahat sikit. Selalu buat kau sakit hati,” kata Farhan sambil tersenyum.

“Tak adanya aku nak balas balik semua tu.”

“Taklah. Kan aku ni selalu cari pasal dengan kau dulu,” jelas Farhan. Sekali-sekala dilayan karenah Nabil yang datang padanya. Mungkin penat di pangkuan, kanak-kanak itu turun dari pahanya. Berpusing-pusing Nabil di sekitar bilik Mawarni sambil menyentuh benda yang ada di situ.

“Benda lepas Farhan. Sekarang ni kita dah dewasa. Aku dah lupakan pun kejadian zaman kanak-kanak Ribena. Itu zaman kanak-kanak kita yang tak cukup matang lagi,” jelas Mawarni.

Bila dikenang kembali, memang mereka adalah kanak-kanak yang menginjak usia remaja. Usia yang dah berubah, tapi sifat keanak-anakan masih menggebu. Memang tak matang lagi.

“Aku rasa berdosa sangat. Masa lepas kau PMR, aku cari kau. Nak minta maaf,” sekali lagi Farhan bersuara.

“Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Semua tu dah berlalu. Aku dah lupakan pun,” jelas Mawarni cepat. Tidak mahu dia membiarkan Farhan terus terjebak dalam keadaan serba salah.

“Tapi aku tak lupa sampai sekarang. Masa tengok nama kau tadi, tu yang aku terkejut. Orang yang selama ini aku cari kini dah jumpa.”

“Memang tak sangka, sekian lama kita tak jumpa. Akhirnya panjang juga pertemuan kita. Berjumpa lagi di sini. Siap ada anak lagi,” ujar Mawarni sambil pandang Farhan.
Dia masih tidak percaya dapat jumpa musuh dinginnya sejak zaman purba. Nama yang sudah tidak diingat lagi bila masuk ke sekolah baru. Memang dia pernah lupakan kewujudan Farhan.

“Ini bukan anak aku. Anak kakak aku. Dia sibuk, so tak dapat bawa anak dia ni. Padahal Nabil dah nangis-nangis sebab sakit gigi. Nabil pula liat nak pergi klinik. Penat juga pujuk supaya cabut gigi. Sempat juga kopak dompet aku sebab pujuk dia,” kata Farhan sambil ketawa.

“Nasib baik kau yang bawa, ada rezeki kita jumpa lagi.”

Mawarni pandang Nabil yang bermain dengan kerusi rawatan.

“Kau macam mana? Dah jadi ibu juga?” tanya Farhan.

Keriangan mula bertamu. Sudah sekian lama dia menjejak Mawarni. Kemaafan perlu dipohon atas kekhilafan diri yang lalu. Akhirnya tuhan makhbulkan doanya. Dapat bertemu semula. Tambah dia bersyukur apabila Mawarni langsung tidak menyimpan dendam padanya.

“Dah,” jawab Mawarni sambil menunjukkan ibu jarinya.

Farhan tertawa senang. Tidak disangka, Mawarni seorang yang humor. Silapnya juga dulu sebab dia yang selalu cari gaduh hingga tidak sempat untuk mendengar jenaka dari Mawarni.

“Aku ada ibu jari ni saja. Tak kahwin lagi, macam mana nak jadi ibu lagi. Tapi dah ada anak,” terang Mawarni.

Farhan tergelak.

“Anak kucing,” laju dijawab Farhan. Ingin melayan sekali lawak Mawarni.

“Salah. Ada dua anak, anak tekak dan anak rambut,” jelas Mawarni.

Farhan tergelak lepas. Lucu dengan kata-kata yang baru keluar dari bibir Mawarni. Walaupun baru berjumpa semula, namun sikap yang ditunjukkan oleh Mawarni seolah-olah mereka sudah berkawan puluhan tahun. Baru diakui kini, gadis di hadapannya adalah seorang yang baik. Penuh dengan komedi. Entah di mana silapnya dulu. Selalu membuatkan dia tidak senang dengan Mawarni. Sering mencari gaduh dengan gadis ini.
Ah, ini semua mungkin silapnya! Selalu tinggikan egonya tidak kira tempat. Ataupun seperti kata Mawarni, mereka dulu adalah kanak-kanak Ribena. Belum mencapai tahap kematangan lagi.

“Anak telinga, anak mata, anak hidung tak ada?” Soal Farhan sambil mengangkat keningnya.

Mawarni menahan tawa. Pertama kali berjumpa, keriangan dan gelak ketawa kini menguasai mereka berbanding zaman sekolah dulu yang lebih dirajakan oleh suam-suam pertelingkahan. Situasi mereka kini seolah-olah mereka adalah sahabat lama yang tidak pernah bertikam lidah atau bermasam muka, tapi sekarang mereka macam kawan yang begitu rapat. Mesra dalam masa yang singkat!

“Betul betul betul...” ajuk Mawarni. Tiru gaya Upin.

“Dah lama sebenarnya aku nak jumpa kau. Tanya juga dengan kawan-kawan kau. Tapi semua dah tak jumpa kau. Aku nak minta maaf atas ketelanjuran masa silam aku. Lelaki ego yang selaku cari gaduh dengan kau. Jahatkan aku. Selalu kenakan kau.” Tidak habis lagi Farhan dengan misinya.

Memang Mawarni tidak berhubung lagi dengan rakan-rakannya di sekolah lama. Tapi bila cuti, dia akan tetap bertanya khabar kepada kawan-kawannya. Mungkin teman-temannya tidak mahu mengaitkan lagi dia dengan Farhan. Mereka tahu sejarah antara mereka berdua.

“Ok. Forget it,” pantas Mawarni membalas. Tidak mahu lagi mengungkit perkara yang sudah lepas. Senyuman diberikan kepada Farhan. Memberikan keyakinan kepada Farhan bahawa sememangnya dia sudah memaafkan Farhan. Melupakan semua perkara yang sudah berlalu.

Manisnya senyuman, ujar Farhan dalam hati yang melihat Mawarni tersenyum simpul. Giginya putih tersusun indah dan teratur. Macam model iklan ubat gigi yang sedang memasarkan produk mereka. Begitu cantik giginya. Patut pun jadi doktor gigi, getus Farhan dalam hati.

Memang perlu untuk Mawarni memiliki gigi yang cantik sebagai seorang doktor gigi. Kalau tidak, orang tidak akan ada keyakinan jika doktor giginya juga punya masalah gigi sama seperti pesakitnya!

Thursday, January 6, 2011

Betulke???-3

Ketukan di pintu menghentikan tumpuan kerja Mawarni seketika. Moga ini pesakit yang terakhir, doanya dalam hati.

“Masuk,” arah Mawarni.

Kelihatan Firyal membawa masuk alatan baru untuk rawatan pergigian. Dia sentiasa cekap dalam memudahkan tugas Mawarni.

“Doktor, ini pesakit terakhir untuk pagi ini. Lepas ni you boleh rehat,” jelas Firyal. Dia pun kasihan pada ketuanya itu. Memang kelihatan lesu sedikit ekoran merawat pesakit yang tidak putus datang.

Mawarni mengangguk. Firyal memang pekerja yang memahami. Dia tahu bila saat-saat genting dan saat lapang Mawarni. Mawarni berlalu ke singki. Sabun Dettol yang ada diambil dan disapu ke tangan. Dia membasuh tangannya bersih-bersih. Kemudian dia mencari glove baru.

Kedengaran pintu biliknya dibuka. Suara Firyal yang mengarahkan orang masuk membuat dia tersenyum. Tak payah nak susah-payah keluarkan suaranya untuk menjemput orang masuk.

“Silakan duduk.”

Mawarni memanggil pesakitnya. Belum berpaling ke belakang. Masih menyediakan alatan untuk rawatan.

“Tak nak.”

Terdengar suara kanak-kanak membantah. Mawarni lantas berpaling. Tersenyum melihat seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia lima tahun sedang menolak tangan seorang lelaki. Mawarni melemparkan senyum kepada kanak-kanak itu. Memang begitulah selalunya, kanak-kanak fobia untuk datang bertemu dengan doktor gigi. Macam dia masa kecil, tapi dia lebih dahsyat lagi.

“Tak apa dik. Akak buat tak sakit pun. Adik tak rasa pun gigi adik tercabut.” Lembut suara Mawarni.

Mawarni cuba memujuk. Sudah beberapa kes yang ditanganinya melibatkan kanak-kanak. Takut nak hadapi dia. Hanya pujukan yang lembut mampu mencairkan mereka. Tidak perlu suara yang kuat untuk mengarahkan kanak-kanak itu mengikut cakapnya. Kalau kena caranya, mudahlah memujuk. Dia bergerak menghampiri kanak-kanak itu. Kalau dah kena pujukannya, barulah dibawa kanak-kanak itu menuju ke kerusi khas untuk rawatan
Kanak-kanak tadi masih membisu. Menarik-narik tangan lelaki yang ada di sisinya, meminta dibawa pulang.

“Tak sakitlah. Along kan hero. Kalau hero, tak takut apa-apa tahu.”
Baru kini suara lelaki itu keluar. Mawarni memandang lelaki itu lantas tersenyum. Dia perlukan pertolongan lelaki itu untuk memudahkan kerjanya. Untuk menyingkatkan sesi pujuk-memujuknya.

Mawarni dan lelaki itu sama-sama memujuk kanak-kanak itu. Akhirnya sesi pujukan berakhir dan berjaya apabila lelaki itu menjanjikan bahawa dia akan membawa kanak-kanak itu ke KFC.

“Siapa nama adik?” Mawarni cuba berbual dengan kanak-kanak itu untuk menghilangkan gentar. Kanak-kanak memang akan sentiasa takut bila berdepan dengan doktor gigi. Rasa macam watak jahat pula.

“Nabil.” Akhirnya keluar juga suara si kanak-kanak setelah lama berdiam diri. Dia didudukkan di atas kerusi.

“Nabil tahu tak? Hari tu Power Rangers yang warna merah sakit gigi,” penuh perasaan Mawarni memberitahu.

“Ha... kenapa dia sakit gigi?” begitu ketara kejutan yang dialami oleh Nabil. Terkebil-kebil dia memandang Mawarni. Tak sangka hero yang dibanggakannya itu juga mengalami sakit gigi.

Lelaki yang membawa Nabil turut tersenyum. Respon yang diberikan Nabil membuat dia rasa lega. Begitu payahnya dia nak memujuk Nabil untuk sampai ke sini. Malah sebelum masuk tadi, sempat dia berkejaran dengan Nabil bila nama Nabil dipanggil masuk ke bilik rawatan.

Perlahan-lahan Mawarni menolak dada Nabil. Nabil hanya menurut. Secara tidak sedar, sekarang Nabil sudah selamat berbaring di atas kerusi rawatan. Tersenyum Mawarni melihat reaksi itu.

“Yes. You know why? Tiap kali dia habis berlawan dengan raksasa, kanak-kanak akan bagi lolipop pada Power Rangers. Sebagai tanda ucapan terima kasih sebab dia telah berjaya selamatkan dunia,” terang Mawarni.

Begitu cekap tangan Mawarni meneliti sekitar mulut Nabil. Firyal di sebelah tersenyum pada Nabil. Tangan Firyal memegang lampu khas. Dia mengikut hala tangan Mawarni. Memberi cahaya agar memudahkan penglihatan Mawarni. Agar senang mengesan masalah gigi yang dialami Nabil.

“Tapi Nabil tak bagi lolipop.” Laju Nabil membalas. Biarpun susah untuk berbicara, tapi tekad juga Nabil memberitahu.

Mulutnya sudah terbuka luas. Perkakas Mawarni sudah selamat meronda di dalam mulutnya. Baiknya Nabil. Dia langsung tidak menepis tangan Mawarni yang menjelajah ke sekitar mulutnya.

“Nabil budak bijak. Power Rangers pun cabut gigi. Dia tak nangis tahu. Sama macam Nabil yang tak nangis bila kena cabut gigi. ”

Sambil menjalankan tugasnya, Mawarni berbual-bual dengan kanak-kanak itu. Banyak yang dibualkan. Namun, memandangkan sedang dirawat, Nabil lebih banyak berdiam diri. Hanya Mawarni yang banyak bercerita.

Suntikan awal ke gusi tadi sudah membuatkan mulut Nabil kebas. Ditepuk-tepuk pipi Nabil. Menguji akan keadaan pesakitnya sekarang. Nabil langsung tidak memberi sebarang tindak balas hasil ketukan kecil itu. Maknanya ubat pelali sudah selamat menjalankan misinya.

Mawarni bergerak ke langkah seterusnya. Tidak sampai sepuluh minit diperlukan untuk mencabut gigi Nabil. Akhirnya sebatang gigi yang terletak di hujung gusi selamat berada di penyepit itu. Sudah bercerai dari soketnya. Gigi geraham Nabil sudah berlubang. Memang perlu dicabut. Kalau tidak, Nabil akan merasa sakit apabila mengunyah makanan.

“Dah siap,” ujar Mawarni sambil menunjukkan sebatang gigi geraham yang sederhana besar kepada Nabil.

”Ha! Dah siapkah? Cepatnya. Nabil tak rasa pun,” balas Nabil dalam pertuturan yang lambat. Tidak mampu membuka mulut besar-besar. Ada kapas di dalam mulutnya.

“Kan akak dah cakap, cabut gigi ni tak sakit. Sekejap saja. Macam kena gigit semut. Jadi lepas ni kalau gigi sakit, cepat-cepat datang jumpa doktor ya,” pujuk Mawarni lagi. Dia lebih suka menggelarkan dirinya sebagai kakak daripada dipanggil doktor di hadapan kanak-kanak.

Kanak-kanak seperti Nabil perlu diberi keyakinan untuk bertemu dengan orang sepertinya. Tidak perlu ada perasaan takut.

Gigi yang dicabut dibuang dalam tong sampah. Sebelum itu, ditunjukkan kepada Nabil giginya yang rosak. Geli-geleman kanak-kanak itu melihat giginya yang sudah rosak. Mawarni hanya tersenyum melihat telatah kanak-kanak itu. Geli konon, padahal itu giginya sendiri.

“Kalau tak mahu gigi jadi macam ni lagi, cepat-cepat jumpa doktor,” kata Mawarni lagi.

Mawarni membuka glove lalu dibuang ke dalam tong sampah. Dia menuju ke mejanya. Di sana, pemuda tadi masih setia menunggu. Orang yang membawa Nabil mahu masuk ke dalam biliknya.

Nabil menuju ke arah lelaki tersebut. Begitu santai dia duduk di pangkuan lelaki itu. Apa yang dia perasan, lelaki tadi cuma tersenyum mendengar celoteh Mawarni semasa sesi pencabutan gigi. Apa yang pasti, habis Nabil kena gula-gulakan dengan cerita yang tak logik dek akal.

“Saya dah cabut gigi dia. Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Dia boleh makan apa sahaja. Tapi kalau boleh, janganlah bagi gula-gula. Nanti dah lasak balik gigi dia, baru boleh bagi,” Mawarni menerangkan kepada pemuda yang masih senyap di hadapan mejanya.

“Nabil sekarang dah boleh makan puas-puas. Makan banyak-banyak ayam KFC pun tak apa,” kata Mawarni sambil memandang Nabil yang nampak riang di pangkuan lelaki itu. Langsung tak ingat bahawa dia baru sahaja menghilangkan giginya sebatang dari gusinya.

Nabil hanya menganggukkan kepala.

“Kalau boleh, biar dia gigit kapas yang ada dalam mulutnya sekarang selama lima belas minit. Kalau kapas dah penuh dengan darah atau dia tak selesa, ganti dengan kapas lain. Nanti saya akan bekalkan. Pastikan dia tidak berkumur selama sejam dari sekarang. Jangan biarkan dia cucuk dengan jari atau lidah bekas yang baru kena cabut. Jangan gigit kawasan yang kebas. Saya akan bagi ubat, nanti ambil di kaunter. Ubat tu makan kalau gigi sakit. Kalau tidak sakit, jangan bagi dia makan. Antibiotik yang ada kena habiskan,” panjang nasihat Mawarni.

Tuesday, January 4, 2011

Betulke???-2

Kereta dipandu dengan kelajuan yang sederhana. Gelora hati biarpun ingin cepat sampai ke tempat dituju tetap ditahan dengan sebaiknya. Tidak mahu kejadian yang tidak diingini menimpa. Cukup-cukuplah dia hendak ke hospital sebab nak lawat orang, bukan sebab nak jadi salah seorang yang kena lawat pula nanti.

Saat pertama kali menjejakkan kaki di Hospital itu, dia hilang diri sekejap. Akhirnya sampai juga dia di sini. Subang Jaya Medical Centre(SJMC). Hospital swasta yang dimiliki oleh Sime Darby Group, salah satu konglomerat yang berjaya di Malaysia. Kalau bukan sebab nak tengok kawan, mungkin sampai sekarang dia tidak akan menjejakkan kaki ke hospital ini. Kalau tak dibaca sign board betul-betul, memang boleh terlajak jauh. Terus ke KLIA.

Apabila sampai, Mawarni terus bergegas ke kaunter yang ada di lobi hospital. Pada nurse yang bertugas ditanyakan tempat yang ingin dituju. Dalam kalut-kalut, memang tak tersusun ayat yang ingin dikeluarkan. Sampai cik nurse yang ada di depan pun suruh dia mengucap sebab dia sendiri yang tak dapat tangkap apa yang sedang diperkatakan oleh orang di hadapannya. Kalut macam bapa-bapa yang tunggu isteri di wad bersalin.

“Maafkan saya, saya nak tahu bilik Encik Iqbal di mana? Dia baru dimasukkan tadi sebab kemalangan.” Dalam keadaan tak sempurna diri, akhirnya selamat juga apa benda yang ada di fikirannya diluahkan.

Menyesal dia tak tanya Munawarah tadi bilik mana satu yang menjadi penginapan sementara mereka. Menonong saja dia datang ke hospital tanpa mengetahui maklumat lanjut tentang butir-butir penting. Syukurlah dia masih dengar Munawarah ada menyebut SJMC. Kalau telinganya juga tidak berfungsi dengan baik tadi, memang aniaya diri sendiri. Terpaksa bertapak ke HUKM atau hospital lain yang ada di Kuala Lumpur ni semata-mata nak jejak mereka sebab dia sudah cuba call Munawarah semula, tapi tidak dapat disambung.

“Cik naik lif di sebelah kiri ni. Naik ke tingkat dua. Belok kanan. Nombor bilik dia ialah 13,” terang nurse itu sambil tersenyum setelah hampir beberapa minit untuk mencari data-data yang diperlukan oleh pelanggannya.

“Terima kasih Muslimah,” balas Mawarni sambil berlalu ke lif yang telah ditunjukkan tadi. Sempat lagi membaca tanda nama yang tersangkut di sebelah kiri nurse yang bertugas itu.

“Hish mana pula aku letak telefon ni.”

Dalam dia menonong berjalan, sambil mulut tak henti membebel. Puas dia mencari telefon bimbit yang tadinya disumbat ke dalam handbag. Rasanya dia sempat sambar telefon itu tadi. Ingin dia mengkhabarkan kepada sahabatnya itu bahawa dia sudah sampai ke tempatnya. Sekurang-kurangnya menghantar SMS.

Pintu lif terbuka. Mawarni tergesa-gesa keluar daripada lif bila angka sudah menunjukkan nombor dua.

“Akhirnya,” getusnya perlahan apabila melihat cahaya daripada telefon bimbit di dasar handbagnya.

Inilah padahnya kalau beg dah jadi macam poket Doraemon. Segala macam harta karun boleh ditempatkan dalam handbagnya. Kalau muat peti televisyen, pasti akan disumbat juga.

Nama Munawarah dicari dan didail. Beberapa saat menunggu, tiada juga terdengar suara si penerima.
“Ouch.. what the...” suaranya bergetar. Tidak jadi ayat itu disambung. Abah pesan, mulut kena jaga. Jangan terlalu laser.

Telefon yang tadi begitu santai melekap pada telinga kini sudah beralih arah. Nun jauh tersadai di penjuru pintu lif. Bahunya yang dilanggar tadi terasa sakit sedikit. Perit terasa. Cepat tangannya memicit-micit perlahan bahunya sebentar sebelum kembali waras.

“Alamak, telefon aku! Dahlah susah payah pujuk abah nak minta telefon ni. Dah berapa kali jatuh. Harap-harap selamat lagilah kau handphone,” panjang bebelan Mawarni. Berbicara seolah-olah telefon bimbit yang masih di lantai itu faham apa yang diperkatakannya. Balckberry warna hitam sudah berada di tangan. Hadiah Encik Abdul Sani sempena dia tamat belajar.

Diteliti telefon itu. Masih dalam keadaan asal, kalau telefonnya yang lama, pasti bateri sudah tercerai dari badan. Tapi Balckberry itu masih nampak sihat. Tak tahulah pula boleh on atau tidak.

Mawarni menoleh ke belakang. Lelaki yang melanggar juga sedang memandang dia. Entahlah. Dia yang melanggar atau dia yang terlanggar, Mawarni pun tak pasti.
“Awak boleh jalan elok-elok tak? Mata letak di mana? Di punggungkah?” Sindiran pedas dilemparkan ke arah lelaki yang masih setia berdiri. Rasanya dia bukanlah manusia kerdil sampai lelaki itu tak nampak dia.

Terkebil-kebil lelaki itu memandang Mawarni. Bukan akukah yang dilanggar? Kenapa aku yang kena marah? Dia pun bermonolog dalam hati. Rasanya perempuan tu yang langgar dia, tapi perempuan tu pula melebih-lebih marah.

“Aku K.I.V lah nak marah kau. Nasib baik aku nak cepat, kalau tak memang habis kau, aku sembur.”

Marah terpaksa ditahan. Tangan dilekap ke dada. Apa yang penting dia perlu cepat bertemu temannya, Munawarah. Perlu ada di sisi sahabatnya sekarang kerana temannya itu lebih memerlukan dia daripada lelaki ini yang nampaknya memang tidak perlu untuk dimarahi.

“Make sure I will not see you again! Sebab kalau saya jumpa awak lagi, saya nak qada marah saya pada awak.” Dah lah aku tengah tak stabil, dia boleh pula langgar aku. Mawarni masih lagi membebel.

Begitu sayang dia dengan telefonnya yang hampir menjadi arwah. Cuba dihidupkan telefon itu. Bersinar matanya bila telefon itu berfungsi seperti dalam keadaan asal. Dia memalingkan wajahnya memandang lelaki yang masih setia berdiri beberapa langkah darinya sebelum melangkah ke bilik yang menempatkan suami Munawarah.

Kenapa dengan lelaki itu? Penuh tanda tanya dalam kepala Mawarni. Hairan dia dengan lelaki itu. Melihat dirinya seolah-olah nampak hantu. Takkan lelaki itu tak sihat? Bukan macam pesakit pun. Tapi, nampak macam lelaki normal. Pakai baju pun macam seragam doktor. Maknanya dia doktor di sinilah. Tapi kenapa dia nampak aku macam orang tak betul. Blur!

Tidak sedar akibat leka bermonolog sendirian, dia terlepas beberapa pintu daripada pintu bilik yang sepatutnya dia masuk.

Lelaki itu masih memandang wanita yang terlanggarnya tadi. Senyum sendiri melihat wanita itu terlajak langkah sehingga terlepas arah. Lantas berpusing balik untuk ke bilik yang hendak ditujunya. Harap-harap aku tak jumpa dia nanti, tak pasal-pasal kena sembur walaupun sudah jelas bukan salah aku.

------------------

“Ara!” Ayat pertama yang keluar dari bibir Mawarni saat pintu bilik itu ditolak dari luar. Nombor bilik 13 itu laju dimasuki oleh kakinya.

Wanita yang sedang duduk di kerusi itu pantas menoleh. Matanya merah. Pipinya nampak kebasahan. Mukanya jelas kelihatan sembab. Mungkin terlalu banyak menangis sepanjang hari ini.

“Erni!”
Laju kaki Ara mendapatkan sahabatnya itu. Badan sahabatnya diraih dalam pelukan. Di bahu Mawarni, sekali lagi tangisan yang bersisa ditumpahkan. Sedih jiwanya. Saat ini, hanya air mata yang mampu mendamaikan jiwanya. Sesekali, tangisan menjadi penenang jiwa.

Jatuh kasihan Mawarni melihat keadaaan temannya. Temannya dibawa duduk di sofa yang berdekatan. Lelaki yang masih lena di atas katil di pandang sayu. Iqbal begitu polos dalam tidurnya. Wajahnya penuh dengan luka-luka kecil. Kaki tergantung ke atas ditahan dengan anduh. Tangan di katil juga berlilit kemas. Warna-warna putih kapas sudah mendominasi keseluruhan jasadnya. Hanya bahagian wajah yang terbuka. Terdapat tompok-tompok merah dan kuning mewarnai kain bercorak putih itu. Darah bercampur ubat. Tiang yang menyambungkan air dan darah ke dalam tubuh juga berdiri statik di sebelah kanan Iqbal.

“Kenapa boleh jadi macam ni?” Setelah tenang baru Mawarni mengemukakan kemusykilannya.

“Pemandu mabuk. Langgar lari,” ringkas jawapan Munawarah.

“Ara dah lapor polis?” Mawarni memandang sayu teman yang sedang terseksa di atas katil. Kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian orang lain. Kesakitan yang bukan hanya pesakit menanggung, orang sekeliling juga terasa natijahnya. Semua disebabkan oleh kesilapan orang lain. Malah, kena tinggal lagi tu. Dasar manusia yang tak ada tanggungjawab!

“Dah. Pak Su dah tolong handle semua tadi. Pasal kereta, polis dan insurans, semua Pak Su uruskan. Kasihan Pak Su.” Dalam dia berduka, rasa simpati kepada bapa saudaranya tidak dilupakan. Nak buat macam mana, hanya tempat Pak Su saja tempat Munawarah bergantung harap.

Mawarni mengusap perlahan belakang sahabatnya. Memberi sedikit keyakinan dan ketenangan kepada sahabatnya. Sekurang-kurangnya, kedatangannya ke hospital ini memberi banyak manfaat. Memberi sokongan moral dan motivasi kepada Munawarah yang sememangnya sangat memerlukan semua itu.

Betulke???-1

“Apa?”

Panggilan telefon daripada Ara membuat darah Mawarni berubah seketika. Merah lebih mendominasi. Tubuhnya kejang. Ternyata panggilan telefon petang itu membuatkan suaranya tinggi mencapai lapan oktaf. Maksimun.

Sampaikan Firyal yang sedang membasuh segala alatan khasnya pun menoleh dua tiga kali untuk memastikan bosnya berada dalam kondisi yang stabil.

“Kau ada di mana sekarang?” suara Mawarni masih kedengaran.
Firyal tidak tahu siapa yang berada di hujung talian, tapi yang pasti riak bosnya sekarang sudah gelabah, tak tenang.

“Ok, aku datang.” Terkocoh-kocoh Mawarni mengemas barangnya di atas meja. Telefon bimbit erat dalam genggaman. Baju seragamnya dibuka dan disangkut di kerusi. Beg tangan dalam laci diambil laju.

“Firyal!” teriakan kuat kedengaran dalam bilik rawatan nombor dua. Bilik Raya. Milik Mawarni. Entah di mana gerangan pembantu khasnya. Nurse yang bertugas bersama-sama dengan Mawarni.

“Doktor, I’m here,” Firyal membalas dengan takut-takut. Seriau dia nampak muka bosnya sekarang. Keadaannya yang sedang berdiri berdekatan dengan singki kecil sedikit tergugat.

“Sorry. I thought, your are outside. Boleh tak awak close perkhidmatan saya untuk hari ini. Bagitahu dekat big boss, I nak half day today. Ada emergency case,” terang Mawarni lembut.
Kasihan Mawarni melihat muka Firyal. Silapnya juga berteriak dengan nada yang lantang dan kuat, semata-mata untuk memastikan suaranya dapat didengar oleh Firyal yang disangkakan berada di luar biliknya. Rupanya begitu santai anak dara itu di penjuru biliknya.

“Ok, doktor. Nanti saya bagitahu dengan Dr. Latifah.” Firyal sudah menapak ke arah Mawarni yang sudah menjejak hampir ke pintu bilik.

“Sorry ya Firyal,” sekali lagi maaf dipinta.
Muka dipalingkan menghadap Firyal. Sementara tangan kanan sudah mencapai tombol pintu. Tidak sempat untuk dia sendiri menemui ketua klinik, Dr. Latifah. Nanti dalam keretalah dia sampaikan pesanan ringkas kepada ketuanya itu.

“Its Ok,” balas Firyal sambil tersenyum.

Bukan salah bosnya pun, mungkin sekarang mood bosnya tidak elok, so disedekahkan juga senyuman. Sekurang-kurangnya dapat mententeramkan hati yang sedang gundah gulana.

Saturday, January 1, 2011

1.1.11 Selamat Tahun Baru

Assalamualaikum
dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Alhamdulillah, Dia masih limpahkn rahmat-Nya dgn mberi peluang kpd kita untuk terus bernafas d tahun baru ini.

2010 sudah kita tinggalkn d belakang, nak toleh pun dah tak boleh. Memang banyak yg tertunggak, tak terlaksana, tak sempat d tunaikan dan ada juga yang berjaya dicapai.

2011 menanti kita. Terasa cepat masa berlalu. Tak sedar kita sudah berada d tahun baru. Tak sedar tahun berganti tahun, bulan pun berganti, tanggal semakin tipis dan detik yg sentiasa berdenting.

moga tahun baru ni mampu membuat kita lebih ceria.
smoga cik aa dapat luangkn lebih masa untuk rajin online. Maklumlah, 2010 memang membuat hari2 cik aa sentiasa busy sampaikn nak maintainkn game d fesbuk pun tak sempat(hehehe), kluar lepak pun jarang, nak bercuti pun boleh kira dengan jari.

harap2, cik aa semakin banyak idea untuk terus menulis.
Smoga cik aa tak TERLAMPAU busy dengan kerja yang tak kenal erti penghujung.

MAY ALLAH BLESS US IN THIS NEW YEAR