Saturday, November 27, 2010

KASIH TERCIPTA - special entry

“Sinilah dekat,” arah Ahmad Fathi sambil menggamit isterinya yang duduk jauh darinya.

Tidaklah jauh mana, jarak lima inci sahaja antara mereka.

Sudah dua minggu mereka di Kanada. Ahmad Fathi membawa Umairah ke tempat dia membesar. Ke tanah yang telah membantu dia menjadi manusia. Manusia yang punya impian yang telah menjadi kenyataan.

Saat ini mereka sedang bersama-sama leka duduk di kerusi. Stanley Park bagai telah lama menantikan kehadiran mereka. Begitu bangga taman itu mempamerkan segala miliknya. Bunga-bungaan yang mekar mengharum, pepohon rimbun yang daunnya meliung-lentuk di tiup sang bayu dan air yang memercik jernih bak salju.

Mereka baru saja keluar dari hotel. Selepas menaiki bas, kaki pula digunakan. Mereka berdua lebih selesa meredah destinasi dengan berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat.

Umairah begitu riang saat Ahmad Fathi membawanya menaiki feri. Tersenyum sang suami itu melihat telatah isteri yang begitu teruja menaiki feri dari pusat bandar ke Vancouver Utara. Permandangan yang terlakar saat menaiki feri membuat mulut Umairah tidak melepaskan ucapan hamdallah kerana dia bersyukur sangat dengan nikmat yang telah tuhan berikan padanya. Memberi peluang padanya untuk melihat seluruh Vancouver melalui feri. Sungguh menarik.

Sudah seminggu mereka menjejakkan kaki ke Vancouver, Kanada ini. Negara yang sudi membesarkan Ahmad Fathi. Kanada adalah antara 10 tempat terbaik dunia yang selamat untuk didiami. Mungkin sebab itu dahulunya nenek dan datuk Ahmad Fathi membawanya ke sini.

Keadaan geografi Vancouver membuat senyuman Umairah tidak pernah putus. Terlalu suka dia dengan keadaan geografi kota ini. Kelilingnya terdapat gunung-gunung yang diliputi ais dan salji. Sungguh saujana mata memandang. Kedudukannya di tepi laut juga menambah keunikan kota ini

Sekarang ni mereka hanya sempat ke Toronto dan Montreal, iaitu kota-kota kelas dunia untuk hidup dan bekerja. Kebersihan dan keamanan telah membuat aktiviti kebudayaan dan gaya hidup di sana semakin menarik.

“Tak apalah. Sini lagi best. Lagi nampak view yang cantik,” balas Umairah. Senyuman memang tidak lekang darinya sejak dia menjejakkan kaki ke taman itu.

“Ish, dia ni degil,” ujar Fathi sambil mendekati sang isteri.

“nampak apalah?” soal Ahmad Fathi kemudian.

“Tu depan. Cantikkan.” Tangan ditunjuk ke hadapan

“Hmm... memang cantik. Cantik sangat,” luah Fathi.

Memang cantik benda yang ada di tepinya sekarang. Biarpun beratus-ratus gadis sedang lalu lalang, dia langsung tak kerling. Pandang pun tak. Kenyit mata lagi tak terasa nak lakukan. Rasanya dia tak mampu nak alihkan matanya dari wajah yang ada di sebelahnya. Macam magnet. Nak tengok saja.

“Memang cantikkan?” perlahan suara Umairah.

“Yes.”

Umairah padang sebelah. Terlopong dia. Ingatkan suaminya nampak apa yang dia nampak. Rupanya suaminya sedang renung dia. Malunya!

“Awak ni... pandang depanlah,” arah Umairah.
Ditolak perlahan wajah Ahmad Fathi agar menghadap ke hadapan. Seperti mana arah tuju matanya tadi.

“Tak cantik. Nampak awak lagi cantik.”

Ahmad Fathi langsung tak bergerak. Setia merenung gadisnya itu. Memang nampak perubahan pada wajah Umairah. Sedikit merah. Malulah tu.

Umairah sudah tidak mampu menghalang pandangan Ahmad Fathi. Takkanlah dia nak butakan mata Ahmad Fathi semata-mata tak nak kena renung. Dia tak nak ulang sejarah Kasim Selamat. Renung sajalah. Tak luak manapun. Tapi tulah, berlaku sedikit perubahan pada wajahnya. Pakai blusher semulajadi. Merah!

“Kenapa tak panggil saya macam isteri orang lain panggil suami mereka?” soal Ahmad Fathi tiba-tiba.

“nak panggil apa, abang, hubby, honey, baby, by?” satu-persatu Umairah sebut.

“Ish dia ni.. tak serius” ujar Ahmad Fathi sambil tarik hidung Umairah.

“Bro, janganlah macam ni,” ujar Umairah sambil menepis-nepis tangan Ahmad Fathi yang rapat pada wajahnya.

Ahmad Fathi jengilkan mata. Ada panggil aku bro.

“Ala relakslah,” ujar Umairah lagi. Kali ini disertakan dengan senyuman.

“Ya Allah, inikah isteri aku yang sebelumnya aku nampak pendiam?” soal Ahmad Fathi sambil tepuk dahinya sendiri.

Umairah yang melihat hanya melepaskan tawa. Menjadi juga gurauannya.

“Maira ni buat saya macam kawan pula,” kata Ahmad Fathi perlahan.

“Memang pun. Kita kan tak pernah berkawan. Sekaranglah masanya kita bina persahabatan, baru dapat kukuhkan hubungan suami isteri.... bla..bla...”

Chup...

Tergaman Umaira. Ya Allah laki aku ni. Malunya. Merah mukanya. Apa taknya kena cium tu. depan orang ramai lagi tu. memang dia tahulah kalau penduduk di Kanada ni tak ambil kisah, tapi dia tetap malu.

“Tulah... panjang pula dia membebel. Kejap saja rupanya nak bagi Maira ni senyap. Best. Cuba buat lagi, saya nak praktis macam tadi,” pinta Ahmad Fathi sambil kenyit mata.

“Awak ni tak senonohlah.”

”Apa pula. Bukan tak senonohlah. Perkara sunat tu,” balas Ahmad Fathi.
Digapainya Umairah agar rapat padanya. Dipeluk erat tubuh yang sudah hampir dua bulan menyandang jawatan sebagai isterinya itu.

Hidup di sisi Umairah sebagai suami membuat hidup Ahmad Fathi bagai bulan yang telah disempurnakan cahayanya oleh sang mentari. Bagai pohon yang telah lengkap dengan segala buah dan bunganya. Bagai sepasang baju yang sempurna untuk dipakai.

Stanley Park menjadi saksi peleraian rindu Ahmad Fathi kepada insan yang bernama Umairah. Terasa lengkap dunianya bila dikurniakan jodoh dengan gadis di sebelahnya ini. Sungguh dia berterima kasih kepada Yang Maha Esa atas nikmat yang telah diberikan. Atas kasih yang telah tercipta buat mereka.



________

lama kan aku senyap.. alasan biasa...BUSY...
enjoy reading....

Wednesday, November 10, 2010

KASIH TERCIPTA - END

“Bonda, hari ni Fathi nak pinjam Maira.”
Dengan senyuman meleret, tiba-tiba sahaja Ahmad Fathi sudah berdiri hampir dengan Umairah. Menyandar seperti Umairah yang meletakkan tangannya di atas kaunter.

Terkejut Umairah. Dia mengundur setapak ke belakang.

“Apa ni Fathi, nak pinjam-pinjam anak dara orang. Ingat dia tu bajukah?” Bonda yang berdiri di kaunter dalam sudah tersengih.

“Kalau baju dah lama Fathi pakai Bonda,” balas Fathi sambil tersengih.

“Kamu ni. Ada-ada saja.” Bonda sudah menampar lengan anak bujangnya itu.

“Bonda, Fathi serius nak pinjam ni.”

“Kamu nak pinjam buat apa. Kalau buat benda yang Bonda tak suka, memang Bonda tak bagi,” Bonda menjengilkan anak mata memandang Ahmad Fathi.

“Nak suruh dia jadi konsultan sekejap. Fathi nak cari baju yang sesuai untuk dinner this weekend,” terang Ahmad Fathi.

“La.. untuk tu rupanya. Pinjam sajalah,” selamba Bonda memberi keizinan.

Umairah yang ada di situ terlopong. Dia belum pun memberi kebenaran untuk setuju. Bonda ni...

“Pergilah Umairah. Carikan baju mana yang sesuai untuk dia,” pujuk Bonda dengan perlahan.

Memang dia nampak wajah Umairah yang tak berpuas hati. Tapi sengaja dia buat-buat tak faham akan riak wajah itu. Tentang hal yang semalam, dia memang belum memberitahu anaknya. Biar Umairah sendiri yang memberitahu kesudiannya itu kepada Ahmad Fathi. Mungkin ini masanya untuk Umairah memberitahu akan isi hatinya.

“Jom.”

Lelaki itu sudah melangkah. Tempat pertama dituju adalah ruang kemeja lelaki. Rasanya, bukan Umairah yang jadi konsultan, tapi lelaki itu sendiri. Sebabnya, setiap ada baju yang dia pilih dan ditunjukkan kepada Umairah, hanya anggukan dan gelengan sahaja jawapannya. Akhirnya dia sendiri yang menjawab segala pertanyaan yang sepatutnya dijawab oleh Umairah. Memang fail lah Umairah jadi perunding pakaian!

Bila tiada berkenan, Umairah hanya mengekori lelaki itu menuju ke ruangan baju batik lelaki pula. Satu persatu baju ditunjuk dan disesuaikan ke tubuhnya. Warna kelabu yang di padankan ditubuhnya membuat Umairah tergelak. Langsung tak sesuai.
Ahmad Fathi meletakkan kembali baju tersebut. Kemudian dia mengambil baju yang berwarna merah pula. Aduh, tambah Umairah ketuk kepala. Semuanya warna yang tak sesuai. Ataukah lelaki ini mengalami buta warna?

“Yang ini sesuaikah?” baju berwarna coklat itu dipadankan ditubuhnya.

“Yang ni nampak ok,” balas Umairah sambil terangguk-angguk. Nampak ok sedikit berbanding dengan baju-baju yang sebelumnya.

“Ok tak kalau saya pakai pergi dinner?” soal Ahmad Fathi lagi.

“Ok.” Hanya itu balasan Umairah. Tangannya masih setia membelek-belek pakaian batik lelaki di sebelah kanannya.

“Kalau bos saya nampak ok kan?” soal Ahmad Fathi lagi. Dia masih tak puas hati dengan pilihannya ini.

“Ok,” balas Umairah sambil tersenyum. Tapi kepalanya masih tidak diangkat. Matanya masih menala pada satu-persatu baju di hadapannya. Manalah tahu jumpa baju yang lebih sesuai.

“Kalau dipadan dengan seluar hitam sesuaikan?”

“Sesuai.” Walau dirasakan soalan Ahmad Fathi itu seakan keanak-anakan, namun Umairah tetap menjawab.

“Baju ni memang sesuai untuk saya kan?” sekali lagi dia meminta kepastian.

“Sesuai.”

“Awak memang sesuai jadi isteri saya kan?”

“Sesuai.”

“Betul sesuai.”

“Betul.”

“Betul?”

Umairah panggungkan kepala. Apa yang betul?

Eh.. kejap, tadi dia tanya apa? Macam ada perkataan lain. Baju... isteri...

“Awak tanya apa tadi?” soal Umairah cepat. Takut juga dia tersalah tafsir.

“Awak cakap, saya sesuai jadi suami awak,” terang Ahmad Fathi sambil tersenyum.

“Saya cakap macam tu kah?” cepat Umairah tanya.

“Ya cik. Jadi, memang betullah awak nak pilih saya sebagai suami awak?” soal Ahmad Fathi sambil jungkitkan keningnya. Senyuman sudah terlakar dari bibirnya.

Umairah hanya tersenyum.

“Maira, I take that as the answer. You setujukan? Kalau orang dulu-dulu punya jawapan, diam itu tandanya setuju.”

Umairah masih mengekalkan senyumannya.

“Ok, oleh kerana awak sesuai jadi isteri saya, awak bungkus baju ni, saya nak pergi jumpa Bonda, nak suruh pinang awak cepat-cepat.”

“Eh...Bonda dah pinang. Nak nikah dengan awak cepat-cepat.” Cepat Ahmad Fathi membetulkan ayatnya.

Umairah hanya mampu melopong saat lelaki itu berlalu di depannya. Sempat juga baju batik itu tersadai di tangannya. Nasib baik tidak jatuh. Dia hanya mampu memandang Ahmad Fathi yang sudah menarik tangan Bonda menuju ke ruang pejabat.

Nak juga dia teriak bahawa dia tersalah cakap. Tapi sebenarnya memang jawapannya ya. Cuma tak tahu macam mana nak sampaikan persetujuannya untuk menjadi isteri kepada lelaki itu


_____________________________________________


“Bonda, ada berita gembira ni.” Sejak dia gapai tangan Bonda, sampailah masuk ke ruangan pejabat ini, senyuman sentiasa terukir di wajah Ahmad Fathi.

“Ya apa dia?” Soal Bonda perlahan. Bonda buat-buat exited walau sebenarnya dia sudah tahu apa yang hendak disampaikan oleh anak terunanya.

“Maira dah terima. Jomlah bonda kita siapkan cepat untuk majlis Fathi ni.” Tidak sabar sudah dia untuk bernikah dengan gadis itu.

“Kamu ingat kahwin ni boleh buat sekelip matakah?” soal Bonda. Gelojohnya anak terunanya.

Ahmad Fathi hanya tersengih

“Alah Bonda ni, susah tahu nak dapatkan jawapan I do dari anak dara ?Bonda tu, tiba-tiba Bonda pula nak main tarik tali,” sedikit memuncung Ahmad Fathi.

Betapa susahnya dia nak mengurat Umairah. Memakan masa yang lama juga. Habis dia berkorban harta dan masanya. Namun itu tidak dikesali kerana dia bakal memperoleh yang lebih berharga lagi.

“Kamu dah sedia? Mental, fizikal, emosi..?”

“Rohani, batin... semua lebih dari sedia.” Cepat Ahmad Fathi menyampuk percakapan Bondanya.

Setakat persediaan itu semua, dia memang sudah lama bersedia.

“Kamu jangan nak ambil mudah Fathi. Kamu tu bakal pikul tanggungjawab berat. Tak tertanggung nanti, senget bahu kamu,” jelas Bonda cepat.

“Bonda ni. Fathi dah sedialah. Kalau tak, takkanlah Fathi bersungguh mengurat Umairah. Dah lama Fathi sedia,” jelas Fathi cepat. Dia sudah tidak mahu menunggu.

Usianya sudah jauh ke depan. Makin dia lewatkan kahwin, makin bertambah usianya. Nanti tak pasal-pasal orang akan kata anaknya itu adalah cucunya. Sebab dapat anak di usia senja. Itupun kalau dia dapat anak!

“Sudah ambil kursus kahwin?” soal Bonda. Tidak sanggup dia menjatuhkan keterujaan anaknya itu yang sudah tidak sabar untuk mendirikan rumah tangga.

“Bonda ni... apasal tak tanya dah kena sunat ke belum?” kata Ahmad Fathi tersenyum-senyum.

“Kamu belum bersunatkah?” soal Bonda lantang.

“Bonda ni, gaya macam Fathi ni dipelihara oleh mualaf pula.” Terkejut sedikit Ahmad Fathi bila Bonda mengeluarkan suara lebih kuat berbanding biasa.

“Betullah, bonda tanya ni. Kamu tu duduk Canada,” penuh kerisauan pada wajah Bonda. Harap-harap anaknya tidak rosak dibawa arus songsang.

“Bonda ni. Kenapa serius sangat? Fathi dah kenalah. Opah dan atuk dah sunatkan dulu,” jelas Ahmad Fathi cepat.

“Lega Bonda.” Memang terpancar kelegaan di wajah Bonda.

__________

“Maira,” teriak Bonda bila melihat kelibat Umairah melintas di luar pintu kaca itu.

Umairah memandang ke dalam. Bila tangan Bonda menggamitnya, dia menolak pintu kaca itu. Melangkah masuk ke dalam. Dia duduk di sebelah Bonda yang sedang menghadap Ahmad Fathi.

“Jadi memang Maira setujulah nak jadikan Fathi ni suami Maira?” soal Bonda sambil memandang Umairah.

Ahmad Fathi di hadapan sudah kecut menanti jawapan Umairah.

Lama keadaan senyap antara mereka.

Umairah mengangguk bila empat mata masih setia memandangnya.

Alhamdulillah. Hanya ucapan itu yang terdengar di gegendang telinganya. Ucapan syukur daripada Bonda dan Ahmad Fathi. Kali ini dia tidak ragu lagi. Mungkin serunya untuk berkahwin sudah sampai. Mungkin peluangnya untuk menamatkan zaman bujang adalah di ketika ini. Dia tidak mahu hilang peluang itu kerana tidak semua orang berjaya memperoleh peluang kedua.

Saat ini, hanya kesyukuran dipanjatkan kerana dia dibukakan hati untuk menerima seorang lelaki asing untuk melangkah ke dunianya. Diharap sinar mentari masih cerah untuk memimpin dia menjadi seorang isteri kelak.

Kasih antara mereka sentiasa tercipta dengan sendirinya. Tidak perlu mereka ragu kerana ia memang sudah diciptakan untuk terjadi begitu. Terciptanya kasih antara mereka memang sudah tercatat sejak awal lagi kerana kasih itu memang tercipta untuk mereka. Kasih untuk yang diluar sana memang akan tercipta dengan sendirinya kerana ia memang dimiliki oleh Sang Pencipta. Yang menciptakan kasih-Nya untuk semua.


_________________


SORRY... lama aku x upload kan. terlalu sibuk sampaikan aku demam. nak mc pun x sempat. terpaksa g keje juga even batuk & selesema. kepala skarang pn tgh panas....
aduhai... aku minta maaf ya...
harap anda puas hati dgn citer ni

Tuesday, November 2, 2010

kasih tercipta-10

“Assalamualaikum.”
Salam diberi pada wajah lelaki yang sedang duduk sendirian di sudut kawasan itu.
Ahmad Fathi tersenyum lalu menjawab salamnya.

“Dah lama sampai?” soal Umairah sambil duduk di sebuah kerusi di hadapan Ahmad Fathi. Salbiah dan Zulaikha juga melakukan perkara yang sama.

“Baru lagi,” polos Ahmad Fathi menjawab.
Tempat duduknya belum lagi panas. Keretanya yang di parking belum pun berhenti panas enjinya.

“Minta maaf, lambat sikit,” Umairah dengan penuh sopan memohon kemaafan. Lain perasaannya bila membiarkan orang menunggu. Biarpun tidak menjadi bebanan bagi orang yang menanti.

Semalam dia menyatakan persetujuannya untuk keluar makan bersama Ahmad Fathi. Tidak salah untuk dia makan bersama lelaki itu. Lagipun Farhan membenarkan untuk membawa teman. Jadi diangkutnya dua orang wanita yang berada di sebelah-menyebelahnya ini untuk sama-sama berada di sini. Ahmad Fathi yang mencadangkan tempat ini. Secret Recipe.

Seorang lelaki berpakaian pelayan datang menghampiri mereka. Di tangannya, tiga buah menu berkulit keras ada bersama.

“Cik, kerusi di sana lagi selesa buat cik bertiga,” tegur pelayan itu. Umairah memandang lelaki itu. Bukan setakat Umairah, malah ketiga-tiga penghuni yang ada di meja itu juga memandang pelayan yang mempunyai tanda nama Zakaria.

“Kenapa?” laju Salbiah menyoal.

“Tak ada apa-apa. Tapi nanti tak selesa pula duduk bertiga berhimpit macam tu,” jelas pelayan itu.

Ketiga-tiga wanita yang duduk sebaris ketawa. Paling kuat pecah ketawanya adalah Zulaikha. Cepat-cepat gadis itu menutup mulutnya.

Ahmad Fathi hanya memandang gelagat gadis di hadapannya. Seorang pun tiada yang mengalah untuk duduk di sampingnya. Mana mungkin itu terjadi. Dia nampak, mereka lebih rela duduk berhimpit dari duduk selajur dengannya.

“Tak mengapa, kami ni dah selesa duduk macam ni.”

“Lagipun semua kami kecil-kecil. Muat ni,” pantas Salbiah menyokong kata Umairah.

“Kalau macam tu, tak apalah. Yang penting anda selesa berada di sini,” ujar pelayan itu. Dia mengeluarkan buku kecil dan sebatang pen dari kocek pakaian rasminya. Seorang-seorang ditanyakan makanan dan minuman yang ingin dijadikan santapan kali ini.

Umairah hanya memesan green apple kasturi dan chocolate indulgence.

Sementara pesanan sampai, perbualan antara mereka makin rancak. Salbiah paling banyak bercerita. Ceritanya terhenti sebentar bila pelayan datang membawa sedulang pesanan buat mereka. Tiramisu cake dan cappucino untuk Salbiah. Zulaikha pula memesan Espresso Cheese dan jus tembikai.

Sempat Umairah jeling orang di hadapannya. Segelas Mocha dan Chocolate Fudge sedang enak santai di depan mata.

“Kau ni, tak habis-habis dengan benda tu,” perli Salbiah ke sebelah kanannya bila melihat sahabatnya itu begitu asyik menelan kek dengan garfu kecil.

Cepat Ahmad Fathi menujakkan pandangannya ke arah yang sama. Merenung Umairah yang selamba mencuit kek itu tanpa memperdulikan keadaan sekeliling.

“Kenapa?” soal Ahmad Fathi cepat. Ingin diketahui apa yang menyebabkan Salbiah tergendala menelan keknya.

“Maira ni sebenarnya selalu datang sini. kalau dalam seminggu tu memang wajiblah datang. dia tak boleh kalau tak tengok chocolate indulgence ni. Boleh demam dia. Mesti dia makan. Pernah dia beli sebiji kek bawa pergi butik. Separuh tu dia yang habiskan,” jelas Salbiah.

Umairah di sebelah langsung tak berkutik walaupun yang jadi bahan cerita itu adalah dirinya.

Ahmad Fathi hanya tersenyum. Satu makanan kesukaan wanitanya itu sudah diketahui. kalau jodoh mereka panjang, dia ada senjata untuk memujuk.

“Fathi selalukah outstation?” soal Zulaikha yang sejak tadi hanya senyap.

“Tak juga. Minggu lepas saya tak datang sebab ganti bos pergi Argentina. Saya tak suka outstation. Biarlah duduk dalam pejabat. Kalau ada isteri nanti, ditinggal-tinggalkan pula,” ujar Ahmad Fathi sambil menjeling Umairah. Namun hampa, tiada sebarang reaksi daripada gadis itu. Aduhai Umairah, takkanlah kau tak terpikat dengan aku.

Salbiah dan Zulaikha sudah tersenyum. Tahu hala tuju bicara Ahmad Fathi.

“Oh patutpun awak tak datang minggu lepas. Ada orang tu dah macam kucing hilang anak. Habis dia tawaf satu butik. Kot-kotlah ada buah gugur. Tapi tak datang-datang juga,” perli Salbiah sambil menjeling ke sebelah.

Umairah buat selamba. Tahu dirinya dijadikan subjek oleh temannya.

“Yakah? Tak mungkinlah,” tidak percaya Ahmad Fathi.

“Betul. Tak percaya tanya Bonda. Bonda jadi hairan sebab orang tu habis kerja sahaja terus datang butik. Pantang ada masa terluang, mesti muka dia ada di butik. Nak kata, tolong, tak ada pula. Duduk saja kerjanya,” sahut Salbiah cepat.

Zulaikha di sebelah sudah terangguk-angguk. Mengiayakan kata sahabatnya.

“Kamu ni, ada-ada sahaja. Tak mungkinlah dia macam tu,” Ahmad Fathi masih tidak percaya. Tidak mungkin Umairah menunggu kedatangannya ke butik itu. Tidak pernah pun ada tanda dari gadis itu yang menanti kedatangannya. Jadi sukar untuknya percaya.

“Up to you kalau nak percaya atau tidak,” jelas Salbiah.
Dia memandang ke sebelah. Umairah nampak sedikit kalut. Pasti gadis itu tidak sangka kalau mereka semua nampak perbuatannya.

Orang rabun pun boleh perasaan Umairah, sahut hati kecil Salbiah. Dia dan teman yang lain hanya tersenyum melihat telatah Umairah dalam masa seminggu ketika ketiadaan Ahmad Fathi di butik itu.

Kehilangan Ahmad Fathi menjadi penantian bagi seseorang.

Monday, November 1, 2010

kasih tercipta-9

Untuk beberapa hari ini, muka Ahmad fathi sentiasa ada di dalam butik ini. sentiasa mencari peluang untuk berbicara dengan Umairah. Umairah pula macam lalang. Dikejar ke ruangan pakaian wanita, dia akan lari ke bahagian pakaian kanak-kanak.

Kalau ada juga yang mengekor di belakangnya, cepat-cepat dia ke bahagian pakaian dalam wanita. Kalau sudah di sini, memang tak sampailah kaki Ahmad Fathi melangkah. Segan!

Bonda pun sudah nampak usaha anak kandungnya itu nak tambat anak angkatnya. Dia sudah memberitahu Ahmad Fathi. Yang mahu hidup dengan Ahmad Fathi adalah Umairah, jadi pandai-pandailah nak ambil hati Umairah sendiri. Tak perlu bantuan orang luar sebab bukan orang luar yang nak kahwin dengan Umairah.

Memang nampak usaha bersungguh Ahmad Fathi nak tingkatkan perhubungan dengan Umairah. Kalau tak kerja, sengaja dia singgah sehari suntuk tolong Bonda menguruskan butik. Selalu ajak makan beramai-ramai. Untunglah pekerja yang lain, selalu makan free. Tapi tak hairan pun sebab Ahmad Fathi kerja di syarikat antarabangsa. Gaji pun berdolar-dolar.

Malam itu usai makan malam, Umairah menurut langkah Bonda menonton televisyen. Milo suam dihulur kepada Bonda. Sama-sama menonton berita yang tidak lari dari pelbagai topik. Banyak lagi sebenarnya masalah manusia ini, tapi memang semuanya tidak dapat diselesaikan dengan pantas. Umairah hanya menggeleng melihat isu politik negara ini yang sedang berkocak.

“Bonda, Umairah ada benda nak tanya.” Itu pembuka bicara Umairah setelah selesai menonton berita.

“Apa dia sayang. Bonda sedia dengar.”
Bonda berpaling ke arah Umairah. Mencapai tangan si anak gadis yang dilihatnya sedang gemuruh. Bonda tahu situasi Umairah. Hatinya sedang rusuh. Melihat Umairah masih diam tidak berkutik membuat Bonda mengusap kepala si gadis.

“Kenapa sayang?”
Bonda masih setia memujuk. Memberi kekuatan kepada Umairah untuk meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya. Bonda seboleh mungkin tidak mahu mendesak Umairah. Biar Umairah dengan rela hati untuk meluahkan sendiri apa yang ingin dia luahkan. Bonda hanya boleh menjadi pendengar yang baik. Mencadangkan apa yang terbaik. Membantu sedaya yang mungkin Bonda mampu.

“Baiklah. Kalau Umairah rasa belum sesuai untuk beritahu kepada Bonda tidak mengapa. Tapi Umairah jangan lupa, Bonda sentiasa ada di sisi Umairah untuk mendengar segala luahan anak gadis Bonda ni,” ujar Bonda sambil mencuit dagu Umairah.

Umairah tersenyum kecil. Bonda tahu hati Umairah ketika itu masih kacau. Seboleh mungkin Bonda cuba menceriakan suasana.

“Masih sudikah Bonda untuk menerima Umairah sebagai menantu.”
Akhirnya terluah juga apa yang ingin dikata. Sudah beberapa hari dia mendapat keputusan itu. Istikharahnya menunjuk kepada nama Ahmad Fathi. Baru kini dia mendapat kekuatan untuk memberitahu berita itu kepada Bonda.

Bonda melihat wajah Umairah. Mencari kepastian. Umairah mengangguk. Lantas tubuh Umairah digapai. Dipeluk erat. Terima kasih Tuhan atas segala kurnian ini. Tidak putus syukur Bonda di dalam hati. Betapa besar rahmat-Mu tuhan. Air mata gembira mengalir. Membawa pergi kesengsaraan masa silam.

_________


‘salam. Jom tengok wayang’
sms yang terpapar dalam skrin telefon bimbitnya membuat biji mata Umairah terbeliak macam bola ping-pong. Biarpun orang di sebelah sana tidak nampak reaksi itu, namun ia tetap spontan berlaku.

‘xnak’
cepat perkataan itu ditaip dan dihantar.

‘kenapa?’
itu soalan Ahmad Fathi. Hairan sungguh dia. tak pernah lagi orang menolak kalau diajak pergi tengok wayang.

‘tak boleh’

Tambah luntur semangat Ahmad bila membaca balasan itu. Dia baru bercadang nak bawa Umairah pergi tengok wayang. Nampaknya filem-filem terbaru terpaksa dilupakan.

‘jomlah. Nanti saya bagitau Bonda’

‘tak perlu. Saya yang taknak pergi’

Tidak mungkin untuk dia pecahkan rekodkannya sendiri. Tapi rekod dicipta untuk dipecahkn. No, kali ini dia tidak akan pecahkan. Tergeleng-geleng kepala Umairah bertingkah dengan rasa hatinya sendiri.

Dia tidak pernah ke panggung wayang. Tidak sekali-kali dia akan menjejak ke pawagam. Kalau dia kemaruk sangat nak tengok cerita pun, dia sanggup tunggu sehingga filem tersebut dikeluarkan dalam bentuk CD. Biarlah. Dia sanggup untuk menunggu.

‘makan jom’
orang di sebelah sana masih tidak berputus asa. Tetap ingin mencuba nasib. Biarlah, usahanya tidak akan terlihat kalau dia tidak mencuba. Untuk berputus asa, itu belakang kira. Yang penting dia mencuba.

‘beli makanan di restoran depan butik dan makan di butik’

Balasan dari Umairah itu membuat Ahmad Fathi ketawa. Ketawanya lepas. Mengisi ruangan kondo yang sunyi itu.

Aduh, gadis yang bernama Umairah betul-betul membuat dia penasaran. Makin berkobar perasaannya untuk memiliki sekeping hati milik Umairah. Mudah-mudahan Allah membantunya untuk membina sebuah masjid rumahtangga bersama wanita itu. Sungguh dia benar-benar terpikat dengan Umairah. Dia tidak perlukan Bonda untuk menciptakan kasih antara dia dan Umairah. Tapi kasihnya untuk Umairah makin mekar dan kembang.

‘tak nak. Saya nak keluar makan dengan awak. Awak ajaklah kawan sekali’
tidak jemu dia memujuk. Harap-harap dia dapat keluar bersama Umairah. Biarlah walau ada ‘tiang lampu’ sekalipun di antara mereka. Dia rela.

‘ok. Nanti saya bagitau’ jawapan sms Umairah membuat hatinya kembang. Biarlah kalau Umairah membawa teman.

Dia sentiasa ingat pesanan dalam buku yang pernah dibacanya. Tidak sekali-kali dia akan melanggar arahan dari-Nya.

“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi orang ketiganya.